Segak jejaka menggayakan tanjak di Aidilfitri - Utusan Malaysia

Segak jejaka menggayakan tanjak di Aidilfitri

Mohd. Zaim Hakimi Mohamad Zin menggayakan tanjak buatannya.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Aidilfitri lebih bergaya dengan aksesori tanjak.Segak, tampan menyerlahkan keperwiraan buat jejaka. Tidak hairanlah ramai pengusaha dan pengarang tanjak mula mempromosikan hasil buatan tangan mereka untuk dipilih peminat tanjak.

Pengusaha Warisan Tanjak Malaya Empire, dari Seri Iskandar, Perak, Mohd. Zaim Hakimi Mohamad Zin mula berjinak dengan tanjak pada 2010. Namun dia hanya mula berani menjual tanjak karangan sendiri secara menerima tempahan atas talian pada tahun 2019. Itupun setelah beliau berguru dengan Cikgu Yatim Mustaffa di bawah aliran anjung laksamana sejak empat tahun lalu.

Pengarang tanjak berusia 27 tahun ini banyak menerima tempahan untuk mengarang dan membuat tanjak yang boleh dipakai setiap hari dan juga ketika menghadiri acara tertentu. Ketika musim perayaan terutamanya hari raya Aidilfitri yang bakal tiba tidak lama lagi, tempahan yang diterima juga agak banyak.

“Selalunya tanjak yang menjadi pilihan ramai untuk dipakai pada hari raya Aidilfitri adalah jenis tanjak daripada kain cotton berwarna hitam dan kain gabungan antara songket dan cotton. Kain pilihan separuh songket sebab ia lebih mudah untuk dipadankan dengan semua program, atau pakaian yang dipilih.

“Tanjak paling top dan jadi pilihan sekarang adalah tanjak Ombak Tinggi dan yang kedua adalah Lang Nyusur Langit. Dari segi harga, tanjak hitam berharga RM 69 manakala tanjak separuh songket berharga RM 79,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Ada pelbagai tanjak yang dihasilkannya. Antaranya Ombak Tinggi, Naga Berlabuh, Naga Emas, Lang Nyusur Langit, Dendam Layar, Balong, Lang Nyusur Angin, Lambuda Sakti dan Solok Timbul.

Untuk menghasilkan sesebuah tanjak pengarang perlu mengambil kira sekali dari mula memotong kain hingga ke jahitan terakhir. Mohd. Zaim mengambil masa sehingga satu jam untuk mengarang sebuah tanjak.

“Tetapi jika disusun masa dan gerak kerja semuanya jadi cepat. Selalunya saya akan buat secara banyak. Contohnya hari ini saya potong kain empat segi dan kain keras, digam dan dilipat menjadi tiga segi dan terus dijahit.

“Keesokannya saya mengarang tanjak sehingga finishing yang hanya mengambil masa 10 hingga 15 minit sahaja untuk satu tanjak. Jika buat macam ini dalam satu hari saya boleh buat 30 buah tanjak,” katanya.

IKUT CITARASA PELANGGAN
Bagi Pengusaha Busana dan Tanjak Pengiran dari Kuala Nerang, Kedah, Muhamad Mardi Mahamood, 49 beliau menjadi pengarang tanjak sejak tiga tahun lalu. Beliau membuat dan mengarang pelbagai jenis tanjak iaitu tanjak warisan dan kreasi.

“Saya lebih memberi tumpuan kepada tanjak kreasi. Tanjak Kreasi adalah tanjak-tanjak yang dikarang serta digubah bentuk mengikut citarasa pengarang. Tanjak warisan yang saya buat adalah seperti Tanjak Dendam Tak Sudah, Balong Raja, Dendam Layar, Bugis Tak Balik, Lang menyisir Langit, Ayam Patah Kepak, Nakhoda Throng, Naga Berlabuh dan sebagainya,” katanya.

Sempena Aidilfitri Muhammad Mardi berkata, kebanyakan pelanggan baharu, yang tidak pernah pakai tanjak, mereka lebih suka kepada tanjak yang simple serta tidak terlalu menonjol seperti Dendam Tak Sudah Kreasi, Dendam Layar dan Balong Raja.

Harga tanjaknya bergantung kepada jenis kain. Tanjak hitam kosong berharga RM50 manakala tanjak songket berharga RM80 hingga RM120 dan tanjak separuh songket pula berharga RM75. Selain tanjak, beliau juga turut membuat set busana Melayu lengkap seperti Baju Kedah, Baju Sikap serta samping.

Dalam memastikan kesesuaian tanjak dengan bentuk wajah, Muhammad Mardi menasihatkan agar pelanggan mencuba dan memakai tanjak terlebih dahulu. Tanjak berwarna hitam sesuai digayakan dengan apa jua pakaian. Begitu juga dengan tanjak separuh songket kain cotton berwarna hitam benang emas atau perak juga sesuai digayakan dengan apa jua jenis pakaian.

“Tapi lebih menarik sekiranya warna samping sama dengan warna tanjak. Selalunya kami akan memberi cadangan kepada pelanggan untuk mengenakan tanjak bersama set busana Melayu seperti Baju Sikap, Baju Kedah, Baju Layang dan sebagainya,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN