PETALING JAYA: Hasrat UMNO untuk meminda perlembagaan parti dengan membolehkan pemilihan diadakan dalam tempoh enam bulan selepas Pilihan Raya Umum (PRU) dilihat dapat memperkasakan lagi kedudukan parti itu menjelang PRU15.
Ketua Penerangan UMNO, Shahril Sufian Hamdan berkata, pindaan itu bukanlah dibuat atas kehendak pucuk pimpinan parti semata-mata, sebaliknya ia berdasarkan kehendak akar umbi parti.
“Untuk fasa dan pusingan sekarang, meletakkan pemilihan selepas PRU ialah kehendak akar umbi bagi menjamin kestabilan dan keharmonian dalaman parti untuk fokus kepada PRU15, terutamanya setelah satu musim pasca PRU14 yang amat luar biasa,” katanya.
Bagaimanapun, beliau tidak menolak kemungkinan ia boleh disemak semula pada masa depan andai kata pemimpin yang memegang jawatan selama lima tahun dianggap terlalu lama.
“Selepas tamat PRU15 dan tamat pemilihan, tak mustahil soal tempoh penggal jawatan dalam parti dikaji semula supaya tidak terlalu lama.
“Itu terserah kepada kepemimpinan penggal baharu kelak untuk kaji apa yang terbaik. Buat masa sekarang, kita selesaikan dahulu PRU15,” katanya.
Beliau mengulas kenyataan pakar perlembagaan UMNO, Datuk Adnan Seman berhubung hasrat parti itu meminda perlembagaan dengan mengadakan pemilihan dalam tempoh enam bulan selepas PRU menerusi Perhimpunan Agung UMNO Khas pada 14 Mei depan berdasarkan Fasal 30 Perlembagaan UMNO.
Ini bermakna jawatan tertinggi parti kekal disandang pemimpin sama selama lima tahun mengikut tempoh maksimum bagi penggal Dewan Rakyat iaitu lima tahun jika tidak dibubarkan lebih awal.
Ketika ini, Perlembagaan UMNO menetapkan tempoh pemilihan parti untuk semua peringkat perlu diadakan setiap tiga tahun sekali melainkan ia ditangguhkan tidak melebihi 18 bulan oleh Majlis Tertinggi (MT).
Pemilihan UMNO sebelum ini dijadual diadakan selewat-lewatnya Disember ini selepas ditangguh tahun lalu berikutan pandemik Covid-19.- UTUSAN











