Siapa sangka perkongsian mengenai adik yang dikategori sebagai anak istimewa, memperkenalkan Nelysa Norazlan di khalayak alam maya terutamanya kepada pengikut applikasi Tik Tok.
Apabila dirinya menjadi seorang influencer, Nelysa mahu menggunakan pengalaman yang ada sebagai kakak yang perlu menguruskan adik istimewa yang kemudiannya dijadikan sebagai perkongsian berguna kepada masyarakat.
Apa yang menarik mengenai diri anda?
Saya kakak kepada adik lelaki bernama Akif yang mengalami sindrom cri du chat.
Sejak bila berkongsi di media sosial? Kenapa?
Sejak Perintah Kawalan Pergerakan (PKP). Sebenarnya saya dulu anti Tik Tok. Sewaktu video saya jatuh troli tular, orang mula kenal muka saya. Jadi bermula daripada situ saya post video di Tok Tik.
Orang mula bertanya adakah saya ini akak yang jatuh troli? Kemudian apabila saya memberikan reaksi dan membalas semua mesej tersebut. Bila saya mula post video bersama Akif, saya juga mula naik di Tik Tok.
Identiti diri dan mahu dikenali sebagai apa?
Saya mahu dikenali sebagai influencer yang buat konten lifestyle. Saya suka berkongsi tentang diri, keluarga dan kawan-kawan. Saya mahu menjadikannya konten yang realistik dan menjadi inspirasi kepada keluarga yang ada anak-anak dan adik-beradik istimewa seperti saya.
Bagaimana anda membantu keluarga Malaysia atau Remaja untuk menjadi lebih baik?
Saya boleh kongsi bagaimana menjadi bertanggungjawab dan bagaimana tidak malu menjaga adik-beradik istimewa. Sebabnya, hari ini masih ada orang yang malu kalau ada anak istimewa.
Saya harap suatu hari nanti di Malaysia boleh jadi negara yang mampu melihat anak-anak istimewa ini sama seperti orang normal.
Bagaimana menambah jumlah pengikut?
Update Tik Tok setiap hari, tidak kisahlah sebarang konten. Tetapi saya mendapati bahawa rakyat Malaysia ini suka konten lifestyle dan mereka mahu menunjukkan realiti.
Maksudnya mereka hendak melihat bagaimana adik saya makan, adakah adik saya menggunakan lampin pakai buang, bagaimana saya dan keluarga menguruskan adik, dan apa yang adik buat setiap hari.
Jadi saya rasa dengan buat konten sebegini follower hendak tengok lagi sebab kebanyakan mereka ada ahli keluarga istimewa juga
Harapan masa depan anda?
Saya berharap dapat menjadi idola kepada keluarga yang ada adik-beradik istimewa.
Walaupun kita marah dia dan kita penat tetapi saya hendak semua orang bertanggungjawab bila ada adik-beradik dan anak-anak istimewa sebegini.
Harapan saya adalah budak-budak sebegini supaya mereka tidak ditindas.
Siapakah idola anda?
Ibu saya. Beliau merupakan ibu kepada tiga orang anak istimewa.
Dua orang arwah kakak saya pun anak istimewa iaitu seorang meninggal pada usia dua bulan dan seorang lagi meninggal pada usia tujuh bulan, jadi Akif ini anak istimewa yang ketiga.
Saya seorang sahaja normal, jadi saya kagum dengan keupayaan ibu menguruskan keluarga.
Bagaimana instafamous membantu pembangunan masyarakat?
Platform ini membantu pembangunan masyarakat kerana kerana infonya sangat laju.
Sejak ada Tik Tok ini, budak-budak lagi berani dan pandai hendak meluahkan perasaan. Mereka ini sebenarnya malu tetapi dalam video mereka lantang bersuara.
Begitupun, tengok jugalah siapa yang kita follow kerana kalau bagus ia memberi impak yang positif. Namun ibu bapa perlu pantau siapa anak-anak anda follow.
Sejauh mana menjadi influencer mengubah diri dan kehidupan?
Kehidupan saya sangat jauh berubah kerana sebelum ini saya adalah seorang lead generation executive di Lazada. Sejak jadi influencer saya sekarang ini adalah full time content creator.










