Dehidrasi atau masalah kurang air dalam badan sering dianggap sebagai dahaga biasa. Namun, jika tidak dirawat dengan betul, dehidrasi boleh berkembang menjadi keadaan lebih serius, seperti hipovolemia.
Pakar Perubatan Dalaman dan Perubatan Pernafasan Hospital Pakar KPJ Johor, Dr. Muhammad Redzwan S. Rashid Ali berkata, penyahhidratan atau dehidrasi merupakan keadaan apabila air dalam badan berkurangan.
Hipovolemia merupakan kekurangan air dalam aliran saluran darah yang ditarik keluar oleh tisu badan dalam usaha untuk memenuhi keperluan air.
“Sekiranya tidak dirawat dengan segera, ia boleh menyebabkan komplikasi seperti sawan, koma, kerosakan organ akut dan boleh mengancam nyawa. Keadaan ini juga boleh menyebabkan badan tidak berfungsi secara normal dan lemah,” katanya kepada Seri.
Dehidrasi kerap berlaku pada Ramadan. Ia boleh berpunca daripada pelbagai penyakit antaranya cirit-birit, demam, muntah, melecur teruk, gangguan buah pinggang atau penyakit lain.
Ia turut boleh timbul akibat daripada perkara lain, seperti peningkatan pengeluaran peluh selepas bersenam atau melakukan aktiviti berat dan pengambilan alkohol.
Antara tindak balas awal badan terhadap dehidrasi ialah dahaga melampau dan kurang membuang air kecil, selain kencing jadi pekat dan berwarna kuning.
“Disebabkan tahap kehilangan air meningkat, lebih banyak gejala akan berlaku. Antaranya bibir dan mulut kering, air mata berkurang, kurang berpeluh, kekejangan otot, pening, muntah, rasa berdebar-debar, sakit kepala (terutama apabila berdiri), lemah-lemah badan dan berkurangnya pengeluaran air kencing,” ujarnya.
Badan berfungsi untuk mengekalkan output jantung (jumlah darah yang dipam oleh jantung ke badan) dan jika jumlah bendalir dalam ruang intravaskular (ruang salur darah) berkurangan, badan akan cuba mengimbangi pengurangan ini dengan meningkatkan kadar denyutan jantung.
Ini membuatkan saluran darah mengecut untuk cuba mengekalkan tekanan darah dan aliran darah ke organ penting dalam tubuh.
Tubuh cuba menghalakan aliran darah dari kulit ke organ dalaman penting seperti otak, jantung, paru-paru, buah pinggang dan usus, menyebabkan kulit berasa sejuk.
“Mekanisme ini bagaimanapun akan mula lemah jika tahap dehidrasi semakin teruk. Dengan dehidrasi yang teruk, rasa kekeliruan dan badan menjadi lemah disebabkan aliran darah tidak mengalir dengan baik ke seluruh organ badan termasuk otak. Pesakit boleh koma, kegagalan organ dan kematian jika dehidrasi tidak dirawat,” katanya.
Golongan berisiko
Dr. Muhammad Redzwan berkata, kumpulan berisiko mengalami dehidrasi ialah bayi dan kanak-kanak kerana berat badan yang rendah menjadikan mereka lebih sensitif terhadap kekurangan cecair dalam badan.
Warga emas, individu yang mempunyai penyakit kronik seperti diabetes tidak terkawal, penyakit buah pinggang teruk atau kronik dan masalah lemah jantung kritikal antara kumpulan berisiko.
“Individu mengalami dehidrasi berdepan komplikasi strok haba jika tidak minum air yang mencukupi semasa bersahur dan berbuka puasa. Ini terdiri daripada renjatan haba ringan kepada keletihan haba yang berpotensi mengancam nyawa.
“Selain itu, seseorang mungkin berisiko mengalami masalah kencing dan buah pinggang. Dehidrasi berpanjangan atau berulang boleh menyebabkan jangkitan saluran kencing, batu karang, dan juga kegagalan buah pinggang,” katanya.
Dr. Muhammad Redzwan menjelaskan, individu mengalami dehidrasi turut berisiko mengalami sawan elektrolit seperti kalium dan natrium membantu membawa isyarat elektrik dari sel ke sel.
“Jika paras elektrolit tidak seimbang, mesej elektrik biasa akan terjejas yang boleh menyebabkan pengecutan otot secara tidak sengaja dan kadangkala menyebabkan kehilangan kesedaran.
“Golongan ini turut berdepan dengan masalah tekanan darah rendah (hypovolemic shock).
“Ini adalah salah satu komplikasi dehidrasi paling ditakuti berlaku ketika Ramadan pada golongan-golongan yang berisiko kerana ia mampu mengancam nyawa. Ini berlaku apabila jumlah darah rendah menyebabkan penurunan tekanan darah dalam badan,” katanya.
Untuk mengelakkan dehidrasi, pengambilan air kosong dan makan makanan yang tinggi air seperti buah-buahan dan sayur-sayuran perlu diutamakan.
Berjumpa dengan doktor dan bawa segera ke hospital jika mengalami gejala seperti muntah berterusan atau meningkat lebih daripada sehari, demam melebihi 101 F (38.3 C), tetapi kurang daripada 103 F (39.4 C).
Cirit-birit lebih daripada dua hari, pengurangan berat badan, air kencing berkurang, sawan, kesukaran bernafas, kesakitan dada, perut atau pengsan antara tanda perlu segera dapat rawatan.










