Karas, loyang laris jadi pilihan di Aidilfitri - Utusan Malaysia

Karas, loyang laris jadi pilihan di Aidilfitri

Sayangni Ibrahim dan Rosmah Dahaman menunjukkan produk masing-masing.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

MESKIPUN kewujudan kuih raya moden semakin banyak dengan pelbagai jenis pilihan di pasaran, namun kuih tradisional tetap jadi pilihan serta mendapat permintaan tinggi di Aidilfitri.

Antaranya karas, loyang, rempeyek, bahulu dan kuih siput. Pembuat kuih dari Kampung Rambai, Padang Siding, Rosmah Dahaman, 53, berkata, sebanyak 500 bekas atau 15,750 biji kuih loyang atau lebih dikenali sebagai kuih goyang di sebelah utara dihasilkan tahun ini.

Selain loyang jelas dia turut menghasilkan bahulu dan kuih siput yang masih menjadi pilihan utama di Aidilfitri.

“Tahun-tahun sebelum ini, saya ada juga mengambil tempahan kuih moden seperti Tart Nenas, Almond London, Cornflakes Madu dan sebagainya. Namun tahun ini, saya ingin fokus kepada kuih tradisional sahaja kerana tempahan yang terlalu banyak.

“Tambahan pula, tahun ini kita sudah boleh rentas negeri dan pulang beraya, jadi ramai yang membeli kuih untuk dibawa pulang ke kampung halaman,” katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di rumahnya di sini baru-baru ini.

Bahan-bahan digunakan bagi menghasilkan kuih loyang ringkas sahaja.

Antaranya tepung beras, tepung jagung, gula, telur, garam dan air kapur yang kemudiannya dibancuh dan diterapkan menggunakan acuan serta digoreng dalam minyak panas.

Tempahan kuih raya diterima dari seluruh negara. Rosmah yang merupakan usahawan bimbingan Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (Risda) berkata, kerja-kerja membuat kuih tersebut dibantu suami dan anak bongsunya berusia 18 tahun. Beliau yang sudah enam tahun menjual kuih tradisional secara sepenuh masa itu memberitahu, media sosial digunakan sebagai medium mempromosi produknya itu.

“Pelanggan tahu mengenai perniagaan kuih tradisional kami di Facebook, Ros Homemade. Kami menghantar kuih secara pos ke seluruh negara seperti Kelantan, Johor, Selangor dan Melaka.

“Bagi bulan puasa ini, mungkin kami akan bagi tumpuan pada tempahan pelanggan di sekitar sini sahaja dan untuk dihantar di kedai seperti biasa.

“Ada juga orang yang ingin menempah dalam kuantiti yang banyak untuk dijual semula tetapi kami terpaksa menolak,” katanya.

Pasaran ke luar negara
PEMBUAT kuih tradisonal, Sayangni Ibrahim, 51, dari Kampung Gial, Mata Ayer berkata, antara kuih yang dihasilkan adalah karas, goyang, kuih siput dan rempeyek.

Katanya, dia memutuskan memberi fokus kepada tempahan kuih tradisional sahaja musim perayaan ini kerana menerima tempahan yang banyak selain kekurangan tenaga kerja mahir membuat kuih ini.

“Tempahan pada tahun ini meningkat berbanding tahun lalu. Sebab itulah saya tidak sempat untuk buat kuih-kuih moden walaupun ramai yang bertanya mengenainya.

“Kuih tradisional ini bukan sahaja digemari oleh orang-orang tua tetapi juga generasi muda termasuk kanak-kanak. Tanggapan bahawa kuih tradisional hanya digemari orang lama adalah tidak benar apabila tempahan kuih ini telah mengatasi tempahan kuih moden.

“Kuih tradisional seperti kuih karas, rempeyek dan goyang ini ranggup, jadi memang sesuai dengan citarasa orang muda dan kanak-kanak,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×