PETALING JAYA: Polis Diraja Malaysia (PDRM) masih menyiapkan satu lagi kertas siasatan berhubung kes gangguan seksual yang dikaitkan dengan pendakwah terkenal, Ebit Lew.
Memberitahu Utusan Malaysia, Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, Datuk Seri Abd. Jalil berkata, pihaknya sedang melengkapkan kertas siasatan berhubung laporan yang dibuat di sebuah negeri di Semenanjung.
Menurut beliau, siasatan dijalankan termasuklah mengesan saksi-saksi berhubung dakwaan itu.
“Belum pasti bila akan didakwa, masih disiapkan siasatan,” katanya ringkas.
Sebelum ini, Ebit, 37, mengaku tidak bersalah ketika didakwa di Mahkamah Litar di Pejabat Daerah Tenom, terhadap 11 pertuduhan berkaitan gangguan seksual.
Ebit atau nama sebenarnya Ebit Irawan Lew Ibrahim Lew didakwa mengikut Seksyen 509 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, denda atau kedua-duanya sekali bagi setiap pertuduhan
Mahkamah Litar menetapkan 20 hingga 23 April depan sebagai tarikh penyerahan dokumen, manakala tarikh perbicaraan ditetapkan pada Jun depan.
Ebit dibebaskan dengan jaminan RM1,000 bagi setiap pertuduhan dengan dua penjamin.
Ebit kini berdepan pertuduhan membuat penghantaran gambar dan perkataan lucah dengan bermaksud mengaibkan kehormatan seseorang melalui aplikasi WhatsApp.
Semua pertuduhan adalah bagi kesalahan yang didakwa berlaku di daerah Tenom, antara Mac hingga Jun 2021 terhadap seorang perempuan Melayu.- UTUSAN











