KOLEKSI pakaian tradisional seperti kebaya tidak mungkin pupus dek zaman walaupun industri fesyen sudah melangkaui dalam penghasilan rekaan koleksi serba canggih.
Keunikan dan keaslian rekaan kebaya tetap menjadi pilihan bukan saja dalam kalangan dewasa tetapi juga kanak-kanak memandangkan koleksi itu mampu menyerlahkan lagi keayuan serta kecantikan diri.
Menurut penganjur dan pengasas bersama pertandingan Ratu Kebaya Malaysia, Nicole Fe Lynne, kebanyakan kanak-kanak kurang tahu mengenai kebaya nyonya kerana tidak didedahkan ibu bapa mereka.
Pakaian ini juga kurang dipakai ketika perayaan atau keraian kerana anggapan ia sukar dijaga dan agak renyah terutama untuk kanak-kanak.
“Pun begitu, kebaya masih menjadi pilihan ketika menghadiri majlis perkahwinan atau makan malam. Malah ia juga sering menjadi pilihan di hari raya.
“Pemakainya pasti tampak anggun dengan padanan kain sarung dan perhiasan untuk melengkapkan gaya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Tambah beliau, jenis kebaya yang sering digayakan kanak-kanak ialah kebaya tradisional dan kebaya nyonya.
“Material kebaya tradisional yang sering digunakan ialah kain kasa rubia. Ia dipadankan dengan kain sarung, batik dan songket pelbagai motif menarik.
“Ada juga mengenakan motif yang sama untuk bahagian baju dan kain dengan potongan mengikut bentuk badan,” ujarnya.
Tambah Nicole, kanak-kanak turut kelihatan menawan dengan menggayakan kebaya Nyonya.
Selain kain kasa rubia, kebaya ini menggunakan tenunan kosong diperbuat daripada benang pintal yang halus menjadikan ia jarang dan ringan.
“Corak kebaya Nyonya mempunyai motif tersendiri, sama ada bunga dan haiwan dengan pelbagai warna menarik digunakan. Malah ia akan dipadankan dengan kerongsang, kain sarung dan kasut manik,” katanya.
Sehubungan itu, bagi mengekalkan keindahan rekaan tradisional itu, pertandingan Ratu Kebaya Malaysia khas untuk kanak-kanak diadakan baru-baru ini.
Peserta terdiri daripada kanak-kanak berusia tiga sehingga 12 tahun. Mereka dibahagikan mengikut kategori usia manakala setiap padanan adalah pilihan ibu bapa peserta.
Lengkap dirias jurusolek mengikut konsep padanan yang diketengahkan, pertandingan ini menerima sambutan yang menggalakkan.
“Penganjuran program ini secara tidak langsung memupuk minat anak dengan lebih dekat terutama cara pemakaian, penjagaan mahupun penggunaan kebaya nyonya sejak kecil lagi,” katanya.









