Ruang landskap di halaman rumah bukan sahaja mampu mewujudkan keindahan pada sesebuah kediaman, malah ia juga dapat memberikan suasana damai kepada penghuni.
Bukan itu sahaja, kajian turut mendapati halaman rumah yang mempunyai landskap terutamanya bertemakan tumbuh-tumbuhan akan mampu menjimatkan tenaga memandangkan ia memberikan suasana sejuk di sekitar rumah.
Jadi, tidak perlu buka kipas atau penghawa dingin sepanjang hari.
Oleh itu, jika ada ruang kosong terbiar di halaman mungkin sudah boleh dipertimbangkan untuk dijadikan taman atau laman landskap.
Hanya perlukan sedikit susun atur dan kreativiti, halaman rumah mampu ditransformasi ala-ala resort.
Seperti yang dikongsikan oleh Ruzlan Ramli,56, menghasilkan sendiri landskap di halaman rumahnya bertemakan kehijauan nusantara.
Penggunaan tempayan dijadikan air terjun mini diserikan dengan pelbagai jenis pokok dan bunga-bungaan, memberikan sentuhan magis pada kediamannya.
“Laman landskap ini dibina sendiri oleh saya 100 peratus sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang lalu.
“Timbul idea pada awalnya adalah bagi mengisi ruang kosong untuk dijadikan kawasan air terjun mini berlampu sebagai salah satu elemen terapi jiwa,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Laman landskap itu dibina dengan hanya menggunakan beberapa bahan asas seperti tempayan, bata, teko saluran air, motor pam air, batu-batu hiasan, menara berlampu, pokok bunga kembang 10 serta pokok menjalar.
AIR TERJUN MINI
Bahan-bahan
Tempayan
Teko saluran air
Motor pam air
Menara berlampu
Batu hiasan
Pokok menjalar
Kaedah Penyediaan
1.Sediakan tempayan bersaiz besar berwarna hitam.
2.Letak teko air saiz kecil di atas.
3.Kemudian sambungkan paip dari dasar tempayan hitam hingga ke atas air terjun.
4.Sambungkan kuasa elektrik.
5.Hiaskan dengan batu sungai di bahagian bawah tempayan untuk memberikan efek lebih menarik serta tumbuhan menjalar di bahagian tepi untuk memberikan sentuhan semulajadi. – UTUSAN










