Menjahit sendiri baju tradisi Kadazan buat kali pertama untuk anak lelaki yang bakal melangsungkan perkahwinan menjadi titik permulaan bagi Sarah Magtotor, 56, menceburi jahitan pakaian tradisi Sabah.
Jika 20 tahun dahulu, beliau menjahit langsir dan menjualnya di pasar tamu secara sambilan kini, beliau boleh berbangga kerana produk jahitannya mula dikenali dalam kalangan pelanggan.
Hanya melalui cadangan kawan-kawan, pelanggan semakin memberi kepercayaan kepadanya untuk menjahit pakaian tradisi suku kaum Kadazan, Dusun, Murut dan Rungus (KDMR) di Sabah.
“Semasa anak saya mahu berkahwin dengan orang Kadazan dari Penampang pada tahun 2012, saya cuba menjahit baju tradisi untuk perkahwinan mereka.
“Sejak itu, orang mula membuat tempahan pakaian tradisi KDMR daripadanya. Sehingga kini, pakaian tradisi yang saya jahit sering mendapat tempahan daripada pelanggan, bukan hanya di Sabah tetapi juga dari Semenanjung Malaysia dan luar negara,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Komitmennya belajar tentang pakaian tradisi kaum KDMR membolehkan tukang jahit daripada suku kaum Visaya yang menetap di Tawau ini membantu mempromosikan tradisi suku kaum Sabah.
Biarpun berlainan suku kaum namun, itu bukan alasan untuknya membantu mengangkat budaya Sabah menerusi pakaian tradisi yang dipamerkan dan dijual melalui pameran kraftangan menerusi gerai ‘Tekstil himpogot costume & jewellery’.
KIAN DIKENALI
Menurutnya, penyertaan dalam pameran kraftangan yang sering diadakan di Kuala Lumpur membolehkan namanya mula dikenali dalam kalangan pelanggan. Kini, pakaiannya turut ditempatkan di Pasar Seri Kembangan.
Sarah berkata, baju tradisi yang dihasilkan boleh mencecah sehingga RM3,000 bagi pakaian asli yang lengkap dengan perhiasan seperti tangkong dan himpogot untuk pakaian wanita.
“Harga standard baju tradisi antara RM280 hingga RM700, bergantung kepada jenis pakaian. Jika pakaian tradisi Sinipak bagi suku kaum Dusun Tindal, Kota Belud boleh mencecah RM700 untuk pakaian wanita kerana memerlukan banyak jahitan manik.
“Untuk kain baldu pula, saya menggunakan baldu yang ditempah dari India kerana kainnya lebih lembut dan selesa apabila dipakai. Uniknya tentang baju tradisi ini, ia tidak boleh dicuci, sebaliknya hanya perlu dibersihkan menggunakan berus pakaian untuk menghilangkan kulat dan boleh disimpan selama lebih 10 tahun,” katanya.
Beliau berupaya menghasilkan sehingga lima pasang dalam tempoh sehari namun, baju yang mempunyai banyak manik dan hiasan akan mengambil masa lima hari untuk disiapkan.
Menariknya tentang baju tradisi ini, pemakaian sudah semakin meluas. Selain digayakan ke majlis keramaian seperti Pesta Kaamatan dan perkahwinan, ia turut dipakai ke acara makan malam mahupun perjumpaan keluarga.
Peredaran zaman menyaksikan banyak pakaian tradisi dimodenkan namun, Sarah cuba mengekalkan keaslian pakaian tradisi ini agar tidak hilang ditelan zaman.
Tambah Sarah, beliau bersyukur kerana tempahan sentiasa diterima walaupun semasa pandemik Covid-19.
“Sebelum pandemik, saya mampu memperoleh pendapatan kira-kira RM3,000 seminggu hasil daripada jahitan pakaian tradisi.









