Gabungan rasa sambal yang pedas, manis, masam dan masin pasti membangkitkan selera sesiapa sahaja.
Lebih-lebih lagi jika taucu yang digunakan berkualiti sudah tentu hidangan sambal taucu ini bakal menajadi lebih lazat buat pencinta sambal taucu.
Seri kongsikan resepi Siti Zakiah Dulkadir daripada Dapur Tiyah iaitu Sambal Taucu Ikan Tenggiri yang mudah disediakan namun sangat enak dinikmati bersama nasi panas.
Cara penyediaannya juga mudah, sesuai untuk dibuat lauk berbuka mahu pun bersahur tidak lama lagi. Jom cuba!
Bahan-bahan:
• 4 ketul ikan tenggiri diletak garam dan kunyit
• 10 batang cili padi (boleh kurangkan pedas mengikut selera masing-masing)
• 1 batang cili merah besar
• 1 labu bawang besar
• 2 ulas bawang putih
• 1 inci halia
• air asam jawa atau sesudu kecil pes asam jawa
• 1 sudu besar membukit taucu (pastikan taucu berkualiti dan tidak terlalu masin)
• gula
• serbuk perasa
Penyediaan:
Kisar kasar:
• cili api
• cili besar
• bawang merah
• bawang putih
• halia
Cara masak:
1) Goreng ikan tenggiri yang telah digaram kunyit dan ketepikan.
2) Tumis bahan kisar hingga naik bau.
3) Terus masukan serbuk perasa, gula dan taucu.
4) Masak sehingga sambal naik minyak.
5) Masukan air asam jawa dan kacau sebati.
6) Seimbangkan rasa pedas, masam, manis dan masin taucu.
7) Masukan ikan tenggiri dan kacau sebati.
8) Siap dan boleh dihidangkan.










