Rebut keistimewaan amalan di bulan Syaaban - Utusan Malaysia

Rebut keistimewaan amalan di bulan Syaaban

Keistimewaan Syaaban kerana dikenali sebagai bulan diangkat semua amalan ke sisi Allah SWT.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Bulan Syaaban berada di susunan turutan kelapan dalam kalendar Hijrah iaitu antara Rejab dan Ramadan. Perkataan Syaaban diambil dari kata ‘Sya’bun’ bermaksud kelompok atau golongan.

Disebut Syaaban kerana masyarakat jahiliyah berpecah kelompok untuk mencari sumber air atau ada juga pendapat menyatakan berpecah menjadi kelompok untuk melakukan peperangan.

Keistimewaan Syaaban kerana dikenali sebagai bulan diangkat semua amalan ke sisi Allah SWT dan Nabi SAW melazimi dan memperbanyakkan ibadah puasa sunnah dalam bulan ini berbanding bulan selainnya.

Usamah ibn Zaid RA pernah bertanya kepada Nabi SAW: Wahai Rasulullah, aku tidak pernah melihat engkau berpuasa pada satu bulan sebagaimana engkau berpuasa pada bulan Sya’ban?

Rasulullah menjawab: Itu adalah bulan yang manusia sering lalai padanya iaitu bulan yang berada di antara Rejab dan Ramadan. Bulan tersebut adalah bulan yang diangkat amalan-amalan kepada Tuhan semesta alam, maka aku suka ketika amalanku diangkat dalam keadaan aku sedang berpuasa (Riwayat Ahmad no. 21753 dan an-Nasa’i no. 2317).

Dalam riwayat lain ‘Aisyah RA pernah mengkhabarkan dengan katanya: Nabi SAW biasanya berpuasa sehingga kami katakan bahawa baginda tidak akan berbuka (berpuasa terus). Seterusnya Nabi SAW apabila berbuka sehingga kami katakan bahawa beliau akan terus berbuka (tidak berpuasa terus). Aku tidak melihat baginda SAW menyempurnakan puasanya sebulan penuh melainkan pada bulan Ramadan. Aku juga tidak pernah melihat baginda SAW berpuasa (puasa sunat) dalam sebulan yang lebih banyak melainkan ketika baginda SAW berpuasa pada bulan Sya’ban (Riwayat Bukhari dan Muslim).

Berdasarkan hadis pertama diriwayatkan Usamah bin Zaid menunjukkan Nabi SAW berpuasa penuh dalam bulan Syaaban dan lebih suka amalannya diangkat ketika dalam keadaan berpuasa. Hadis ini juga menunjukkan umat Islam digalakkan beramal dan melakukan ketaatan ketika manusia sedang lalai.

Sementara hadis kedua yang diriwayatkan oleh ‘Aisyah RA pula menunjukkan Nabi SAW banyak berpuasa di dalam bulan Syaaban. Ini menggambarkan bilangan hari Nabi SAW berpuasa dalam bulan ini adalah banyak.

Namun ada juga riwayat lain dilihat seolah-olah bertentangan atau bercanggah dengan dua hadis di atas iaitu Adapun Rasulullah SAW berpuasa pada bulan Sya’ban melainkan sedikit (Riwayat Muslim, no.1957). Hadis ini pula memberi gambaran bilangan hari Nabi SAW berpuasa adalah sedikit.

KAEDAH & TEKNIK
Berkaitan riwayat-riwayat hadis yang dilihat saling bertentangan atau bercanggah, para ulama hadis mempunyai beberapa kaedah atau teknik untuk berinteraksi dengan riwayat hadis sedemikian.

Melalui kaedah ‘menghimpunkan antara dua hadis tersebut’. Jika kaedah ini tidak berhasil, maka para ulama hadis akan menggunakan kaedah kedua iaitu dengan melihat pada nasikh dan mansukh.

Jika masih tidak berhasil, maka mereka akan menggunakan kaedah ketiga iaitu tarjih (pemilihan). Jika masih tidak berhasil juga, maka terakhir adalah kaedah keempat iaitu tawaqquf (tinggalkan).

Pandangan pertama, sebahagian ulama menyatakan Nabi SAW berpuasa di bulan Syaaban secara penuh di sebahagian tahun sahaja, manakala di sebahagian tahun lain Nabi SAW berpuasa sedikit sahaja. Ini menggambarkan Nabi SAW tidak berpuasa secara penuh dalam bulan Syaaban di setiap tahun.

Pandangan kedua, sebahagian ulama menyatakan bahawa Nabi SAW tidak pernah berpuasa sebulan penuh pada bulan Syaaban kecuali di bulan Ramadan sahaja.

Sementara hadis yang menyatakan Nabi SAW berpuasa pada bulan Syaaban melainkan sedikit, boleh difahami dari sudut bahasa jika seseorang yang sering berpuasa boleh dikatakan telah berpuasa sebulan penuh disebabkan kelazimannya terhadap perbuatan itu ataupun telah berpuasa sebahagian besar daripada bulan tersebut.

Setelah diteliti dua pandangan tersebut, maka boleh dikatakan pandangan yang kedua adalah lebih tepat iaitu yang menyatakan Nabi SAW tidak pernah berpuasa sebulan penuh pada bulan Syaaban kecuali di bulan Ramadan sahaja.

Justeru, umat Islam digalakkan dan dianjurkan puasa sunat, memperbanyakkan amalan dan memohon keampunan kepada Allah SWT dalam bulan Syaaban berdasarkan hadis yang dibentangkan di atas.

Nabi SAW menyukainya kerana pada ketika itu amalan tahunan berpeluang diangkat dan dipersembahkan oleh malaikat kepada Allah SWT dalam keadaan sedang berpuasa.

Ia juga sebagai persediaan membiasakan diri bagi masyarakat Islam untuk menghadapi Ramadan yang akan menyusul setelah bulan Syaaban melabuhkan tirainya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×