Pihak berkuasa agama berhak `uruskan' kumpulan tidak divaksin - Utusan Malaysia

Pihak berkuasa agama berhak `uruskan’ kumpulan tidak divaksin

JAKIM memberikan kuasa kepada jabatan agama negeri menentukan kaedah diambil terhadap guru KAFA enggan menerima vaksin.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUTRAJAYA: Pihak berkuasa agama negeri boleh mempertimbangkan semua  kaedah bersesuaian untuk menguruskan Guru-guru Kelas Agama dan Fardu Ain (KAFA) yang tidak mendapatkan vaksin Covid-19.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, Ketua Pengarah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (Jakim), Datuk Hakimah Mohd. Yusoff berkata, ini termasuk menguruskan mereka yang tidak layak untuk menerima imunisasi Covid-19 dari segi perubatan.

Menurut beliau, perkara itu turut terpakai bagi mengarahkan guru KAFA untuk membuat ujian pengesanan Covid-19.

Kata Hakimah, langkah ini  bagi memastikan pelaksanaan imunisasi Covid-19 lancar sebagaimana dinyatakan dalam Panduan Pelaksanaan Imunisasi Covid-19 Bagi Guru Kelas Al-Quran dan Fardhu Ain (KAFA) kepada Pihak Berkuasa Agama Negeri yang diterbitkan Jakim pada 18 Februari lalu.

“Selain itu, usaha ini dilihat sebagai salah satu cara menjaga maslahah guru, murid dan komuniti KAFA.

 “Jakim mengambil maklum langkah yang diambil oleh Jabatan Agama Islam Selangor (Jais) ke atas Guru-guru KAFA di Selangor yang enggan mengambil vaksin  seperti yang dilaporkan media,” katanya di sini semalam. 

 

Guru KAFA

Terdahulu, dalam satu laporan media, Jais menetapkan semua guru KAFA di Selangor yang enggan mengambil vaksin Covid-19 akan digantung tugas selama dua bulan. 

Pengarahnya, Mohd. Shahzihan Ahmad berkata, perkhidmatan guru-guru itu turut boleh ditamatkan serta-merta jika mereka masih tidak melengkapkan vaksinasi Covid-19 sepanjang tempoh penggantungan tersebut.

Tambahnya, tindakan tersebut diambil berpandukan ketetapan yang dibuat pihaknya berdasarkan titah Sultan Selangor, Sultan Sharafuddin Idris Shah, yang mengingatkan perkara sama kepada para pegawai masjid dan jurunikah.

Tempoh penggantungan tersebut katanya, adalah peluang yang diberikan kepada guru-guru KAFA terbabit untuk melengkapkan vaksinasi Covid-19.

Terdapat segelintir pihak yang enggan mematuhi ketetapan di peringkat negeri Selangor dan hanya mengikut arahan daripada Kerajaan Persekutuan, tambahnya.

Tahun lepas, dilaporkan seramai 130 guru KAFA di Selangor dipanggil kerajaan negeri untuk sesi penerangan kali kedua susulan keengganan mereka menerima vaksin Covid-19 menerusi sesi khas dianjurkan JAIS pada September.

Exco Hal Ehwal Agama Islam, Hal Ehwal Pengguna dan Industri Halal Selangor, Mohd. Zawawi Ahmad Mughni berkata, sesi penerangan itu membabitkan pakar kesihatan, agamawan dan mufti bagi memberi maklumat tepat berhubung pengambilan vaksin.- UTUSAN

 

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN