Pelamin persandingan antara yang menjadi perhatian setiap kali majlis perkahwinan diadakan.
Ia bagaikan sudah menjadi simbolik wajib bagi majlis perkahwinan yang akan menjadi singgahsana buat mempelai.
Bukan hanya itu, ia juga menjadi port wajib untuk keluarga, sanak-saudara mahupun sahabat handai bergambar kenangan bersama pengantin.
Dari yang berkonsepkan tradisional, barat dan kontemporari, ia terus menjadi penghias utama majlis persandingan sehingga kini.
Bagaimanapun, memasuki tahun 2022, nampaknya ramai yang beralih kepada selera barat termasuk dalam pemilihan pelamin.
Pemilik butik perkahwinan Capredoca, Muhammad Hadi Guna Safnal berkata, rekaan pelamin berkonsepkan Inggeris antara yang mendapat sambutan ramai tahun sejak setahun kebelakangan ini.
“Kebanyakan pelanggan kami ramai yang memilih rekaan pelamin berkonsepkan Inggeris menggunakan papan Wainscoting atau pun kita panggil juga sebagai English Backdrop.
“Rekaan ini tidak terlalu sarat dengan hiasan bunga seperti konvensional dan ia lebih kepada bermain dengan prop,” katanya kepada Utusan Malaysia.
DAPAT SAMBUTAN
Malah, tema Taman Inggeris juga tidak kurang mendapat sambutan daripada pelanggan yang gemarkan perkahwinan seakan dalam taman.
Rekaan pelamin berkenaan bermain dengan susunan daun optimum dan hanya menggunakan sedikit bunga sebagai hiasan.
“Selain Inggeris Wainscoting, rekaan ini antara yang paling laris di Capredoca ketika ini. Kebanyakan pelanggan lebih sukakan hiasan berasaskan daun berbanding bunga-bungaan.
“Kita bermain dengan tekstur daun yang banyak dan hanya ditambahkan sedikit sahaja bunga untuk memberikan nilai tambah kepada rekaan pelamin berkenaan,” jelasnya.
English Drapping atau rekaan pelamin yang menggunakan langsir lendut juga antara yang menjadi trend terkini untuk majlis persandingan.
Rekaan ini lebih tertumpu kepada susunan bunga-bungaan yang banyak tanpa menggunakan backdrop.
Hiasan utama tertumpu kepada kreativiti membentuk langsir kepada pelbagai bentuk seperti rama-rama dan sebagainya.
Tidak lengkap majlis kahwin rasanya jika tidak ada pelamin.
Jadi, pemilihan pelamin perlulah dilakukan dengan terperinci supaya ia menepati kehendak serta dapat menjadi penyeri majlis.
Hadi berkata, pemilihan pelamin yang bersesuaian dengan kehendak dan tema majlis akan membangkitkan seri pada majlis sekaligus mengindahkan suasana.
Hadi turut berkongsikan beberapa panduan dalam pemilihan pelamin yang mudah dan sudah tentu dapat menjadi kenangan terindah dalam majlis penuh bermakna itu.
1. Bajet
Seperti biasa, segala-galanya bergantung kepada bajet. Jika inginkan pelamin yang gah sudah tentu belanja yang perlu dikeluarkan juga tidak kurang hebatnya. Pengiraan bajet bagi pelamin juga akan memudahkan wedding planner mencadangkan dan merealisasikan pelamin impian pasangan pengantin.
2. Ketahui rekaan pelamin diingini
Seterusnya, amatlah penting bagi pasangan pengantin untuk tahu tema yang diingini untuk rekaan pelamin. Sepeti busana, pelamin juga mempunyai pelbagai rekaan yang memenuhi citarasa pelbagai. Penting juga pengantin menetapkan konsep perkahwinan supaya pelamin yang dipilih tidak lari dari tema.
3. Pemilihan lokasi
Kenalpasti lokasi majlis yang bakal diadakan sebelum membuat tempahan pelamin kerana keluasan pelamin berbeza bagi setiap lokasi.
Kata Hadi, harga pelamin di Capredoca bermula dari 850 sehingga 1500 bergantung kepada lokasi sama ada di rumah atau dewan. Dewan memerlukan bajet yang lebih tinggi kerana kebiasaan keluasannya lebih besar.
4.Pemilihan warna
Elemen warna penting untuk menaikkan seri terutamanya dalam gambar.
Untuk lebih selamat, pilih warna asas pastel seperti pink atau peach yang sesuai dipadankan dengan pelbagai warna.
Kata Hadi, tidak perlu takut mencuba monotone atau warna yang sama dengan busana kerana ia tidak akan kelihatan sekata. Semuanya bergantung kepada kreativiti jurugambar menjadikan pengantin kelihatan menonjol.
Sebaliknya, elakkan pemilihan warna yang terlalu kontra antara baju dan pelamin.
Warna baju terlalu gelap tidak sesuai dipadankan dengan warna pelamin cerah atau pastel kerana akan kelihatan janggal.










