Rupa paras jelita. Selera fesyennya juga bukan calang-calang. Lagak bersahaja Puteri Intan Zarith Che Rashdi, 38, ini nyata berjaya mencuit hati hampir 300,000 pengikut dalam laman sosial Instagramnya.
Tauke produk makanan tambahan ini ada alasan berbuat demikian, kerana dia memiliki lima syarikat produk suplemen dan tiga daripadanya diusahakan bersama beberapa artis tempatan termasuk Fazura, Mira Filzah dan Nora Danish.
Dikelilingi artis popular menjadikan dirinya terdedah dengan dunia glamor. Maka tidak hairanlah andai dirinya sentiasa pose cantik dalam media sosial.
Paparan itupun, hanyalah untuk keperluan perniagaan dan bukan untuk menunjuk-nunjuk.
“Saya sebenarnya memang komited dengan hala tuju untuk bergelar usahawan berjaya,” tuturnya kepada Utusan Malaysia.
Berpegang kepada prinsip sentiasa menolong orang lain kerana ia secara tidak langsung membantu dirinya sendiri.
Berbual panjang dengannya banyak menyuntik input positif yang boleh dijadikan azimat pengukuhan peribadi yang positif.
Memulakan kerjaya dengan makan gaji di sebuah syarikat. Dia kemudiannya memutuskan untuk membina empayar perniagaan sendiri lapan tahun lalu.
Pengalaman bekerja menjadi guru terbaik baginya kerana ia seperti sebuah universiti yang mengajar bagaimana untuk mengendalikan sesuatu projek, cara berkomunikasi dan juga merancang strategi sesebuah perniagaan.
“Pada penghujung 2014 saya menjadi pengasas bersama kepada syarikat VS Beauty Expert yang popular dengan produk OLIcandy dan juga Jus VSireh.
“Alhamdulillah hasil kerja keras daripada segi kajian dan merancang pemasaran, jenama ini mendapat sambutan cukup baik dan ia menjadi titik permulaan kepada saya menceburi dalam perniagaan lain,” katanya yang kini memiliki lima syarikat yang mengeluarkan suplemen.
Mengakui terdapat perubahan yang ketara terutama aspek gaya hidup apabila berniaga sendiri, tegas Puteri Zarith, bukan niatnya mahu menunjuk-nunjuk mengenai gaya hidup sekarang dalam media sosial tetapi melakukannya atas tuntutan kerja.
“Dulu saya bekerja makan gaji. Selepas kelahiran anak sulung dan kedua, saya mula terfikir mahu menceburi bidang perniagaan kerana rata-ratanya keluarga saya semuanya memiliki perniagaan sendiri.
“Saya juga memang gemarkan fesyen dan barang berjenama. Misalnya, ketika bekerja makan gaji pun, saya sanggup mengumpul duit sedikit demi sedikit semata-mata mahu membeli beg tangan Louis Vuitton. Daripada situlah saya mula mahu mencari duit lebih,” katanya.
Anak kelahiran Kelantan ini memberitahu, dia bermula sebagai stokis produk. Hasil pendapatan diperoleh, melebihi gaji diterima setiap bulan. Rentetan daripada itulah dia akhirnya nekad berhenti kerja lalu fokus kepada bidang perniagaan.
“Saya mendapat pendedahan mengenai dunia media sosial pada 2014. Saya belajar bagaimana memanfaatkan bidang perniagaan melalui medium berkenaan,” katanya.
Ibu kepada dua orang cahaya mata ini memberitahu, bekerja sendiri memberikan kelebihan buat dirinya daripada aspek pembahagian masa buat keluarga dan kerja yang mana dia boleh mengurus waktu.
FESYEN & KECANTIKAN
Beliau ketika ditemui cantik mengenakan persalinan terkini daripada sebuah jenama. Nyata dia amat menggemari fesyen dan kecantikan.
Namun tegasnya, gaya hidup yang dipapar dalam media sosial hanyalah sebahagian daripada strategi pemasaran.
“Apa yang saya tonjokan ini bukan diri saya sebenarnya. Apa yang cuba saya sampaikan adalah mengenai keberkesanan produk saya. Ia sekali gus menarik perhatian umum untuk membeli dan mencubanya.
“Tidak semua saya kongsikan kerana saya masih memegang kepada prinsip privasi dan batas yang perlu dijaga demi keselamatan diri dan keluarga.
“Selebihnya saya mahu memberi motivasi yang kita boleh berjaya jika berusaha dan bekerja keras,” katanya.
Bertekak sebab telefon
Sering menghadap telefon boleh membangkitkan kemarahan pasangan. Itu diakui Puteri Zarith.
“Saya sibuk dengan perniagaan manakala suami pula sibuk dengan tugasnya sebagai doktor. Kekangan kami adalah soal masa sehinggakan ada kalanya tiga hari kami tidak berjumpa. Jika bersemuka sekalipun hanya 30 minit. Namun kami pastikan sentiasa berkomunikasi antara satu sama lain.
“Sebenarnya soal ini seringkali terjadi kepada diri saya sendiri. Misalnya, apabila tiba waktu makan, dua-dua sibuk melihat telefon. Tetapi dalam situasi saya pula, ia adalah tuntutan kerja. Hampir setiap masa saya perlu belek telefon untuk melihat sama ada staf saya buat kerja.
“Saya sudah maklumkan kepada suami terlebih dahulu dan sering mengingatkannya bahawa saya bukanlah suka-suka mahu berkepit dengan telefon. Biarpun pada mulanya hampir bertekak juga, tetapi kami mencari titik persefahaman dan solusi untuk tangani isu ini,” ujarnya memberi alasan.
Kenal pasti punca kegagalan
Setiap kejayaan pasti tidak lengkap jika tidak berdepan cabaran. Sewaktu mula menubuhkan perniagaan, Puteri Zarith dan rakan niaga tidak mempunyai staf sebaliknya segala urusan dilakukan sendiri. Ini termasuklah membungkus barang dan menghantar sendiri pesanan kepada pelanggan.
Hanya selepas beberapa bulan barulah syarikat mampu menggaji staf.
“Apabila perniagaan semakin stabil kami berpindah ke pejabat lebih selesa dan mampu mengambil lebih ramai pekerja.
“Rentak untuk berniaga sebenarnya sama. Pemilik perniagaan mesti tahu setiap operasi perniagaan secara menyeluruh. Pengalaman saya bermula dari bawah, terbabit secara langsung dalam semua aspek kerja membuatkan saya lebih teliti peranan dan skop pekerjaan setiap pekerja,” katanya.
Walaupun mempunyai akauntan syarikat, wanita ini masih tekun meneliti rekod perniagaannya. Bagi dirinya, setiap majikan perlu peka terhadap rekod kewangan syarikat tidak kira sebesar manapun syarikat dikendalikan.
“Dalam berniaga, untung itu belum tentu, tetapi rugi itu pasti. Jadi setiap kali berdepan kerugian atau kegagalan, saya tidak benarkan diri untuk putus asa atau bersedih secara berlebihan,” katanya.
Sebaliknya, saya akan kenal pasti punca kegagalan dan cari solusi bagi mengatasi masalah. Baginya, tidak semua yang diusahakan akan berjaya, ada waktunya memang tidak mendatangkan hasil.
“Jangan biarkan kegagalan menyekat diri berkembang. Jadikan kegagalan itu sebagai suatu pelajaran,” katanya.
Pada masa sama pesannya, jangan cepat berasa selesa, sebaliknya sentiasa menuntut ilmu.
“Kepuasan saya bila produk habis terjual dan menerima maklum balas positif daripada pelanggan.
“Ia membuatkan saya rasa bersyukur dan berpuas hati kerana sekurang-kurangnya saya dapat membantu mereka,” katanya.










