Masa memandu jugalah dia nak bersolek? - Utusan Malaysia

Masa memandu jugalah dia nak bersolek?

Bukan sedikit video mengenai pemandu yang melakukan benda lain sewaktu atas kenderaan. - GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Wanita sememangnya istimewa. Akal dan ilmu dimiliki membantu mereka melakukan banyak tugasan dalam satu masa.

Dalam Islam, peranan isteri hanyalah melayan suami, namun dalam budaya Melayu, ramai isteri yang ringan tulang membantu suami melangsaikan hal ehwal rumahtangga.

Selain meraih pahala, ia juga membina kepimpinan dalam diri wanita dan anak-anaknya.

Anak yang melihat ibunya rajin, sudah semestinya turut terpengaruh dengan kerajinan ibunya. Itu belum lagi bab menjadi cikgu yang memberikan tunjuk ajar pada kerja sekolah anak-anak.

Lebih daripada itu, kalau seorang isteri itu reda melakukannya, bukankah hidup berkeluarga itu lebih memberi erti? Saya rasa tidak ada wanita normal yang sanggup duduk goyang kaki sahaja sambil menunggu suami balik ke rumah.

Namun kehebatan melakukan banyak perkara dalam suatu masa ini, yang satu ini paling saya tidak berkenan – perah susu sambil memandu dengan alasan tidak sempat atau mengejar masa.

Memang betul teknologi membantu wanita memudahkan kerja itu. Tak perlu menggunakan tanganpun. Kalau berbanding dengan zaman dulu-dulu, memerah perlu menggunakan tangan.

Tetapi hakikat yang tidak boleh kita nafikan ialah perbuatan wanita itu boleh membahayakan pemandu lain dan orang sekelilingnya. Bagaimana kalau susu tertumpah? Secara automatik kita pasti akan terkejut dan mungkin menekan brek secara mengejut.

Pada saya orang begini cuai dan kecuaiannya itu boleh mengundang petaka kepada pengguna jalan raya lain yang tidak bersalah.

Bukan sedikit video mengenai pemandu yang melakukan benda lain sewaktu atas kenderaan. Sudah banyak dan barangkali juga makin menjadi-jadi. Tetapi macam tak serik-serik juga. Kalau memandu ada orang sebelah, mungkin rakan sebelah boleh ingatkan, tetapi kalau memandu sendirian, bagaimana?

Yang tidak sedapnya, kenderaan di sebelah belakang pula yang terpaksa berhati-hati dengannya.

Realitinya, kalau tangan sudah di stereng, otak dan tumpuan seharusnya diberikan pada yang ada depan mata.

Kalau berjumpa pemandu seperti ini, memang saya akan membunyikan hon atau naikkan lampu.

Bukan sebagai tanda protest, tetapi sebagai peringatan kepadanya untuk memberikan fokus pada pemanduan.

Baru-baru ini, Australia menguatkuasakan penggunaan telefon kamera khas bagi mengesan pemandu yang menggunakan telefon bimbit di jalan raya.

Penguatkuasaan itu menjadikan negara itu yang pertama di dunia berbuat demikian.

Malaysia ada juga mengenakan denda RM300 bagi kesalahan menggunakan telefon bimbit sewaktu memandu tetapi seolah-olah ramai yang tidak takut kena denda.

———-
NOR AFZAN MOHAMAD YUSOF, Penolong Pengarang Berita, Utusan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×