TEKAK teringin menu baharu tetapi hidangan semudah ABC? Boleh cuba resipi Roti Mantou Goreng Cicah Udang Berkrim Mentega atau Creamy Butter Prawn.
Resipi yang dikongsikan oleh Pengasas Farra Beauty dan Pengasas Bersama Nilofa Group, Nur Farrahiyah Kamal Bharin atau lebih dikenali Farra Fareez ini cukup mudah disediakan bagi wanita yang berkerjaya dan sibuk menguruskan rumah tangga.
Menu ini merupakan antara hidangan yang sering menjadi pilihan anak-anak dan tetamu yang bertandang ke rumah beliau.
Kata Farra, roti mantou ini terkenal dalam kalangan orang-orang Cina. Ia garing di luar dan lembut di dalam. Roti mantou goreng sedap dicicah dengan udang mentega berkrim, sambal tumis atau kari, mengikut selera dan kesukaan masing-masing.
RESIPI ROTI MANTOU CICAH UDANG MENTEGA BERKRIM
Bahan-bahan udang
• 1/2 kilogram udang
• Minyak zaitun
• Lada hitam (dikisar halus)
• Garam
Cara penyediaan udang
1) Panaskan kuali bersama sedikit minyak zaitun dan masukkan udang. Goreng sehingga udang masak.
2) Taburkan sedikit lada hitam dan garam.
3) Angkat dan ketepikan.
Bahan-bahan kuah Udang
Mentega Berkrim
• 1 biji bawang Holland (dipotong halus)
• 2 sudu mentega
• 1 tin susu cair
• Parmesan cheese (sesedap rasa)
• Daun parsley (dipotong halus)
• Lada hitam halus
• Gula
• Garam
Cara penyediaan kuah
1) Panaskan mentega dan tumiskan bawang Holland sehingga garing.
2) Masukkan susu cair, lada hitam, parmesan cheese, garam dan gula secukup rasa.
3) Tutup api, kemudian masukkan udang dan taburkan daun parsley.
Bahan-bahan roti
• 1 pek roti mantou (boleh didapati di bahagian sejuk beku di pasar raya)
• Minyak
Cara penyediaan
1) Gorengkan roti mantou di dalam minyak panas dengan api kecil. Pastikan minyak betul-betul panas untuk menghasilkan roti yang gebu dan tidak menyerap minyak.
2) Angkat roti mantou apabila sudah garing, tos dan boleh dihidang bersama udang mentega berkrim.










