Madinah bumi yang pasti akan menggamit sukma muslimin. Kerinduan mendalam terhadap bumi Madinah tidak lain dan tidak bukan kerana ia telah dipilih untuk menjadi tempat persemadian jasad Sang Kekasih Agung Nabi Muhammad SAW.
Ziarah Rasulullah
Sekalipun ibadah umrah dan haji adalah sah tanpa menziarahi Rasulullah SAW, namun satu kerugian yang amat sangat sekiranya seseorang hanya menumpukan ibadah umrah dan haji tanpa dia menziarahi sang kekasih sukma dan jiwa, Nabi Muhammad SAW.
Para ulama sepakat bahawa menziarahi Rasulullah SAW adalah satu ibadah disyariatkan. Menurut para fuqaha, menziarahi Rasulullah SAW adalah satu ibadah disunatkan bahkan menurut al-Imam al-Nawawiyy, menziarahi Rasulullah SAW adalah antara sepenting-penting ibadah yang mendekatkan kita kepada Allah. Sehinggakan al-Faqih Abu ‘Imron Musa bin ‘Isa al-Farisiyy yang merupakan salah seorang fuqaha dalam mazhab al-Imam Malik bin Anas berpendapat bahawa menziarahi Rasulullah SAW adalah satu ibadah yang wajib dilakukan.
Al-Imam al-Tobaroniyy meriwayatkan menerusi sanad beliau:
Daripada (Sayyidina ‘Abdullah) bin ‘Umar, beliau telah berkata:
Rasulullah SAW telah bersabda: Barang siapa yang telah menziarahi kuburku selepas kewafatanku, dia adalah seperti sesiapa sahaja yang telah menziarahiku semasa hayatku.
Al-Imam al-Daroqutniyy meriwayatkan menerusi sanad beliau: Daripada (Sayyidina ‘Abdullah) bin ‘Umar, beliau telah berkata: Rasulullah SAW telah bersabda: Barang siapa yang telah menziarahi kuburku, syafaatku telah wajib untuknya.
Sunat Sebelum Masuk
Disunatkan mandi sebelum memasuki kota Madinah.
Sepanjang perjalanan pula, dituntut memperbanyakkan selawat dan salam kepada Baginda. Apabila sudah mula melihat pokok-pokok yang tumbuh di Madinah, kita dituntut memperbanyakkan lagi selawat dan salam kepada Junjungan Mulia Nabi Muhammad SAW.
Bila sudah tiba, penziarah dituntut membersihkan diri dan memakai pakaian yang paling bersih dan paling bagus dimilikinya untuk menziarahi semulia-mulia makhluk Allah Taala iaitu kerinduan hati Nabi Muhammad SAW.
Menurut catatan para ulama silam di dalam kitab-kitab mereka, tindakan memakai pakaian yang paling bersih dan paling bagus ini adalah setelah mandi sunat sebelum memasuki kota cinta Madinah dan bukannya setelah memasuki kota Madinah.
Namun disebabkan suasana perjalanan ke Madinah pada hari ini sudah berubah dan agak sukar untuk kenderaan berhenti sebelum tiba di Madinah bagi memberi peluang para penziarah untuk mandi, maka bolehlah digantikan dengan mandi dan memakai pakaian yang istimewa ini setelah para penziarah tiba di penginapan masing-masing di Madinah.
Setelah tiba di al-Masjid al-Nabawiyy, sekiranya para penziarah berkemampuan untuk mendirikan solat sunat Tahiyyah al-Masjid di kawasan al-Rowdhoh, maka laksanakanlah.
Namun sekiranya dia tidak berkesempatan untuk menunaikan dua rakaat ini di taman syurga al-Rowdhoh, dia bolehlah menunaikannya di sebarang lokasi di dalam al-Masjid al-Nabawiyy.
Selesai melaksanakan solat dua rakaat ini, para penziarah hendaklah mensyukuri Allah Taala yang telah menganugerahkan kepadanya nikmat dapat berada di kota cinta Madinah apatah lagi berada di dalam al-Masjid al-Nabawiyy.
Setelah selesai mendirikan solat dua rakaat di dalam al-Masjid al-Nabawiyy, akhirnya tibalah saat paling indah bagi pendamba Rasulullah SAW apabila dia akan mengatur langkah mengadap sang kekasih hati Nabi Muhammad SAW.
Apabila para penziarah sudah berada di hadapan maqam Rasulullah SAW, dia hendaklah berdiri mengadap ke arah kedudukan kepala mulia Rasulullah SAW dengan membelakangi kiblat seraya berkata dengan suara yang perlahan penuh perasaan dalam mengagungkan Rasulullah SAW:
Salam sejahtera buat anda wahai Rasulullah. Salam sejahtera buat anda wahai Nabi Allah. Salam sejahtera buat anda wahai sebaik-baik makhluk Allah. Salam sejahtera buat anda wahai kekasih Allah.
Salam sejahtera buat anda wahai penghulu para rasul dan penutup para nabi. Salam sejahtera buat anda wahai sebaik-baik makhluk seluruhnya. Salam sejahtera buat anda wahai pemimpin mereka yang bercahaya wajah jua tangan serta kaki di akhirat kelak. Salam sejahtera buat anda dan buat ahli rumah anda, para isteri anda dan para sahabat anda seluruhnya. Salam sejahtera buat anda dan buat seluruh hamba-hamba Allah yang soleh.
Semoga Allah telah membalas kebaikan anda wahai Rasulullah sebagai ganti daripada kami dengan sebagus-bagus balasan yang Dia telah membalas dengannya akan seorang nabi dan seorang rasul sebagai ganti daripada umat baginda. Semoga Allah telah berselawat ke atas anda setiap kali seseorang telah mengingati anda dan setiap kali seseorang telah lupa untuk mengingati anda dengan sebagus-bagus dan seindah-indah selawat yang Dia telah berselawat ke atas seseorang daripada makhluk-Nya seluruhnya. Saya bersaksi bahawa tiada tuhan selain Allah satu-satu-Nya. Tiada sekutu bagi-Nya.
Saya bersaksi bahawa sesungguhnya anda adalah hamba-Nya, Rasul-Nya dan pilihan-Nya daripada seluruh makhluk-Nya. Saya bersaksi bahawa sesungguhnya anda telah menyampaikan risalah, anda telah menunaikan amanah, anda telah menasihati umat dan anda telah berjihad pada mendapatkan keredaan Allah dengan sebenar-benar jihad. Ya Allah.
Berikanlah kepada Baginda akan al-Wasilah dan lebihan kurniaan-Mu. Utuskanlah kepada Baginda akan kedudukan yang dipuji yang Dikau telah berjanji kepada Baginda. Berikanlah kepada Baginda penghujung kepada apa sahaja permintaan yang sepatutnya diminta oleh mereka yang meminta. Ya Allah. Berselawatlah ke atas penghulu kami Nabi Muhammad selaku hamba-Mu dan rasul-Mu yang merupakan seorang Nabi yang tidak tahu membaca dan menulis. Ya Allah.
Berselawatlah jua ke atas ahli keluarga Baginda, para isteri Baginda dan zuriat Baginda sebagaimana Dikau telah berselawat ke atas penghulu kami Nabi Ibrohim dan ke atas ahli keluarga penghulu kami Nabi Ibrohim.
Dikau berkatilah penghulu kami Nabi Muhammad yang merupakan seorang Nabi yang tidak tahu membaca dan menulis. Dikau berkatilah jua ahli keluarga penghulu kami Nabi Muhammad, para isteri Baginda dan zuriat Baginda sebagaimana Dikau telah memberkati penghulu kami Nabi Ibrohim dan keluarga penghulu kami Nabi Ibrohim.
Zahirkanlah kepada seluruh alam serta teruskanlah selawat dan keberkatan-Mu ke atas Nabi Muhammad dan keluarga Baginda sebagaimana Dikau telah menzahirkan kepada seluruh alam akan selawat dan keberkatan-Mu yang berterusan kepada Nabi Ibrohim dan ahli keluarga Baginda. Sesungguhnya Dikau adalah Yang Maha Terpuji lagi Maha Mulia.
Begitulah antara cara memberikan salam kepada Rasulullah SAW di hadapan maqam Baginda. Namun realiti hari ini tidak memungkinkan kita berpeluang berdiri lama di hadapan maqam Baginda bagi membacakan salam seperti tertera di atas. Maka sekurang-kurang cara memberikan salam: Salam sejahtera buat anda wahai Rasulullah. [Semoga] Allah telah berselawat ke atas anda dan telah memberikan keselamatan buat anda.
Saya mencadangkan bacaan salam dibaca setelah kita berada agak jauh daripada maqam Baginda agar kita dapat berdiri lama membacakan salam ini tanpa sebarang gangguan. Contohnya setelah kita keluar dari al-Masjid al-Nabawiyy lalu kita menghadap Kubah Hijau yang menaungi maqam Rasulullah SAW.
————
PENULIS adalah Sheikh Ruwaq Jawi Pusat Pengajian Ruwaq Jawi, Kaherah di Mesir.










