KWSP RM10,000: Amal 50:30:20 - Utusan Malaysia

KWSP RM10,000: Amal 50:30:20

Pengeluaran KWSP sebelum ini dijangka memberi kesan kepada pelaburan dan pendapatan seterusnya dividen dana simpanan persaraan terbesar negara itu. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Ramai mengukir senyuman bila akhirnya pencarum Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) boleh membuat pengeluaran khas sebanyak RM10,000 biarpun keputusan itu dilakukan kerajaan dengan hati yang berat.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz pun pernah melahirkan kebimbangan ramai ahli KWSP bakal bersara di bawah paras Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) sekiranya kerajaan membenarkan pengeluaran tambahan. Bagaimanapun ia bertitik noktah di situ.

Kita tidak boleh menidakkan kuasa dan kemahuan rakyat. Kelulusan berkenaan besar kemungkinan berpunca daripada desakan rakyat juga. Saya pernah menerima link undi online tentang RM10,00 ini, antaranya TUNTUTAN RM10,000 WANG CARUMAN KWSP SECARA ONE OFF. Do you agree?

Isu sekarang adalah mengenai pengurusan wang. Sejauh mana Keluarga Malaysia bijak menggunakannya untuk manfaat keluarga dan meneruskan kelangsungan hidup?.

Di sebalik kebimbangan pihak tertentu yang takut wang berkenaan di salah guna, di sebelah yang satu lagi lain pula ceritanya. Kenalan saya di Facebook sudah bising, belum apa-apa sudah dapat panggilan daripada scammer yang mengajaknya melabur.

Ramai agaknya yang dapat panggilan ajak melabur bila tahu duit KWSP boleh dikeluarkan.

Memetik nasihat Pakar Kewangan Pengguna, Prof. Dr. Mohamad Fazli Sabri, sebelum membuat pertimbangan pengeluaran, pencarum perlu ada objektif atau tujuan jelas mengapa pengeluaran itu perlu dilakukan.

Jangan ikut-ikut orang. Ikut kata hati. Barangkali yang mendesak untuk pengeluaran KWSP itu dilakukan pun sebenarnya tidak mahu keluarkan wang mereka. Kata orang saja ‘sembang’ sebab isu tengah panas, padahal dia pun takut nak keluarkan.

Ini penting sebab adakah ianya diperlukan demi meneruskan kelangsungan hidup atau sekadar untuk memenuhi tuntutan emosi ataupun nafsu? Perkara paling penting adalah memberi keutamaan ke atas perbelanjaan yang paling mustahak.

Kenapa? Sebab ramai dalam kalangan rakan-rakan kita pun mesti ada yang bercadang mahu mengeluarkan atas alasan saja-saja nak keluar, biarpun tidak terdesak.

Amalkan konsep 50:30:20. Peruntukkan sebanyak 50% atau sebanyak RM5,000.00 untuk perbelanjaan bagi meneruskan kelangsungan hidup seperti perumahan, bil utiliti, makanan, perbelanjaan pendidikan dan perubatan serta kesihatan.

Manakala sebanyak 30% lagi atau R3,000.00 boleh diagihkan untuk simpanan kecemasan.

Baki sebanyak 20% pula atau RM2,000.00 boleh digunakan untuk bayaran pinjaman atau ansuran.

Kerajaan sebelum ini membenarkan pengeluaran caruman KWSP melalui tiga skim iaitu i-Lestari, i-Sinar dan i-Citra berjumlah RM101 bilion, melibatkan 7.34 juta pencarum sejak pandemik Covid-19 melanda negara dua tahun lalu.

Mana yang pernah keluar itu, berpuas hatikah dan nampak tak wang berkenaan berjaya di beranak-pinak atau bagaimana?

—————-
NOR AFZAN MOHAMAD YUSOF, Penolong Pengarang Berita, Utusan Malaysia.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×