Didik anak dengan cara muamalat Islam seawal usia - Utusan Malaysia

Didik anak dengan cara muamalat Islam seawal usia

Anak-anak harus diajar apakah bentuk perjudian yang diharamkan, begitu juga bentuk pertandingan di pusat hiburan dan tapak pesta. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Kehidupan berkeluarga hari ini lebih kompleks berbanding dahulu, apa tah lagi jika ingin dibandingkan dengan kehidupan berkeluarga pada zaman Rasullah SAW. Kehidupan manusia tidak lari dari asas muamalat dan transaksi jual beli sesama manusia lain. Justeru, amat penting mendidik anak seawal usia untuk bermuamalah dengan cara Islam sebenar.

Dalam Islam, tidak sah jual beli yang dilakukan kanak-kanak belum mumayyiz disebabkan kekurangan akalnya. Mereka perlu dipandu oleh ibu bapa dan wali mereka agar tidak ditipu dan menipu.

Pada zaman Nabi SAW, sistem barter atau pertukaran barang jadi asas transaksi jual beli masyarakat. Amalan jahiliah seperti riba, penipuan,tipu daya perniagaan, penindasan dan monopoli perniagaan, diharamkan dengan kedatangan Islam. Nabi SAW mengajar cara muamalat yang sebenar, perniagaan yang adil, tidak menindas dan menipu.

Satu hari Nabi SAW melewati seorang penjual kurma di pasar. Rasulullah memasukkan tangan ke dalam kurma itu dan mendapati kurma basah diletakkan di bawah, yang elok diletakkan sebelah atas. Nabi SAW menegur peniaga itu dengan peringatan baginda: Sesungguhnya mereka yang menipu bukanlah di kalangan kami.

Islam turut melarang mengurangkan timbangan. Ia disebut:
Kecelakaan besar bagi orang yang curang. Iaitu orang yang menerima timbangan, harus dipenuhi. Dan apabila mereka menimbang, mereka akan mengurangi. Tidakkah orang yakin mereka dibangkitkan pada hari yang besar yaitu hari saat manusia menghadap Rabb semesta alam. (Surah al Mutaffifin)

Begitulah juga peringatan Allah:
Sempurnakan takaran dan jangan menjadi orang yang merugikan. Dan timbanglah menggunakan timbangan yang lurus. (Asy-Syu’ara 181-182)

Menipu fitrah manusia berniaga kerana mereka ingin untung banyak.

Justeru, amat penting menerapkan kejujuran dan adil seawal usia anak-anak lagi.

Anak-anak mudah dijadikan mangsa penipuan penjual yang tidak jujur. Mereka menipu harga di kantin, di gerai luar sekolah atau di mana sahaja kerana kanak-kanak belum bijak berusniaga. Ada baki yang tidak dipulangkan, ada barang yang dijual tidak memenuhi spesifikasi sepatutnya dan ada jualan melebihi harga sepatutnya.

PERNIAGAAN SYUBHAH
Ramai juga perniagaan syubhah yang harus dijauhi anak-anak, kerana mereka mudah terpedaya dengan taktik perniagaan dan iklan mengelirukan.

Contohnya penjualan barang yang merupakan permainan berbentuk judi. Permainan ini masih banyak didapati di kedai-kedai. Anak-anak harus diajar apakah bentuk perjudian yang diharamkan, begitu juga bentuk pertandingan di pusat hiburan dan tapak pesta. Ibu bapa harus cakna dengan bentuk pertandingan dan perniagaan sebegini yang banyak wujud terutama pada musim cuti sekolah.

Selain perjudian, banyak lagi produk mengelirukan ada di pasaran. Ini termasuklah produk tidak halal dan memudaratkan. Kita harus bersyukur kerana di negara kita pensijilan Halal kita dikawal selia dengan ketat oleh pihak berkuasa antaranya JAKIM, Jabatan-jabatan Agama Negeri atau KPDNKK. Anak harus diajar membezakan sijil Halal asli dan memilih produk yang disahkan Halal.

Ibu bapa juga harus mengajar anak-anak membeli produk terutama makanan daripada Muslim yang bersih dan diyakini kejujurannya. Ajar anak-anak membeli produk yang baik, sihat, halal dan berfaedah. Para guru juga bertanggungjawab mendidik murid-murid memilih produk yang berkualiti, halal dan bermanfaat. Subjek di sekolah juga banyak menerapkan pendidikan muamalat yang harus diamalkan dalam kehidupan seharian.

Selain itu, sikap yang harus diterapkan dalam asas menjual-beli ialah tidak terlalu kedekut dan tidak membazir.

Membeli barang kerana keperluan bukan ikut-ikutan. Ramai di kalangan anak muda gagal mengawal nafsu membeli kerana terikut dengan gaya hidup rakan sebaya.

Anak-anak harus dididik menghargai setiap sen yang mereka perolehi dan elakkan daripada budaya suka meminta-minta.

Ibu bapa seharusnya mengajar anak-anak bersederhana dan berbelanja ikut keperluan dan kemampuan.

Peredaran zaman menyebabkan keperluan terhadap produk dan barangan semakin bertambah; gajet, alatan permainan, pakaian, kenderaan antara nafsu pembelian yang sukar dikawal.

KEPERLUAN DAN KEMAMPUAN
Namun, apa pun keperluan seiring perubahan zaman, ia harus diseimbangkan dengan kemampuan dan kehendak bukan sekadar mengikut arus atau kerana mahu menunjuk-nunjuk sesama manusia.

Antara cara mendidik anak-anak lebih menghargai wang ialah dengan mendedahkan mereka dengan kesusahan manusia lain. Anak-anak harus diajar menyimpan demi masa hadapan. Anak-anak juga harus diajar memilih sahabat yang memberi pengaruh yang baik kepada kehidupan mereka.

Anak-anak pada peringkat remaja dan pengajian tinggi juga mudah terpedaya dengan pujuk rayu ejen pelaburan skim cepat kaya. Anak-anak ini akan dipujuk dengan pelbagai tawaran menarik menyertai pelbagai jenis skim piramid, membuat hutang atau menggunakan wang PTPTN bagi memulakan perniagaan yang sebenarnya satu tipu daya, dan akhirnya menjerat diri mereka sendiri.

Justeru, bimbingan yang betul perlu diberikan kepada mereka bagi mengenal pasti ciri-ciri perniagaan yang betul dan sebaliknya.

Pendidikan muamalat dan kewangan ini bermula daripada kita sebagai orang dewasa.

Kita seharusnya peka dengan kepelbagaian bentuk urusniaga yang ada di pasaran dan mengambil berat amaran kerajaan terhadap skim perniagaan, produk dan perkhidmatan yang meragukan. Pada masa sama jauhilah perniagaan yang tidak patuh Syariah sama ada untuk urusniaga jual beli atau pun pelaburan.

Pilihlah kehidupan bersyariat, nescaya hidup kita sekeluarga selamat dan berkat, insya-Allah.

—————–
Prof Madya Dr. Yasmin Hanani Mohd. Safian ialah Profesor Madya di Universiti Sains Islam Malaysia merangkap Penasihat Syariah di Bank Islam Malaysia Berhad dan Coop Bank Pertama.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×