Ai Love You: Bila manusia jatuh cinta pada program

Ai Love You: Bila manusia jatuh cinta pada program

Ai Love You
FILEM ini berkisarkan tentang percintaan dan Artificial Intelligent (AI).
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

NASKHAH Thailand, kalau tampil dengan konsep cerita, cukup mengagumkan. Ada sahaja idea-idea menarik yang disuntik. Walhal, jalan cerita lebih kurang sama.

Tidak dinafikan, adakalanya menjadi atau pun sebaliknya. Oleh itu, pujian perlu diberikan kepada warga produksi kerana berani mencuba konsep baharu. Setakat hari ini, karya Ai Love You saja yang kali pertama saya pernah tonton.

Secara ringkasnya, filem tersebut berkisarkan Artificial Intelligent (Ai) atau sebuah program yang ditetapkan untuk kecanggihan sesebuah syarikat. Dalam erti kata lain, sekeliling kita ini dikawal oleh Ai.

Lazimnya, kita biasa tonton wayang seperti era kemodenan, bangunan dan teknologi serba maju.

Dalam filem ini, sebagai penggerak cerita, penulis, Rattapong Pinyosopon menggunakan Ai yang pada akhirnya dinaik taraf mempunyai fungsi emosi seperti manusia biasa.

Dipendekkan cerita, Ai yang dikenali sebagai Dob lakonan Mario Maurer jatuh hati pada seorang pekerja di pejabat berkenaan, iaitu Lana, lakonan oleh Baifern Reuni. Seterusnya, Dob memprogramkan dirinya sendiri ke dalam tubuh Bob, juga lakonan Mario.

Secara keseluruhan jalan cerita 95 minit, sejujurnya tiada menarik selain idea ceritanya sahaja.

Saya cuba untuk menyelami episod-episod drama atau pun babak kelakar. Sepertinya para pelakon bekerja keras, atau mungkin jiwa saya yang susah untuk dibeli dengan jenaka terlalu mencuba.

Walau bagaimanapun, ulasan ini hanya berdasarkan pengamatan hiburan semata-mata daripada saya ya. Terfikir seketika, andailah ada, boleh ke Ai ini diprogramkan ke dalam tubuh manusia, jika ya, apa pandangan anda?

Gandingan selepas 11 tahun

Kali terakhir saya menonton dua bintang Thailand itu adalah menerusi filem Crazy Little Thing Called Love pada tahun 2010. Tidak sangka pula selepas sekian lama, akhirnya saya dapat menyaksikan semula gandingan Baifern dan Mario.

Entah mengapa, filem terdahulu saya dapat rasakan mereka ada keserasian. Tapi tidak pada kali ini. Adakah mungkin disebabkan skripnya yang terlalu pasar atau kerana jurang waktu tidak berlakon bersama terlalu lama?

Menarik dalam Ai Love You penonton dapat menyaksikan Baifern melakonkan aksi lasak. Itu pun perlu diberi pujian untuk Lana. Dia nampak bersahaja dan seperti sudah menjadi makanannya. Tapi saya tidak puas, terlalu sedikit sahaja babak berkenaan.

Untuk perwatakan Dob dan Bob, saya tertarik dengan persembahan dan bakat yang ditonjolkan oleh Mario. Wow! Dia berjaya memperlihatkan watak dan perwatakan yang berbeza. Saya tidak melihat dia sebagai Mario! Itu yang kita mahukan.

Sebagai informasi, anda boleh saksikan filem ini menerusi penstriman Netflix. – UTUSAN

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×