Sharifah Amani, figura bertubuh genit yang memiliki bakat besar yang dikurniakan Ilahi dalam industri hiburan tanah air.
Cukup terkenal dengan filem arahan pengarah tersohor Malaysia, Allahyarham Yasmin Ahmad, pada suatu ketika dahulu, pelakon ini sentiasa komited dan berdedikasi sebagai anak seni tempatan.
Memiliki sifat rendah diri, dia yang lebih disapa sebagai Nani, akui dirinya dari dahulu hingga kini adalah seorang pelakon underground dalam dunia perfileman mahupun naskhah drama Melayu.
Pelakon filem terkenal Sepet ini juga antara salah seorang anak seni yang dilihat lantang bersuara menyuarakan pendapat dan pandangan mengenai industri hiburan tanah air.
Katanya, sejak dari zaman pelakon dan pengarah legenda tanah air, Allahyarham Tan Sri P. Ramlee, industri hiburan masih ‘ketinggalan’ dalam menghargai anak-anak seni tempatan.
“Seperti saya, sejak dahulu lagi bukan sahaja artis baharu, tetapi dari zaman P. Ramlee lagi dilihat masih tiada penghargaan buat artis-artis.
“Bukan hanya yang keluar di kaca televisyen mahupun di layar perak, tetapi di semua platform.
“Jadi, Malaysia bukan satu tempat yang mengenali kesenian sebagai sesuatu perkara mahal atau yang kita patut hargai,” katanya ketika ditemu bual.
Oleh hal demikian, anak kepada pelakon Fatimah Abu Bakar ini menitipkan harapan agar pihak kerajaan membentuk satu akta khas dalam menjaga anak-anak layar di Malaysia.
“Jadi, saya dari dahulu insya-Allah, dengan penukaran akta yang perlu, perkara ini akan berubah. Namun, saya sudah bercakap ini daripada belasan tahun sehingga umur saya kini.
“Apa yang kita boleh lakukan adalah terus bekerja. Pada akhirnya, kita perlu penguatkuasaan, akta yang betul untuk menjaga kami.
“Selagi itu tidak terjadi, kita selamanya akan bercakap perkara ini sejak zaman Allahyarham Tan Sri P. Ramlee lagi sehingga kini, penghargaan sebagai seorang anak seni memang tidak begitu ada,” tegasnya.
Kecewa? Sudah semestinya, tapi…
Siapa tidak kenal dengan pelakon berbakat besar ini, tidak hairanlah pelakon ini berseni. Lihat sahaja adik beradik kesayangannya, boleh dikatakan kesemua punyai nama dalam industri tanah air.
Usai sudah dua dekad lebih menempa nama sebagai seorang selebriti, walau sudah lebih makan garam dalam dunia hiburan tanah air ini dengan pelbagai ranjau terpaksa dihadapi.
Namun, figura yang sering berketerampilan ayu ini bukanlah seorang anak seni yang mudah mengalah, bangkit dengan bakat yang ada.
“Sudah tentu, tetapi bukan anak seni lah jika tidak bangkit semula. Kalau awak mengalah cepat dalam industri ini, sepatutnya awak perlu bekerja dalam bidang lain. Orang seni ini tidak mudah putus asa.
“Seperti tiada orang menonton cerita awak okey tidak mengapa. Awak tiada jumlah pengikut yang ramai, okey tidak mengapa. Awak pendek, okey tidak mengapa,” ujarnya.
Mengulas lanjut, ditolak oleh pengarah adalah perkara ‘biasa’ yang perlu dihadapi buat mereka yang sudah ada tempat dalam industri ini.
“Perkara begitulah sentiasa menjadi sebab mengapa kurang mendapat tawaran. Mengenai ‘ditolak’ ini selalu sangat.
“Ada sahaja reason tidak dapat job itu, semua punyai sebab tersendiri. Tetapi pada akhirnya, mereka masih anak-anak seni dan sebahagian daripada industri ini. kalau tidak dapat job itu, tidak mengapa.
“Bila satu tempat itu, biar tidak nampak apa yang kita lakukan sebagai penting atau kita dipanggil not essential. Bila awak pilih untuk lakukan untuk kesenian, teruskan,” katanya.
Tambah Pelakon filem Mukhsin itu, pada akhirnya kejayaan seorang pelakon akan datang jikalau dia tidak mengenal erti putus asa dalam bidang ini.
“Awak tahu kenapa, berapa lama serta sukarnya dalam bidang ini, Insya-Allah baton adalah sudah milik awak.
“Tetapi, usaha itu perlu dan kemahuan itu perlu ada. bukan mahukan penghargaan itu datang semula, tetapi apa yang kita beri kepada khalayak,” tuturnya panjang lebar. – UTUSAN










