Seramai empat pelajar Pusat Pengajian Pengurusan Teknologi dan Logistik (STML) mengambil langkah proaktif mencipta projek inovasi iaitu Helmet Chin Strap Detector and Alcohol Detection System, dalam usaha membantu mengurangkan risiko kemalangan jalan raya dan meningkatkan keselamatan jalan raya.
Hasil inovasi itu telah membolehkan pasukan Universiti Utara Malaysia merangkul tempat ketiga dalam pertandingan ##ShellSelamatSampaiVarsityChallenge (#SSSVC) 2021 anjuran Shell Malaysia sekali gus membawa pulang sijil, pingat dan wang tunai bernilai RM3,000.
Pelajar tersebut ialah Danusha Raman, Lai Soon Kian, Heemashini Thana Seelan dan Kavines Nair Ananthan yang merupakan pelajar Sarjana Muda Pentadbiran Perniagaan (Logistik dan Pengangkutan).
Kavines Nair Ananthan berkata, apabila penunggang motosikal itu memakai topi keledar mengikut standard keselamatan ditetapkan, ia secara tidak langsung boleh mengurangkan 40 peratus risiko maut dan 70 peratus kecederaan kepala.
“Ramai penunggang motosikal yang memakai topi keledar, namun ada yang tidak memakai dengan betul misalnya tidak mengetatkan tali di bawah dagu atau terlupa mengikatnya kerana jika berlakunya kemalangan pasti akan mengundang kecederaan parah atau menyebabkan nyawa melayang.
“Justeru, untuk mengurangkan risiko itu, kami mencipta topi keledar yang memfokuskan kepada keselamatan penunggang motosikal.
“Topi keledar prototaip digunakan untuk menilai kecekapan pengesanan tali dagu, malah kami juga memasukkan nilai tambah yang boleh mengesan paras alkohol. Pengesan tali dagu pada asasnya berfungsi dengan tujuan sama seperti tempat duduk kenderaan yang akan memberi amaran apabila mereka tidak memakai topi keledar dengan betul,” katanya.
#SSSVC adalah pertandingan keselamatan jalan raya inovatif yang menyediakan platform bagi minda yang cerdas dan inovatif dalam kalangan pelajar institusi pengajian tinggi untuk mempamerkan idea dalam mengurangkan risiko keselamatan jalan raya di negara ini.
PENGESAN ALKOHOL
Menurut Lai Soon Kian, tali topi keledar dan sistem pengesan alkohol memberi isyarat melalui telegram setiap kali penunggang tidak memakai topi keledar. Ia berupaya mengesan penunggang yang mabuk menerusi paras kepekatan alkohol.
“Menariknya, topi keledar ini memberi respon yang cepat. Sebagai contoh, jika pemandu tidak memakai tali dagu dengan betul, ia akan mengeluarkan bunyi ‘bip’ dan menghantar mesej kepada telegram.
“Dengan pembangunan topi keledar ini, ia dapat meningkatkan kesedaran masyarakat tentang kepentingan memakai topi keledar dengan betul apabila menunggang di jalan raya selain melindungi mereka daripada kecederaan,” tambahnya.
Mentor, Dr. Fariza Ahmad Mahyadin@Mahidin berkata, TeamUUM_G2 mendapat saingan daripada UPM, UNIMAS, UTAR dan UTEM di pusingan akhir, namun dedikasi dan kegigihan selama lebih enam bulan menjana idea membolehkan mereka menang tempat ketiga pertandingan itu.










