Tidak dinafikan dan sudah terang lagi bersuluh, kehadiran si pembunuh senyap, virus Covid-19 yang bertahta di bumi selama hampir dua tahun ini telah melumpuhkan dan merencatkan sektor ekonomi negara.
Ditambah lagi dengan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) yang dilaksanakan kerajaan sebelum ini, sekali gus memberi impak kepada industri kreatif tempatan yang turut sama terpalit dengan pandemik ini.
Industri hiburan yang sebelum ini rancak dengan pelbagai kandungan, lumpuh seketika begitu sahaja akibat penularan wabak yang secara tidak langsung menjejaskan pendapatan penggiat seni.
Salah seorang anak seni ini tidak terkecuali menerima nasib sama yang terpaksa ‘berehat’ daripada melakukan pengambaran dan persembahan nyanyian yang menjadi punca rezekinya, selama ini.
Bagaimanapun, penyanyi dan pelakon, Farahdhiya meluahkan rasa syukur kehadrat Ilahi kerana rezeki tawaran lakonan dan nyanyian semakin bertambah, selepas industri kreatif dibenarkan bernafas semula sejak beberapa bulan lalu.
Menurut si pemilik suara merdu ini, dia sehingga hari ini sibuk menjalankan pelbagai pengambaran selepas hampir lima bulan berehat susulan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dilaksanakan, tahun lalu.
“Alhamdulillah, sejak industri dibenarkan bernafas kembali selepas PKP dan mula pengambaran semula, sebenarnya saya tiada rehat sampai sekarang.
“Tidak mengeluh tetapi syukur, Alhamdulillah. Rezeki memang mencurah-curah.
“Jika sebelum ini, boleh dikira hampir lima bulan tidak bekerja sepanjang PKP dilaksanakan,” tuturnya ketika ditemu bual.
Mengulas lanjut, penyanyi lagu Bertakhta Di Hati itu juga berkongsi perkembangan terkini yang akan mengeluarkan dua single terbaharu, tidak lama lagi.
“Akan datang Insya-Allah, saya akan mengeluarkan dua single terbaharu. Lagu pertama iaitu genre balada insya-Allah akan menjadi lagu tema (OST) untuk drama yang saya berlakon juga.
“Untuk lagu kedua pula, saya akan berduet dengan penyanyi rap Korea,” ujarnya.
Terdahulu, penggiat seni kreatif mula menarik nafas lega apabila kerajaan bersetuju memberi kelonggaran beroperasi kepada lebih 19,000 syarikat berkaitan sektor industri kreatif.
Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob berkata, kelonggaran yang berkuat kuasa 9 September tahun lalu, bagaimanapun terhad kepada mereka yang telah lengkap dua dos suntikan vaksin Covid-19.
Tambah beliau, kerajaan melalui Pelan Pemulihan Negara (PPN) bersetuju melonggarkan prosedur operasi standard (SOP) bagi industri kreatif, yang diharapkan dapat memberi kelegaan kepada semua penggiat, artis serta pekerja.










