HIDANGAN singgang ikan adalah paling mudah dan cepat disediakan. Bak kata orang lama, masak ‘campak-campak’ sahaja.
Lauk ringkas seperti ini kalau makan bersama tiga pinggan nasi pun tidak terasa banyaknya walaupun lauk ringkas sahaja tetapi nikmatnya tidak terkata.
Singgang ikan kali ini telah diolah dengan bahan yang ditumis terlebih dahulu dan ditambah lada hitam ditumbuk. Sedap dinikmati pada musim sejuk atau musim tengkujuh.
RESIPI SINGGANG TUMIS IKAN TONGKOL LADA HITAM
Bahan-bahan
Ikan tongkol (direbus terlebih dahulu bersama asam keping, gula melaka dan setengah sudu kecil garam)
3 biji bawang merah (dimayam)
3 ulas bawang putih (diketuk)
2 batang serai (dititik)
5 hiris lengkuas
1 sudu kecil lada hitam kasar
2 keping asam keping
3 cawan air
Bahan perasa
Sedikit minyak zaitun untuk menumis
Bahan-bahan sampingan
3 tangkai cili padi dibelah dua (ikut kesesuaian pedas)
1 tangkai cili besar merah (dibelah tengah ke hujung)
1 biji tomato
Bahan-bahan hiasan
Hirisan daun sup
Bahan-bahan ulam-ulaman
Tomato dan daun sup atau ketumbar atau saderi
Menu sampingan
Sambal budu tempoyak
Cara-cara penyediaan
1. Panaskan minyak zaitun. Tumis bawang merah, putih, serai, lengkuas.
2. Setelah bahan tumis kekuningan, masukkan lada hitam. (Jika ingin kuah putih, abaikan bahan ini atau masukkan selepas tambah air).
3. Masukkan tiga cawan air, asam keping dan cukupkan dengan bahan perasa.
4. Kemudian masukkan ikan. Akhir sekali, apabila singgang sudah mendidih, masukkan bahan sampingan.
5. Hidangkan menu ini bersama taburan daun sup.










