Mukadimah
11 tahun lalu, filem Nasi Lemak 2.0 mencatat kejayaan tersendiri setelah berjaya mencatat kutipan membanggakan, iaitu kira-kira RM7 juta.
Tahun ini, penerbit, Joko Toh dan pengarah serta pelakon, Namewee mengambil langkah berani dengan mengetengahkan Nasi Lemak 1.0 yang menampilkan barisan bintang-bintang berpengaruh seperti Datuk David Arugumugam, Yassin dan Saiful Apek dari kumpulan Senario serta ramai lagi.
Ikuti temu bual wartawan Utusan Malaysia , Mohammad Al Faizal Abdul Karim dan jurufoto, AFIQ RAZALI bersama pengarah dan pelakon, Namawee serta penerbit, Joko Toh mengupas tentang cerita di sebalik filem ini.
Ceritakan bagaimana tercetusnya idea untuk menghasilkan filem ini?
Joko Toh
Sekitar 11 tahun lepas, kami telah menghasilkan filem Nasi Lemak 2.0. Ia berkisar tentang makanan popular kita iaitu nasi lemak. Kini, pengarah, Namewee tampilkan ideanya yang menceritakan tentang kemunculan awal nasi lemak menerusi Nasi Lemak 1.0. Dalam filem ini, Kami ingin ceritakan tentang pembentukan negara kita. Nasi lemak boleh dianggap makanan harian masyarakat kita. Dalam filem ini, kami bawa penonton mengembara ke zaman Kesultanan Melayu Melaka, ketika nasi lemak ini mula-mula diwujudkan.
Namewee
Idea saya tentang cerita ini bermula sejak tahun 2013 lagi. Kutipan Nasi Lemak 2.0 amat memberansangkan. Jadi ramai yang meminta saya hasilkan filem kedua. Pada 2013, filem arahan saya, Banglasia telah diharamkan. Selama enam tahun, saya tak dibenarkan untuk mengarah atau menghasilkan filem. Pelabur dan penaja menjauhkan diri. Jadi saya tunggu sehingga 2019, baru saya mulakan pembikinan Nasi Lemak 1.0.
Apakah kriteria yang ditekankan bagi pemilihan pelakon?
Joko Toh
Pemilihan pelakon adalah berdasarkan keupayaan mereka membawa watak yang diberi. Macam mana cara mereka corak watak tersebut. Contoh, watak sultan, kita ada beberapa nama yang boleh membawa watak ini, yang ada fizikal seorang sultan, tetapi pada masa yang sama boleh berjenaka. Kami melihat, hanya Datuk AC Mizal yang boleh bawa watak itu.
Proses pemilihan (pelakon) rumit. Kami berbincang dan masa, tidak sependapat. Tetapi, motif kami sama. Kami cuma ingin melihat pelakon tersebut boleh berlakon dengan baik. Bagi kami, pelakon-pelakon di dalam filem hampir kesemuanya sangat berpengalaman. Mereka tahu bagaimana untuk menyampaikan.
Namewee
Bukan senang untuk mengarahkan filem yang dibintangi nama-nama besar dalam industri. Saya memerlukan penolong pengarah yang ramai untuk menghasilkan filem ini. Pelakon-pelakon juga profesional. Mereka banyak pengalaman. Filem ini juga menggunakan ramai pelakon ekstra. Kalau dihitung, jumlah keseluruhan pelakon yang bekerja untuk filem ini adalah sekitar 600 orang.
Apakah mesej yang cuba disampaikan?
Joko Toh
Dalam filem ini, tak ada isu mahupun agenda politik. Ia berbentuk hiburan semata-mata. Motif utama yang hendak ketengahkan adalah mesej-mesej perpaduan, keharmonian, patriotisme, dan hormat menghormati.
Apabila kami bangkitkan satu-satu (isu) dalam filem, kami mahu cetuskan kesedaran.
Supaya ramai yang tahu, isu-isu tersebut wujud. Kita tumpukan padanya, dan bertindak jika kita mahu ia diperbaiki. Jadi, platform kami adalah filem. Tetapi, ramai yang salah faham.
Selepas 12 tahun, kami masih ingin menyampaikan perkara yang sama kepada penonton. Kita berbilang kaum, senang untuk berpecah. Tengok sahaja komen-komen netizen di media sosial.
Namewee
Mengikut kajian laman web Index Mundi, Malaysia berada di kedudukan kedua sebagai negara dengan masalah diskriminasi kaum tertinggi, selepas Afrika Selatan. Kita mungkin tak nampak masalah ini. Tetapi pada saya, ia berpunca daripada segelintir ahli politik yang menggunakan isu perkauman untuk memancing undi.
Saya adalah seorang pengarah filem dan pemuzik, bukan ahli politik. Saya banyak menghasilkan lagu dan kandungan untuk menyatukan rakyat. Saya harap, rakyat boleh bersatu dan berbuat baik sesama sendiri. Kerana itu, dalam Nasi Lemak 1.0, kita gabungkan semua bangsa dalam satu cerita. Ramai yang memberi peringatan, jangan hasilkan filem seperti ini. Situasinya adalah, orang Melayu tengok filem Melayu, Cina dengan filem Cina dan India dengan Bollywood.
Apa sebenarnya keistimewaan Nasi Lemak 1.0
Joko Toh
Dari segi penyampaian, dalam filem ini, kami ketengahkan bahasa Melayu, Inggeris, Tamil, Mandarin, Hakka dan bahasa etnik Orang Asli. Selalunya, kalau kita tonton filem di pawagam, orang Melayu akan tonton filem Melayu, Cina filem Cina dan India filem India. Berbeza dengan filem ini yang menggunakan banyak bahasa. Ini bukan satu perkara biasa.
Namewee
Selalunya, bila filem seperti ini dihasilkan, orang tak datang menonton. Jadi kami terima banyak peringatan, ada yang kata jangan buat, tak akan menjadi. Tetapi, kami rasa kami anak Malaysia. Mesej yang kami nak sampaikan adalah berbentuk perpaduan. Kalau kami dengar kata orang supaya jangan buat, siapa yang nak buat? Isu itu akan berterusan tanpa penyelesaian.
Pasti ada cabaran bukan dalam menghasilkan Nasi Lemak 1.0?
Joko Toh
Semestinya. Pertama, banyak panggung wayang yang sudah gulung tikar. Kedua, penonton kena patuh dengan prosdedur operasi standard (SOP) yang menghadkan jumlah penonton.
Kutipan Nasi Lemak 2.0 adalah sekitar RM7 juta. Sekarang, sukar untuk kita dapatkan jumlah kutipan yang tinggi. Kami akan tayangkan secara serentak di Malaysia, Singapura dan Brunei. Namun satu berita baik yang boleh kami kongsikan adalah filem ini akan ditayangkan di 115 buat pawagam seluruh negara. Ini adalah jumlah paling tinggi yang diberikan kepada filem ini. Pada masa yang sama, filem ini juga dianugerahkan Skim Wajib Tayang daripada Perbadanan Kemajuan Filem Nasional Malaysia (FINAS). Sesuatu yang menggembirakan dan membanggakan kami, menunjukkan kerajaan juga menyokong filem ini ditayangkan. Bagi kami, ini adalah satu perkara yang besar, yang menandakan
Adakah pemilihan Namewee sebagai pelakon dan pengarah akan membantu dari segi penjualannya?
Joko Toh
Kekuatan filem ini adalah jalan cerita dan skripnya. Bukan kerana Namewee sebagai seorang figura yang kontroversi. Namanya mungkin menarik orang datang menonton. Pada masa yang sama, dia juga boleh menjadi sebab yang menghalang orang menonton filem ini. Saya tak mahu jual nama dia. Saya nak jual filem ini.
Sebab itu kalau kita tengok pada poster filem ini, Namewee kita letak kecil sahaja. Tetapi pelakon yang lain, saya ketengahkan. Sebab saya tidak mahu jual Namewee. Saya nak jual filem ini dan mesej yang ingin kami sampai di dalamnya.
Namewee
Saya tidak merasakan saya seorang yang kontroversi. Saya rasa saya seorang yang biasa sahaja. Wartawan yang gelar saya sedemikian rupa.
Apakah inspirasi disebalik filem ini?
Namewee
Saya orang Muar. Datuk saya mengusahakan kedai kopi. Jual makanan halal. Pelanggan, 90 peratus adalah Melayu. Ini adalah persekitaran saya ketika membesar. Bagi saya, keadaan ini satu perkara biasa di mana semua bangsa termuat dalam satu cerita.
Saya tertanya-tanya. Kenapa filem lain hanya mengetengahkan satu bahasa sahaja. Bukankah itu tiada nilai Malaysia? Setiap hari, di kedai kopi atau Mamak, kita tengok berbilang kaum. Bahasa pertuturan kitakan pelbagai.
Apakah cabarannya untuk mengelakkan filem ini daripada dibayangi oleh filem pertama?
Joko Toh
Filem ini tidak dibayangi filem Nasi Lemak 2.0 yang latar penceritaannya lebih moden, masa kini. Nasi Lemak 1.0 membawa penonton merentas masa, kembali ke zaman Kesultanan Melayu Melaka. Jadi visual kedua-dua filem memang tidak sama.
Pelakon juga berlainan. Dahulu kita ada Afdlin Shauki, Adibah Noor dam Reshmonu. Sekarang kita ada Delimawati, Datuk David Arumugam, Saiful Apek dan Yassin dari kumpulan Senario dan ramai lagi.
Namawee
Jalan cerita pun tidak sama. Walaupun ada sedikit kaitan, namun ia mempunyai perbezaan yang ketara. Nasi Lemak 2.0 adalah tentang bagaimana Nasi Lemak itu dipelbagaikan manakala Nasi Lemak 1.0 pula mencari asal usul makanan tersebut.
Adakah Nasi Lemak 1.0 ditayangkan di televisyen?
Joko Toh
Filem ini hanya akan ditayangkan di panggung wayang. Kami tidak akan tayangkan di platform lain. Filem ini menelan belanja yang tinggi dan hanya dihasilkan untuk pawagam. Kesan bunyinya, gred warna semua khas untuk tayangan di pawagam.
Adakah filem ini ditayangkan di luar negara?
Namawee
Filem ini dibuat untuk orang Malaysia, bukan luar negara. Ia cerita tentang nasi lemak, bukan sushi. Orang Singapura atau Brunei, boleh faham. Kalau kita tayangkan di negara yang lebih jauh, mereka tak akan faham. Apabila orang Malaysia tonton filem ini, mereka boleh faham kerana ia berkaitan dengan budaya dan persekitaran orang kita.
Jika kita tayang di negara-negara lain seperti Jepun, Korea atau China, penonton mereka akan keliru. Kita boleh hasilkan filem Malaysia yang juga untuk pasaran luar. Boleh untung. Tetapi, kami nak buat filem untuk orang Malaysia.
Apakah harapan anda berdua untuk filem ini?
Joko Toh
Filem ini filem komedi. Mengajak penonton untuk santai dan hiburan. Pengajaran memang ada, terpulang kepada penonton, bagaimana mereka serap nilai moral yang diketengahkan.
Namawee
Filem ini untuk hiburan dan keseronokan. Saya harap penonton akan datang menonton filem ini, bergelak ketawa hiburkan hati dan hilangkan tekanan mereka. Kalau mereka tak nampak mesej yang ingin disampaikan, tidak mengapa. Asalkan mereka seronok menonton filem ini, itu sudah memadai untuk saya.










