R.E.S.T.U dalam pandemik - Utusan Malaysia

R.E.S.T.U dalam pandemik

PUSAT Perubatan Sultan Ahmad Shah menyediakan perkhidmatan terbaik menerusi amalan R.E.S.T.U. – IHSAN UIAM
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

PUSAT Perubatan Sultan Ahmad Shah (SASMEC@IIUM) telah diperakui dan dianugerahkan Pensijilan MS 1900:2014 Pengurusan Kualiti Berasaskan Syariah. Salah satu kriteria untuk mendapatkan perakuan ini adalah nilai teras organisasi seperti yang dinyatakan dalam klausa 5.7.1 di mana pengurusan tertinggi harus mengenal pasti, menetapkan, mendokumentasikan, melaksanakan, memantau dan mengukur nilai teras dalam organisasi. Nilai-nilai teras ini harus disampaikan dan difahami dalam organisasi dan diimplimentasi sebagai sebahagian daripada budaya organisasi.

Mengambil kira kepentingan nilai dalam memberi perkhidmatan berkualiti kepada komuniti dan mesra pelanggan, nilai teras perlu ada, dihayati dan dilaksanakan di SASMEC@UIAM. Justeru, R.E.S.T.U iaitu responsibility (bertanggungjawab), excellence (kecemerlangan), sincerity (ikhlas), trust (kepercayaan) dan unity (perpaduan) adalah nilai teras yang telah diperakui oleh pengurusan tertinggi Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM) untuk dilaksanakan di SASMEC@IIUM.

PENGAJARAN PANDEMIK
Pandemik telah memberi banyak pengajaran dan menyedarkan semua bahawa jurang yang ada perlu diatasi dengan cepat. Nilai yang kurang dalam diri, organisasi dan pendidikan perlu dikembalikan. Jika sebelum pandemik, nilai bukanlah satu keutamaan tetapi sebab pandemik, sifat tanggungjawab, ikhlas, ambil peduli, ambil kisah, tolong-menolong, perpaduan dan bersatu hati menjadi agenda utama dunia.

Dalam memastikan kelestarian hidup diteruskan dengan jaya, kolaborasi dan solidariti sosial memberi hasil positif yang perlu melangkaui krisis pandemik. Inilah semangat yang kita perlukan untuk mengajar generasi masa depan kita, konsep kewarganegaraan yang baik dan pendidikan berasaskan nilai murni seperti dinyatakan dalam Pelan Pembangunan Pendidikan Tinggi (Anjakan 1: Memupuk bakat berasaskan nilai yang dipelajari yang seimbang antara pengetahuan dan sahsiah) adalah matlamat utama kita.

Perkara ini turut dinyatakan dalam Dasar Pendidikan Kebangsaan. Untuk memberi kesan, kita perlu menghayati dan mengajar nilai kepada generasi akan datang. Kita juga perlu membangunkan pemimpin berasaskan nilai dan ekosistem pendidikan yang juga perlu bertapak dengan nilai. Tidak hanya ke atas individu tertentu tetapi kepada semua masyarakat dunia.

Masyarakat kita pada masa ini seolah-olah tidak lagi mempedulikan kepentingan mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan yang seharusnya ada dalam diri masing-masing. Pandemik merubah segalanya. Penerapan nilai murni dapat mempengaruhi diri setiap orang itu menjadi seorang yang berbudi bahasa.

MORAL dan ETIKA
R.E.S.T.U dalam kehidupan termasuklah mengeratkan perpaduan warga SASMEC@IIUM seterusnya ke komuniti setempat. Hal ini dikatakan demikian kerana masyarakat mesti saling menghormati dan menyayangi sesama sendiri dan bertoleransi dalam kehidupan. Oleh itu, nilai murni, hormat-menghormati yang menjadi budaya dan darah daging dapat mengeratkan hubungan silaturahim dalam kalangan kakitangan dan masyarakat setempat.

Dengan mengamalkan R.E.S.T.U dalam urusan seharian, ia dapat membantu melonjakkan imej dan secara tidak langsung menambah baik perkhidmatan SASMEC@IIUM sebagai salah sebuah pusat perubatan yang memberikan perkhidmatan terbaik.

Kita perlu berbudi bahasa apabila berbual-bual, saling mengambil berat sesama jiran tetangga, patuh undang-undang negara, mentaati dan menghormati ibu bapa. Oleh itu, setiap kita perlu menjalani kehidupan seharian dan berpegang teguh kepada prinsip Rukun Negara yang diamalkan sejak dari bangku sekolah sebagai lambang jati diri warganegara.

PENERAPAN NILAI MURNI
Nilai-nilai murni merupakan amalan baik yang perlu ada pada setiap orang supaya segala tindakan mereka tidak menyeleweng daripada norma-norma sosial yang dikehendaki dalam masyarakat. Ia juga dapat melahirkan insan yang unggul dan lestari demi merealisasikan misi nasional negara.

Sejajar itu, subjek Pendidikan Moral dan Pendidikan Islam diajar di sekolah untuk membentuk generasi muda yang sentiasa mengamalkan nilai-nilai murni dalam kehidupan mereka. Ia penting untuk melahirkan insan berakhlak mulia. Sesungguhnya berakhlak mulia amat dituntut dari sudut budaya, peradaban dan agama kita. Amalan nilai-nilai murni dapat membentuk insan yang seimbang dari segi jasmani, emosi, rohani dan intelek.

Golongan muda, anak-anak, jumlahnya ramai. Jika tidak diterapkan dengan nilai-nilai murni sejak di bangku sekolah maka mereka akan menjadi generasi yang akan merugikan negara pada masa depan. Hal ini kerana nilai-nilai murni akan mencerminkan suasana kehidupan yang harmoni di Malaysia.

Selain itu, perlu ada nilai-nilai murni dalam kehidupan untuk membentuk masyarakat yang berpegang teguh kepada ajaran agama.

Kepatuhan kepada agama dapat membentuk insan mulia yang sentiasa patuh kepada Tuhan dan setia kepada negara. Oleh itu, ibu bapa perlu menerapkan nilai-nilai murni yang terdapat dalam doktrin agama ke dalam jiwa anak-anak. Tambahan pula, nilai-nilai murni berasaskan agama penting untuk membentuk masyarakat bersatu padu.

Semua kakitangan dituntut mengamalkan nilai teras tersebut di dalam dan di luar waktu kerja, juga dituntut menterjemahkan dalam kehidupan harian. Diharap melalui pengenalan dan pengamalan nilai teras tersebut, kita dapat memberikan kebaikan dan keamanan dalam menyebarkan rahmat buat sekalian alam tidak kira dalam apa jua keadaan sekalipun, seterusnya mengajar kita terus bertahan dengan teguhnya. Masyarakat yang cintakan negara akan menyemai rasa cinta akan negara sekali gus demi keamanan dan sejahtera dalam kehidupan.

PENULIS ialah Ketua Sumber Manusia & Pengurusan Pentadbiran, Pusat Perubatan Sultan Ahmad Shah (SASMEC@IIUM), Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM).

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×