Pemindahan buah pinggang adalah rawatan terbaik bagi kebanyakan pesakit yang buah pinggang mereka telah rosak. Walaupun rawatan dialisis (sama ada hemodialisis atau dialisis peritoneal) adalah rawatan terbaik dalam membolehkan pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang meneruskan hidup dengan tahap kesihatan yang agak memuaskan, ia tetap mempunyai had-had tertentu.
Salah satu daripadanya adalah komplikasi kesihatan jangka panjang. Walaupun dialisis berkesan untuk menyingkirkan sisa buangan dan cecair berlebihan dari darah, ia bukanlah pengganti terbaik untuk buah pinggang berfungsi. Pesakit yang menjalani prosedur ini masih terdedah kepada komplikasi kronik seperti anemia, penyakit tulang renal, penyakit jantung dan strok.
Mereka akan turut berdepan kekangan gaya hidup ketat, terutamanya dari segi pekerjaan dan perjalanan, kerana dialisis adalah sejenis prosedur yang menggunakan peralatan perubatan khas selain perlu kerap dilakukan.
Pesakit yang menjalani hemodialisis perlu pergi ke pusat hemodialisis tiga kali seminggu selama kira-kira empat jam setiap kali.
Sementara itu, pesakit yang menjalani dialisis peritoneal perlu menjalani prosedur tersebut empat kali sehari selama 30 hingga 40 minit setiap kali dengan dialisis peritoneal ambulatori berterusan, atau sekali sehari (biasanya semasa tidur) selama lapan hingga 10 jam dengan dialisis peritoneal automatik.
Apa yang lebih penting, dari segi ketahanan hayat, hanya kira-kira separuh daripada pesakit dialisis masih hidup dalam tempoh lima tahun selepas memulakan rawatan.
Ini berbeza dengan pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang dan menjalani pemindahan buah pinggang, kira-kira 80 hingga 90 peratus daripada mereka masih hidup dalam tempoh lima tahun selepas prosedur tersebut.
Kualiti hidup mereka juga jauh lebih baik kerana tidak terikat dengan jadual dialisis, walaupun perlu mengambil ubat-ubatan imunosupresan (anti-penolakan) sepanjang hayat untuk mencegah tubuh mereka daripada menolak buah pinggang yang didermakan.
Mereka juga tidak menghadapi risiko komplikasi kesihatan kronik akibat dialisis dan ketiadaan buah pinggang yang berfungsi.
Pesakit yang lebih muda khususnya, mungkin dapat membalikkan masalah ketidaksuburan berpunca daripada kegagalan buah pinggang dan mampu hamil secara semula jadi.
PEMINDAHAN BUAH PINGGANG
Pesakit dengan buah pinggangnya semakin merosot boleh mempertimbangkan pemindahan buah pinggang terdahulu (pre-emptive) iaitu sebelum memulakan dialisis.
Di Pusat Perubatan Universiti Malaya, kami biasanya akan cuba mengutarakan pilihan ini apabila pesakit mengalami penyakit buah pinggang kronik tahap empat apabila fungsi buah pinggang kurang daripada 30 peratus.
Ini berikutan lebih lama pesakit menjalani dialisis, lebih banyak komplikasi mereka hadapi, seterusnya mengurangkan manfaat pemindahan buah pinggang.
Namun, pemindahan buah pinggang tetap mempunyai hasil yang jauh lebih baik berbanding dialisis, walaupun ia dibuat beberapa tahun selepas pesakit memulakan dialisis.
Dalam pemindahan buah pinggang, ada dua jenis penderma iaitu yang masih hidup dan yang telah meninggal dunia.
Di Malaysia, penderma yang masih hidup mestilah menawarkan buah pinggang secara sukarela (iaitu tanpa paksaan atau ganjaran seperti wang) dan mestilah mempunyai pertalian darah dengan penderma. Contohnya ibu bapa, adik beradik atau sepupu.
Setakat ini, majoriti penderma buah pinggang adalah yang masih hidup.
Sementara itu, penderma yang telah meninggal dunia selalunya merupakan penderma organ berdaftar yang amnya merupakan mangsa kemalangan jalan raya. Mereka biasanya mengalami kecederaan kepala yang amat teruk dan dianggap telah mati otak, namun buah pinggang mereka masih berfungsi.
Walaupun tiada prosedur pembedahan yang 100 peratus tidak berisiko, kelebihan pemindahan buah pinggang daripada penderma yang masih hidup adalah kerana ia merupakan sejenis prosedur elektif.
Ini bermakna pasukan perubatan, pesakit dan penderma mempunyai perancangan dan membuat persiapan bagi pembedahan tersebut.
Risiko pembedahan juga tidak serius seperti pembedahan pintasan jantung, tetapi tidak semudah apendektomi (pembedahan untuk membuang apendiks).
Sebagai contoh, kebarangkalian untuk penderma mengalami komplikasi pembedahan seperti meninggal dunia akibat pembedahan pendermaan itu adalah 30 dalam 10,000, iaitu tinggi sedikit berbanding disambar kilat (satu dalam 100,000) atau meninggal dunia akibat kapal terbang yang terhempas (10 dalam 100,000), namun kira-kira tiga kali lebih rendah berbanding kematian akibat kemalangan motosikal (100 dalam 100,000). Pesakit juga biasanya perlu tinggal di hospital selepas pembedahan tersebut selama tujuh hingga 10 hari.
Penderma biasanya dibenarkan pulang lebih awal (kira-kira tiga hari lepas pembedahan). Buat masa ini, standard penjagaan untuk pembedahan pendermaan adalah pembedahan laparoskopik invasif minimum.
Untuk pendermaan buah pinggang dari penderma yang masih hidup, penerima lebih cenderung untuk memerlukan dos ubat-ubatan imunosupresan yang lebih rendah kerana mereka berkongsi kandungan bahan genetik tertentu dengan penderma (ia mengurangkan kebarangkalian buah pinggang ditolak oleh tubuh) sekiranya mereka mempunyai pertalian darah.
Buah pinggang yang didermakan juga biasanya berfungsi dengan baik untuk jangka masa yang lebih panjang kerana penderma akan menjalani penilaian untuk memastikan mereka cukup sihat untuk menjalani prosedur tersebut.
Malah, ramai ibu bapa yang menawarkan diri untuk menjadi penderma, berkeras untuk memberikan buah pinggang yang ‘lebih sihat’ kepada anak mereka, walaupun sebagai doktor, kami mengamalkan prinsip mengutamakan kesihatan penderma.
Sebaliknya, apabila buah pinggang tersebut adalah daripada penderma yang sudah meninggal dunia, akan ada tempoh ‘keemasan’ selama 24 jam untuk menyelesaikan prosedur pemindahan tersebut. Ini termasuklah masa untuk mengenal pasti penerima sesuai dan memastikan mereka hadir, serta untuk penerima dan pasukan perubatan membuat segala persiapan untuk pembedahan.
Buah pinggang didermakan juga mungkin tidak berada dalam kondisi ideal berbanding daripada penerima masih hidup kerana penderma sudah meninggal dunia. Ketiadaan gen yang dikongsi juga bermakna penerima lebih cenderung untuk memerlukan dos ubat-ubatan imunosupresan yang lebih tinggi.
Namun begitu, penerima pemindahan buah pinggang daripada penderma yang sudah meninggal dunia tetap mempunyai kebarangkalian ketahanan hidup yang lebih tinggi berbanding pesakit yang meneruskan dialisis jangka panjang.
Pemindahan lebih baik daripada dialisis
Walaupun pemindahan buah pinggang lebih baik berbanding dialisis dari segi kesihatan keseluruhan dan ketahanan hidup bagi pesakit yang mengalami kegagalan buah pinggang, bilangan prosedur sedemikian amat rendah berbanding keperluannya.
Pada 2020, 151 pemindahan buah pinggang dijalankan dengan kebanyakan penderma masih hidup. Hingga kini ada tujuh buah hospital menjalankan pemindahan buah pinggang, Hospital Kuala Lumpur, Hospital Selayang, University Malaya Medical Centre, Hospital UiTM, Prince Court Medical Centre, Sunway Medical Centre dan Mahkota Medical Centre, Melaka.
Ada kira-kira 25,000 pesakit kegagalan buah pinggang sedang menunggu buah pinggang daripada penderma yang sudah meninggal dunia iaitu kira-kira separuh daripada jumlah pesakit yang menjalani dialisis di negara ini.
Dengan hanya kira-kira 50 pendermaan organ daripada penderma yang sudah meninggal dunia dijalankan setiap tahun, tempoh menunggu untuk mendapatkan buah pinggang biasanya memakan masa lebih daripada 10 tahun.
Walaupun Sistem Peruntukan Buah Pinggang Malaysia (MyKAS) biasanya menjalankan pembedahan berdasarkan yang-awal-dapat-dahulu mengikut tempoh dialisis, ia mengutamakan pesakit yang lebih muda dan tidak menghidap diabetes kerana mereka akan mendapat hasil terbaik daripada pemindahan buah pinggang.
Pesakit kegagalan buah pinggang digalakkan mempertimbangkan pemindahan buah pinggang, sebaiknya sebelum buah pinggang mereka gagal sepenuhnya.
Sokongan keluarga amat penting kerana pendermaan buah pinggang dari penderma masih hidup adalah lebih cepat, kurang rumit dan memberi manfaat lebih baik berbanding penderma yang sudah meninggal dunia.
Rakyat sihat digalakkan mendaftar sebagai penderma organ kerana mereka berpeluang menawarkan ‘hadiah kehidupan’ bukan sahaja kepada pesakit kegagalan buah pinggang, tetapi pesakit lain yang memerlukan organ.
Mitos dan salah faham
Terapi imunosupresan membuatkan saya mudah jatuh sakit
Fakta
Doktor bertanggungjawab melaras dos ubat-ubatan bagi memastikan keseimbangan terbaik dapat dicapai daripada segi mencegah sistem imun dari menolak buah pinggang yang didermakan dan cukup kuat untuk melawan jangkitan. Kemajuan dalam pemeriksaan membolehkan doktor mengawal dengan teliti jumlah ubat-ubatan diperlukan dan untuk mengkhususkan rawatan tersebut.
Selepas pemindahan buah pinggang, saya boleh berhenti menjalani terapi imunosupresan
Fakta
Dos ubat-ubatan mungkin dikurangkan, namun anda tidak akan boleh berhenti mengambil ubat-ubatan anti-penolakan. Sistem imun anda masih boleh mengenal pasti dan menolak buah pinggang yang didermakan sebagai objek ‘asing’ walaupun selepas beberapa dekad pemindahan tersebut dijalankan.
Kumpulan darah penderma dan penerima mestilah sama untuk membolehkan pemindahan buah pinggang dijalankan
Fakta
Pemindahan buah pinggang yang tidak sama kumpulan darah atau ABO telah dijalankan di MAlaysia sejak tahun 2011. Penerima hanya perlu menjalani prosedur tambahan (dikenali sebagai pertukaran plasma atau immunoadsorption) sebelum pemindahan dijalankan bagi memastikan sebarang antigen yang tidak sesuai dengan kumpulan darah penerima dapat disingkirkan.
Sesetengah agama menghalang pendermaan organ selepas kematian
Fakta
Semua agama membenarkan pendermaan organ, seperti yang diputuskan dalam beberapa sesi penglibatan doktor bersama pemimpin-pemimpin agama di Malaysia.
Saya akan dapat kembali menjalani gaya hidup yang normal selepas pemindahan buah pinggang
Fakta
Walaupun diet anda pasti tidak terhad berbanding semasa menjalani dialisis, anda masih perlu makan – dan mengamalkan gaya hidup yang sihat untuk memastikan buah pinggang yang diterima (dan seluruh tubuh anda) dapat berfungsi dengan baik. Sebaiknya, dapatkan nasihat pakar pemakanan atau pakar diet untuk mengetahui dengan lebih lanjut mengenai diet yang sihat kerana ramai rakyat Malaysia mengambil diet yang tinggi garam, terlalu sedikit sayur-sayuran dan buah-buahan, dan terlalu banyak daging, walaupun mereka menganggap tabiat pemakanan mereka adalah sihat.
Sebagai penderma, tugas saya sudah selesai selepas pemindahan buah pinggang
Fakta
Adalah penting untuk penderma menjalani pemeriksaan doktor sekurang-kurangnya sekali setahun walaupun mereka berasa sihat sepenuhnya. Ini bagi mengesan dan menangani sebarang masalah kesihatan seperti tekanan darah tinggi, diabetes, kemasukan protein ke dalam air kencing, di peringkat awal disebabkan mereka mempunyai kadar simpanan yang rendah kerana hanya mempunyai satu buah pinggang yang berfungsi.
——–
Prof Madya Dr Lim Soo Kun ialah Pakar Nefrologi dan Ketua Bahagian Buah Pinggang, Jabatan Perubatan, Universiti Malaya










