Mohd. Mentor pilih hidup bersederhana - Utusan Malaysia

Mohd. Mentor pilih hidup bersederhana

Mohd. Mentor mencuba peluang yang ada demi kelangsungan hidup.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KESAN buruk Covid-19 terhadap khalayak termasuk artis tidak dinafikan sangat mencabar. Hal itu termasuklah di pelbagai sektor industri.

Berikutan kesan tersebut majoriti dalam kalangan artis tempatan terjun ke bidang luar dari zon keselesaan mereka. Antaranya ada yang menceburi bidang khidmat penghantaran makanan dan penumpang.

Berkongsi mengenai saat getir mendepani pandemik, penyanyi yang lahir dari program realiti Mentor musim keempat, Mohd. Izwan Mohd. Noor, 33, sama seperti artis lain terpaksa mencuba peluang yang ada demi kelangsungan hidup.

“Saya hanya memikirkan perkara yang boleh mendatangkan faedah, tidak hanya tertumpu pada industri sahaja.

“Sewaktu enam bulan pertama Covid-19, saya pernah bekerja dalam sektor perkhidmatan penghantaran makanan dan penumpang.

“Di sepanjang itu juga saya tidak pernah cuba untuk meminta bantuan, sebab saya fikir lebih ramai yang memerlukan,” imbasnya.

Menyelami episod penyanyi yang lebih dikenali Mohd. Mentor itu, selepas menjuarai program Mentor, hasil kemenangan dilaburkan dengan didirikan premis kedai di Ulu Tiram, Johor.

Pun begitu, kesan Covid-19 membuatkan penyewa lolos sekali gus mengakibatkan kerugian. Tambah pula, bisnes menjual Nasi Lemak di Melaka merosot dengan pendapatan sehari lebih kurang RM200 ke RM300.

“Hasil tanah pusaka yang bapa saya ikhtiarkan dulu, saya bangunkan kedai deretan dan sewakan kepada orang. Tapi bila PKP penyewa lari.

“Lebih mencabar lagi untuk melunaskan komitmen pelbagai, bila mana tiada aktiviti seni dan persembahan pentas.

“Sebab itu saya buat khidmat penghantaran makanan dan penumpang,” luahnya.

Tak perlu tunjuk kaya
Cukup sekadar hidup bersederhana tanpa perlu menunjukkan seseorang itu berjaya.

Mengulas hidup ala kadar, setidaknya Mohd dapat menarik nafas lega walaupun ditindih dengan ujian Covid-19.

“Mujurlah saya bukannya seorang penggemar kereta. Kalau minat mungkin sudah beli kereta Mustang. Saya fikir kalau beli tak akan ada penghargaan kepada diri sendiri malah pada harta benda pula.
“Saya kad kredit pun tiada. Saya sudah di asah dengan bapa bahkan pernah belajar pengajian pengurusan kewangan dan praktikkan dalam kehidupan seharian.

“Alhamdulillah lega betul bila tiada komitmen, kereta pula sudah habis bayar. Kalau tidak, mesti fikir moratarium sewaktu PKP,” ujarnya.

Mohd berkata demikian pada malam pelancaran restoran Nasi Lemak Puakez cawangan kedua di Taman Danau Kota, Kuala Lumpur, milik bersama rakan niaga yang juga merupakan komposer, Iswandi, Ahad lalu.

Menurut Mohd, masing-masing punya alternatif dan definisi kejayaan itu sendiri sementara dia lebih memilih untuk hidup bersederhana.

“Kalau kedai makan untuk buat apa sampai nak kena ada kereta berjenama? Sekarang ini, apa yang saya fikir dan cari hanya untuk anak sahaja.

“Bapa saya banyak kali pesan kalau beli kereta susut nilai esok jatuh, manakala susut nilai rumah esok akan naik,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×