SUASANA di tali air berhampiran sawah di Kampung Balik Bukit, Chuping, Padang Besar, Perlis baru-baru ini cukup meriah dengan kelibat kanak-kanak dan penduduk. Meriah kerana mereka menimba dan menggagau ikan darat iaitu aktiviti yang cukup popular satu ketika dahulu.
Terpancar wajah kegembiraan dan kepuasan sekumpulan kanak-kanak berlumuran selut menyertai aktiviti tersebut. Sekali gus menjadi pengalaman baharu buat mereka dalam zaman serba moden ini.
Jika dahulu, selesai sahaja musim menuai padi adalah saat paling dinantikan bagi penduduk khususnya kanak-kanak yang menyertai aktiviti menimba, menyerkap atau menangkap ikan darat itu.
Saat itu, mereka tidak kisah berkubang di dalam selut mencuba nasib ‘menggagau’ ikan dan menjadi satu kepuasan apabila pulang ke rumah dengan membawa hasil yang banyak.
Namun semakin hari, aktiviti tradisional itu seolah-olah makin dilupakan dengan kanak-kanak generasi moden ini lebih banyak meluangkan masa bermain permainan video. Mereka tidak lagi ‘berkotor’ atau berlumpur menyertai aktiviti menimba ikan tersebut.
Dalam menghidupkan kembali tradisi tersebut, komuniti Bukit Chuping dengan kerjasama Pahlawan Sampah Perlis dan Pemos mengambil inisiatif yang berbeza. Mereka menganjurkan aktiviti berkenaan baru-baru ini yang mendapat sambutan memberangsangkan.
Selain penduduk setempat, dapat disaksikan kelibat ibu bapa termasuk dari luar negeri ini mengambil peluang membawa anak-anak bagi merasai sendiri pengalaman ini. Iaitu berselut menimba ikan seperti haruan, sepat, puyu, keli dan pelbagai jenis lagi ikan darat.
KETERUJAAN KANAK-KANAK
Keterujaan kanak-kanak tersebut dapat dilihat saat mereka berjaya menangkap ikan menggunakan tangan. Manakala ibu bapa pula sangat gembira dapat mengimbau kembali nostalgia zaman kanak-kanak itu.
Istimewanya lagi, sekumpulan penduduk di situ turut menunjukkan cara-cara mengeluarkan air dari tali air tersebut menggunakan peralatan tradisional. Ini termasuk menggunakani timba ayun sebelum aktiviti menangkap ikan itu dimulakan.
Wakil komuniti Bukit Chuping, Ahmad Soffi Abdul Manah berkata, lebih 100 orang khususnya kanak-kanak termasuk yang datang dari Kedah, Selangor dan Melaka menyertai aktiviti tersebut.
Sebanyak 50 hingga 100 kilogram ikan seperti ikan haruan, sepat, puyu dan keli berjaya ditangkap dalam aktiviti bermula dari pukul 8 pagi hingga petang.
Ujar Ahmad Soffi, komuniti Bukit Chuping sering kali menganjurkan aktiviti menimba ikan dengan harapan tradisi tersebut tidak pupus ditelan zaman.
“Kita hendak kekalkan aktiviti tradisonal. Mereka yang menyertai aktiviti ini juga dilihat begitu teruja menimba ikan di sawah dan tali-tali air ini,” katanya.
Aktiviti itu turut dipenuhi dengan gotong-royong menyediakan hidangan hasil tangkapan hari itu.
“Di Perlis menimba ikan ini sudah agak jarang dan kita akan teruskan pada masa akan datang,” katanya.
AKTIVITI BERMANFAAT
Seorang juruteknik komputer yang datang dari Alor Setar, Kedah, Ramzan Che Russ, 38, berkata, dia mengambil kesempatan membawa anak-anak bagi merasai pengalaman menimba ikan.
Sebelum ini, anak-anaknya yang berusia 9 hingga 12 tahun itu tidak pernah merasai pengalaman berkubang menangkap ikan di sawah dan tali-tali air.
“Anak-anak gembira bermain selut sambil menangkap ikan. Saya mengambil kesempatan menyertai aktiviti ini selepas sekian lama tidak pernah menimba ikan. Pengalaman ini mengimbau kembali nostalgia saya zaman kanak-kanak di mana pada masa itu, sangat seronok menangkap ikan selepas musim menuai.
“Saya sering mendedahkan kepada anak-anak mengenai aktiviti tradisional ini supaya ia tidak dilupakan oleh generasi sekarang dan masa depan.
Sementara itu, anaknya, Raif Ramzan,9, berkata, dia tidak kisah berselut kerana seronok melakukan aktiviti yang tidak pernah dilakukan sebelum ini.
“Ini kali pertama saya menyertai aktiviti menimba ikan. Kami menangkap ikan menggunakan tangan. Antara ikan berjaya saya tangkap ialah haruan, sepat dan puyu,” katanya. – UTUSAN










