PRN Johor: Mencari cahaya di hujung harapan

PRN Johor: Mencari cahaya di hujung harapan

PRN Johor
UNTUK apa satu demi satu parti-parti politik baharu ditubuhkan? – UTUSAN/SHIDDIEQIIN ZON
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

RAMAI yang berharap suatu pakej penyelesaian dapat dicapai setelah selesai Pilihan Raya Negeri (PRN) Johor, 12 Mac ini.

Pakej itu merangkumi mengembalikan kestabilan politik untuk melancarkan tadbir urus kerajaan, meredakan mainan politik dalam kalangan ahli politik baik sesama dalaman parti atau antara parti-parti berbeza jenama.

Seterusnya untuk menghilangkan resah rakyat yang melihat percaturan politik Malaysia semakin tidak menentu.

Suatu yang pasti, semua parti politik meletakkan moto perjuangan yang sama, iaitu ‘demi rakyat dan negara’. Jadi, apa isunya? Tidak ada jawapan yang tepat, kecuali boleh diajukan kembali persoalan:

“Untuk apa satu demi satu parti-parti baharu ditubuhkan?” Kenapa tidak bersandar sahaja pada yang bertunjang kukuh atau berteduh sahaja di bawah pohonan yang sudah merimbun?

Betulkah untuk memperjuangkan kepentingan rakyat dan negara? Atau sekadar melunaskan agenda kepentingan diri, kelompok atau kaum tertentu?

Rakyat perlu melihat perkembangan ini secara jujur dan objektif. Jika tidak, mengundi hanya membazir masa dan bersusah payah ke pusat-pusat pengundian.

Namun, pastinya rakyat Johor yang terkenal dengan nilai budi dan budaya tersendiri, sudah pun menyimpan ketetapan di hati untuk membuat pilihan yang tepat, seiring keperluan semasa dan jaminan survival masa depan.

Barangkali akan disesuaikan pula dengan keyakinan Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob bahawa Johor berpotensi besar lebih maju dengan kestabilan politik.

Perdana Menteri yakin, Johor boleh menjana pertumbuhan ekonomi yang lebih rancak dan boleh turut menyumbang kepada kestabilan ekonomi negara. Sudah banyak tersedia struktur-struktur asas yang kukuh bagi membina sebuah negeri Johor lebih maju makmur.

Sementara, kekuatan politik di Johor boleh membawa impak kepada suasana politik negara yang lebih segar. Politik Johor ada ‘jiwa’ tersendiri. Sebuah parti besar Melayu lahir di Istana Johor.

Sejarah menampilkan kenyataan bahawa parti itu berjaya mendominasi pemerintahan negara, seterusnya meletakkan negara ini makmur dan progresif.

Bersedialah bagi mana-mana parti yang bakal diberi mandat memerintah Johor, agar dapat menterjemahkan penghargaan mereka kepada pengundi melalui memperkemaskan kedudukan parti di samping menerajui pemerintah negeri dengan sebaik-baiknya. Jangan kecewakan harapan rakyat!

KECEWA

Istilah memilih atau membuat pilihan sering disinonimkan dengan cermat dan tepat. Sebarang kesilapan akan berakhir dengan kesal dan kecewa.

Ada kelebihan bagi mereka yang pernah merentasi pengalaman. Mereka pernah melihat dan merasai, lalu mudah pula untuk mengukur sikap dan keupayaan sebenar pihak-pihak yang menawar perkhidmatan.

Demikianlah juga dalam dunia politik tanah air. Bukan sukar bagi sesiapa memuat pilihan, banyak pedoman boleh diambil, banyak pengajaran boleh ditimba.

Kecuali mereka yang terdorong atau terpengaruh dengan sentimen marah, benci, perkauman atau ketaksuban pada slogan dan kata-kata.

Pilihan yang tepat sering mengambil kira asas upaya yang terbukti (track record) di samping melihat kesan kebaikan yang dapat dirasai.

Tidak perlu membohongi kenyataan kerana yang lebih penting adalah mencari cahaya kebenaran bagi merealisasikan harapan.

Untuk apa melangkah dalam kegelapan, sedangkan lampu di tangan dengan mudah boleh dinyalakan. Baguslah, ada pihak yang menawarkan janji perkhidmatan dengan cogan kata indah, Kestabilan Untuk Kemakmuran.

Benar, hanya dengan kestabilan memungkinkan kemakmuran boleh dicapai. Sekadar sengketa dan masalah melingkari perjuangan, tidak mungkin ditemui jalan penyelesaian memajukan penghidupan.

Masih banyak agenda pemulihan menanti sebuah kerajaan yang benar-benar stabil. Sedia maklum, penularan pandemik Covid-19 masih menghantui penghidupan.

Ekonomi dan aspek sosial perlu dipulihkan. Hidup perlu diteruskan. Rakyat mahu bergerak bebas cergas mencari kejayaan dan keselesaan.

Kestabilan boleh memberi peluang tadbir urus yang berkesan. Ekoran penemuan pada banci penduduk Malaysia 2020, terdapat sektor-sektor yang perlu diberi penekanan.

Matlamatnya supaya setiap segmen masyarakat dapat menikmati kemakmuran secara inklusif, adil dan saksama.

Mana mungkin sesebuah kerajaan yang dibayangi ugutan dan kerenah ‘lompat-melompat’ boleh mengatur perjalanan pentadbiran menepati harapan rakyat?

Johor dikatakan mengalami kadar pelaburan yang menjunam sejak kira-kira empat tahun lalu. Jadi, ini masa sesuai untuk menebus kemuraman kepada suasana lebih indah dan bercahaya.

Masa tetap berlalu walaupun tidak terisi dengan sesuatu yang berguna dan menguntungkan. Oleh itu, jangan rugikan masa dan peluang.

Ramai yang hanya tahu berjanji, tetapi tidak dapat dipastikan sejauh mana janji itu dapat ditunaikan. Dan, ramai yang suka menawarkan perkhidmatan, tetapi belum tentu berupaya menunaikan kewajipan. Jadi, timbang-timbanglah. – UTUSAN

DATUK Sayuti Mukhtar ialah penganalisis sosiopolitik tanah air.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×