PENGLIBATAN guru dalam arena politik negara bukanlah suatu perkara baharu memandangkan golongan yang disifatkan cukup rapat dengan anggota masyarakat ini telah memberikan sumbangan signifikan khususnya dalam konteks politik ketika negara mencapai kemerdekaan terutama dalam proses pembentukan parti-parti politik di peringkat awal dahulu. Justeru, keputusan kerajaan baru-baru ini yang membenarkan semula golongan pendidik seperti guru dan petugas Jabatan Kemajuan Masyarakat (Kemas) bergiat aktif dalam politik sebagaimana rakyat lain berkuat kuasa serta-merta tidaklah begitu mengejutkan.
Menurut Perdana Menteri, Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, perkara tersebut telah dibincangkan secara mendalam dalam Kabinet dan memutuskan untuk memberi kebenaran itu sebagai menghormati semangat demokrasi di negara ini sebagaimana dinikmati oleh rakyat lain. Sebelum ini, Pekeliling Perkhidmatan Bilangan 9 Tahun 2010 hanya membenarkan guru gred DG41 hingga DG48 aktif dalam bidang politik, namun perlu mendapatkan kebenaran rasmi daripada Ketua Setiausaha Kementerian Pendidikan kerana terdapat beberapa syarat yang ditetapkan sebagai penjawat awam.
Seperti biasa, keputusan kerajaan ini menimbulkan pelbagai reaksi khususnya dalam kalangan ahli politik, pemimpin kesatuan guru, anggota masyarakat dan guru sendiri. Secara ringkasnya, ada yang menyokong dan bersetuju dan ada juga yang kurang bersetuju.
Bagi menghormati amalan demokrasi yang kita junjung, sepatutnya kebenaran ini tidak perlu dipertikaikan apatah lagi semua orang sedia maklum betapa besarnya sumbangan guru dalam politik negara terutama pada peringkat awal kemerdekaan dan pembinaan negara bangsa.
Justeru, isu yang perlu difikirkan sekarang ialah sejauh mana para guru yang berminat dan akan bergiat aktif dalam politik ini dapat mengimbangi tuntutan tugas hakiki di sekolah di samping memberikan sumbangan bermakna kepada perjuangan dan agenda parti politik yang disertai. Jujurnya, ini satu tanggungjawab yang besar, umpama berat mata memandang, berat lagi bahu memikul. Apatah lagi sudah tentu guru terbabit juga perlu buktikan kepada masyarakat bahawa dia tidak akan membawa masuk ideologi parti ke dalam kawasan sekolah.
Ironinya, isu guru dibenarkan berpolitik mula menjadi perdebatan serius apabila sejumlah 5.8 juta pemilih berumur 18 tahun (Undi18) dan ke atas sudah boleh mengundi mulai Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) nanti. Ini bermaksud guru sekolah menengah khususnya yang mengajar tingkatan empat dan lima ada peranan besar dalam memberi kesedaran dan advokasi politik kepada pelajar masing-masing supaya mereka memahami peranan ketika mengundi kelak.
Secara prinsipnya, kita bersetuju dan guru wajar bergiat aktif dalam politik kerana boleh memberi manfaat yang besar kepada kesedaran politik anggota masyarakat. Pengaruh guru serta rasa hormat masyarakat terhadap guru membolehkan mereka memainkan peranan signifikan dalam membentuk masyarakat yang celik politik dan menyumbang kepada kestabilan pentadbiran negara.
TOPI PARTI
Oleh itu, guru yang terlibat perlu bijak membezakan peranan sebagai pendidik di sekolah dan sebagai ahli parti politik di luar sekolah. Misalnya ketika di sekolah, tidak boleh membawa sebarang pengaruh atau ideologi politik kepartian dalam kalangan anak murid. Ringkasnya, tinggalkan topi parti di luar pagar sekolah.
Ajaran dan didikan yang disampaikan tentang Undi18 pula wajar berkisar tentang kepentingan golongan muda menjalankan tanggungjawab sebagai pengundi serta sumbangan dan peranan mereka dalam mewujudkan kestabilan politik semata-mata. Ringkasnya, terapkan kesedaran politik secara profesional agar golongan muda ini bukan sahaja turun untuk mengundi demi menunaikan tanggungjawab tetapi mempunyai pengetahuan yang secukupnya untuk membuat pilihan yang tepat demi kestabilan politik negara.
Harapan masyarakat kepada guru yang berpolitik ini pula adalah boleh menjadi ejen perubahan yang mampu membangunkan sosioekonomi rakyat, membawa masalah rakyat ke pihak atasan untuk penyelesaian dan menyumbang ke arah kesejahteraan rakyat secara keseluruhannya.
Dalam konteks ini, peranan kerajaan dan kementerian dilihat sangat penting kerana perlu menyediakan garis panduan yang jelas, iaitu apa yang boleh dan apa yang tidak boleh dilakukan oleh seseorang guru yang diberi kebenaran untuk bergiat aktif dalam politik. Kementerian perlu ada mekanisme yang jelas untuk memantau perkara ini termasuklah memastikan guru dapat melaksanakan tugas hakiki seperti biasa di samping bergiat aktif dalam politik setempat.
Misalnya, pengetua dan guru besar boleh diminta memantau gerak geri guru yang terbabit di samping mengenakan peraturan agar aktiviti politik mereka hanya boleh dilakukan di luar kawasan sekolah serta di luar waktu kerja. Ironinya, kita tidak mahu guru yang terlibat mengabaikan tugas hakiki sehingga menjejaskan masa depan anak-anak. Justeru, ketika di sekolah, tumpuan guru mestilah kepada aktiviti pengajaran dan pembelajaran sahaja.
Tuntasnya, isu ini perlu ditangani dengan teliti dan bijak kerana sudah ada kegusaran dalam kalangan rakyat berkaitan kemungkinan ada impak negatif bila guru dibenarkan aktif berpolitik.
Misalnya, aktivis sosial, Tan Sri Lee Lam Thye melihat keputusan ini perlu dikaji semula atau dibahaskan di peringkat Parlimen kerana tugas guru untuk menggalas tugas pendidik dalam masa sama sebagai ahli politik boleh memberi kesan kepada masa depan anak bangsa.
Jujurnya, di sebalik kewajaran kebenaran ini, kita juga perlu teliti dan perhalusi cabaran dari aspek pro dan kontra atau kelebihan dan kelemahannya. Jadi, kini terpulanglah kepada kementerian bagaimana untuk memantau perkara ini dan paling penting, kita serahkan kepada guru berkaitan untuk membuktikan tahap kemampuan masing-masing dalam melaksanakan tanggungjawab yang diamanahkan. Semoga pembabitan guru dalam politik akan membantu melahirkan anggota masyarakat yang lebih peka dengan kepentingan politik demi kestabilan sistem pentadbiran negara dan kesejahteraan rakyat.
PENULIS ialah pentadbir universiti dan penganalisis isu semasa.










