Hampir semua bangsa di dunia mempunyai kepercayaan tersendiri dalam setiap aspek kehidupan mereka. Kepercayaan ini adakalanya berasas tetapi lebih banyak berasaskan andaian yang dikira khurafat semata-mata.
Pelbagai kepercayaan karut-marut kadang-kala boleh menyebabkan perpecahan di kalangan ahli keluarga dan membawa permusuhan dalam masyarakat. Malah adakalanya boleh menyebabkan kematian.
Sebagai contoh, ada kaum yang menganggap wanita yang didatangi haid membawa nasib buruk dan perlu diasingkan dari kaum keluarga.
Wanita yang didatangi haid ini diasingkan di pondok sementara yang daif adakalanya boleh menyebabkan kematian ketika cuaca sejuk melampau.
Kes menyayat hati ini berlaku kerana masyarakat terikat dengan kepercayaan karut bahawa haid itu pembawa sial. Sedangkan agama Islam tidak pernah memandang wanita di dalam haid sebagai pembawa sial atau kerosakan.
Begitu juga wanita yang kerap kematian anak atau suami, juga dikatakan pembawa sial. Begitulah juga peniaga yang sering menghadapi kerugian, pelajar yang sentiasa gagal, wanita yang gagal dipinang dianggap seorang yang mempunyai nasib buruk di dalam hidupnya.
Kononnya apa sahaja yang dibuat tidak akan menjadi selagi badi sial tidak dibuang dari badannya. Kononnya dengan mandi bunga akan dapat membuang sial dari tubuh badan mereka.
Sebenarnya tiada konsep sial dan tuah di dalam Islam. Sebagai contoh, mempercayai bulan tertentu, warna tertentu atau nombor tertentu boleh membawa kecelakaan atau tuah adalah khurafat yang dilarang.
Budaya berkahwin
Bagi orang Islam, segala baik dan buruk itu datangnya dari Allah. Rasulullah SAW memberi amaran: Menyandarkan keburukan kepada sesuatu ialah syirik dan tidak termasuk ke dalam golongan kami melainkan mereka yang beriman sahaja. Sesungguhnya Allah menghilangkan syirik itu dengan tawakal. (Riwayat Ibnu Majah)
Firman Allah SWT yang bermaksud: Allah tidak ampunkan dosa syirik sementara Dia memaafkan dosa-dosa yang lain. Maka sesiapa yang mempersekutukan (syirik) kepada-Nya sesungguhnya dia telah melakukan dosa yang besar. (al-Nisa’: 48)
Sebagai contoh terdapat pelbagai kepercayaan karut dalam melaksanakan majlis perkahwinan. Ada masyarakat yang mengecam budaya berkahwin adik-beradik secara serentak beramai-ramai dikatakan membawa nasib yang malang.
Malah jika adik berkahwin dahulu daripada kakak, adik haruslah memberi hadiah kepada si kakak.
Selain itu, terdapat adat melempar baju ke atas bumbung rumah yang kononnya dapat mengelak hujan pada hari perkahwinan diadakan.
Ada juga dalam kalangan kita yang menggunakan khidmat bomoh hujan bagi memastikan kelancaran majlis pada hari kenduri.
Kepercayaan seperti ini nyata adalah khurafat dan hendaklah dijauhkan. Hanya Allah yang mendatangkan nikmat dan bala buat umat manusia.
Makhluk seperti manusia dan harta-benda tidak ada kuasa sama sekali mendatangkan kebaikan dan mudarat kepada manusia.
Selain kepercayaan khurafat pada hari perkahwinan, terdapat juga kepercayaan khurafat bagi ibu yang mengandung dan bersalin.
Antaranya amalan melenggang perut, menanam uri bayi bersama paku, pensel, pemadam, buku, jarum dan duit syiling adalah sesuatu yang tidak boleh diterima akal.
Ibu yang bersalin dilarang menjejakkan kaki ke tanah selama 40 hari sedangkan tiada larangan jelas al-Quran dan hadis berkenaan perkara tersebut.
Ibu bersalin juga dilarang mengadakan hubungan seks dengan suami dalam tempoh 100 hari selepas bersalin. Walhal dalam Islam, wanita bersalin hanya perlu berpantang sepanjang tempoh darah nifas keluar sahaja, iaitu maksimum 60 hari mengikut mazhab Syafie.
Pantang ibu bersalin
Pantang sebenar dalam Islam bagi ibu bersalin ialah menjaga larangan ketika nifas sama seperti larangan ketika haid. Antaranya tidak boleh solat, puasa, membaca al-Quran, memasuki masjid dan bersama dengan suami.
Bila darah kering dan si ibu telah mandi menyucikan diri, maka tiada lagi pantang dalam syarak. Menegah ibu bersama dengan suami melebihi waktu yang ditetapkan adalah satu kezaliman bagi si suami.
Apa pun, suami isteri boleh berbincang bilakah waktu yang sesuai untuk bersama terutama bagi memastikan emosi dan kesihatan ibu benar-benar telah pulih.
Islam tidak menyusahkan dan dalam masa yang sama Islam sangat menjaga hak suami dan isteri.
Mereka yang melakukan perbuatan khurafat wajib bertaubat kepada Allah SWT untuk menyelamatkan akidah daripada kekufuran.
Ingatlah sabda Rasulullah SAW bermaksud: Tiada penularan penyakit, tiada thiyarah, tiada nasib malang pada burung hantu dan tiada musibah pada bulan Safar. (Riwayat al-Bukhari)
Rasulullah SAW menyebut: Sesiapa yang menangguhkan hajatnya kerana mempercayai burung sesungguhnya dia melakukan perkara syirik.(Hadis Riwayat Ahmad)
Marilah kita sama-sama memperbetulkan akidah dan kepercayaan kita. Segala baik datangnya dari Allah dan yang buruk juga datangnya dari Allah.
Penulis ialah Prof. Madya di Universiti Sains Islam Malaysia merangkap AJK Perundingan Hukum Syarak Wilayah Persekutuan










