Israk & Mikraj serta pengajaran peristiwa kepada umat manusia - Utusan Malaysia

Israk & Mikraj serta pengajaran peristiwa kepada umat manusia

TRANSIT atau persinggahan Nabi SAW di Masjid al-Aqsa simbolik meneruskan perjuangan para nabi yang majoriti dari bumi Palestin. – GAMBAR HIASAN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Masyarakat Islam saban tahun di bulan Rejab akan memperingati peristiwa Israk Mikraj yang berlaku ke atas junjungan mulia Nabi Muhammad SAW.

Peristiwa tersebut berlaku adalah bertujuan mengajar erti kehambaan kepada Allah SWT.

Syaikh Dr. Wahbah al-Zuhaili dalam kitab Tafsir al-Munir menjelaskan Israk bermaksud perjalanan di malam hari iaitu perjalanan Nabi SAW pada suatu malam dari Masjidil al-Haram di Mekah ke Masjid al-Aqsa di Palestin.

Allah SWT merakamkan peristiwa Israk bermaksud:

Maha Suci Allah yang telah memperjalankan hamba-Nya (Muhammad) pada malam hari dari Masjid al-Haram (Mekah) ke Masjid al-Aqsa (Palestin), yang Kami berkati sekelilingnya untuk memperlihatkan kepadanya tanda-tanda (kekuasaan dan kebesaran) Kami. Sesungguhnya Allah jualah yang Maha Mendengar, lagi Maha Mengetahui (Surah al-Israk: 1).

Sementara itu, perkataan Mikraj menurut bahasa bermaksud naik. Secara istilah membawa makna Nabi SAW naik ke Sidratul Muntaha.

Syaikh Dr. Wahbah al-Zuhaili menjelaskan Sidratul Muntaha adalah tempat tertinggi di langit yang menjadi batas hujung pengetahuan dan amal aktiviti makhluk. Seterusnya, tiada seorang makhluk pun mengetahui sesuatu yang ada di belakangnya.

Peristiwa Mikraj juga telah dirakamkan oleh Allah SWT dalam ayat bermaksud:

Dan sesungguhnya Muhammad telah melihat Jibril itu (dalam rupanya yang asli) pada waktu yang lain. (Iaitu) di Sidratil Muntaha. Dekatnya ada syurga tempat tinggal. (Nabi Muhammad melihat Jibril) ketika di Sidratil Muntaha diliputi oleh sesuatu yang meliputinya. Penglihatannya (Nabi Muhammad) tidak berpaling dari yang dilihatnya itu dan tidak (pula) melampauinya. Sesungguhnya dia telah melihat sebahagian tanda-tanda (kekuasaan) Tuhannya yang paling besar. (Surah al-Najm: 13-18)

Israk dan Mikraj merupakan tasliyah (hiburan) dari Allah SWT untuk Nabi SAW yang dilanda perasaan dukacita kerana dua insan disayangi meninggal dunia iaitu Khadijah isteri Nabi SAW dan Abu Talib bapa saudara Nabi SAW. Sehinggakan tahun tersebut disebut tahun dukacita atau am al-huzn.

Perjalanan Nabi SAW dalam peristiwa ini mendidik masyarakat Islam bahawa ada masa dan ketikanya perlu berehat sejenak untuk memberi laluan dan pengisian terhadap diri sendiri dengan kisah-kisah bermotivasi.

Allah SWT merehatkan seketika Nabi SAW untuk memberi hiburan kerohanian atau tempoh bertenang yang akan memantapkan motivasi Nabi SAW pada masa akan datang.

Ketika peristiwa tersebut berlaku, Nabi SAW singgah di Masjid al-Aqsa serta bertemu para nabi.

Nabi SAW kemudiannya dipertontonkan dengan Nabi Musa AS, Nabi Isa AS dan Nabi Ibrahim AS yang mendirikan solat.

Sudah tentu perasaan gembira wujud dalam jiwa Nabi SAW ketika diperlihatkan dengan sejumlah besar para nabi yang dahulunya turut berjuang menyampaikan risalah.

SIMBOLIK PERJUANGAN

Transit atau persinggahan Nabi SAW di Masjid al-Aqsa, simbolik meneruskan perjuangan para nabi yang majoriti dari bumi Palestin. Ia bukan sekadar semata-mata kerana masjid itu tetapi turut diperlihatkan dengan situasi para nabi yang mendirikan solat dengan penuh kerehatan dan kegembiraan.

Peristiwa ini mendidik dan mengajar Nabi SAW bahawa solat akan menjadikan seseorang hamba kuat dan kental.

Allah SWT telah hadirkan motivasi pertama buat Nabi SAW ketika di Masjid al-Aqsa dengan mengimamkan para nabi bagi mengatasi perasaan kedukaaan Nabi SAW ketika di Mekah, ditolak dakwah, serta dicaci dan dicemuh oleh masyarakat.

Selanjutnya dalam peristiwa ini, Nabi SAW diperintahkan kefarduan solat lima waktu sehari semalam.

Kepentingan dan kedudukan solat yang tinggi dizahirkan melalui perintah yang diberikan oleh Allah SWT kepada Nabi SAW secara langsung tanpa melalui perantara malaikat Jibril.

Solat menjadi ‘tasliyah’ bagi hamba Allah SWT sewaktu berada di atas dunia ini yang pasti diuji dalam kehidupan. Seseorang hamba boleh berdialog secara langsung dengan Allah SWT dalam setiap bacaan, untaian zikir dan doa yang diungkapkan ketika solat.

Solat adalah waktu seseorang hamba untuk hampir, rapat dan dekat dengan Allah SWT dalam mengadu permasalahan dan melepas kerinduan serta bersyukur dengan nikmat yang dikurniakan.

Solat boleh menjalin hubungan dan ingatan berterusan dengan Allah SWT tanpa ada ruang untuk terpisah dalam jangka masa lama melalui pelaksanaan solat fardu lima waktu, solat sunat rawatib, solat sunat di malam hari, solat sunat mutlak dan sebagainya.

Demikianlah, peristiwa Israk dan Mikraj banyak mengajarkan bahawa solat adalah perkara utama dan penting dalam kehidupan manusia supaya terjalin hubungan dengan Allah SWT dalam apa jua situasi.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×