Memperoleh pelbagai jenis produk berkaitan fesyen, aksesori, barang kemas serta barangan perhiasan dalam satu platform pasti memudahkan penggemar barangan tersebut. Dia Guild, sebuah platform membeli-belah jenama Asia Tenggara sangat unik. Sambil membeli-belah anda juga boleh mempelajari lebih lanjut tentang rantau ini hanya di hujung jari.
Platform www.diaguild.com diasaskan pada 2020 oleh tiga wanita tempatan iaitu Alia Farouk, Kylie Francis dan Aisha Hassan.
Ketiga-tiga pengasas ini berhasrat untuk mengubah naratif berkaitan dunia penghasilan barangan berkaitan fesyen dan ketukangan warisan di sekitar Asia Tenggara.
Perkataan Dia diambil sempena perkataan Melayu tanpa jantina yang bermaksud dia atau mereka.
Penampilan platform ini bertujuan untuk memperjuangkan pertukangan dan buah tangan sekitar Asia Tenggara, sekaligus membantu dalam pembangunan dan pengiktirafan global pada jangka masa panjang.
Wanita muda ini mahu mengalihkan tumpuan ramai bahawa Asia Tenggara memiliki hasil kraftangan dan seni yang hebat dan menakjubkan.
ILHAM ISTIMEWA
Antara produk fesyen diketengahkan Dia Guild, antaranya minaudiere atau beg kecil seperti ditampilkan dalam filem Crazy Rich Asians hinggalah kepada selendang batik yang lukis tangan. Setiap produk dihasilkan itu ada kisah peribadi di sebaliknya.
Sehingga kini Dia Guild bekerjasama dengan 23 jenama dari enam negara Asia Tenggara membabitkan produk fesyen, barang kemas dan perhiasan.
Antara menarik perhatian ialah selendang batik berinspirasikan hutan hujan oleh Suria Artisan Batik, pasu seramik buatan tangan oleh artis Malaysia, Tan Yi Hua, Manava produk rotan menyokong artis wanita dari Kemboja dan sebagainya.










