Cubaan hakis kepercayaan rakyat terhadap SPRM - Utusan Malaysia

Cubaan hakis kepercayaan rakyat terhadap SPRM

AZAM BAKI
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mukadimah

Kontroversi pemilikan saham bernilai jutaan ringgit membabitkan Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), TAN SRI AZAM BAKi sudah tentu turut memberi kesan kepda agensi itu. Ia mampu menghakis keyakinan dan kepercayaan masyarakat terhadap integriti suruhanjaya berkenaan. Lebih panas, ia mencetuskan sejarah apabila pertama kali perhimpunan jalanan diadakan oleh orang ramai mendesak seorang penjawat awam meletakkan jawatan.
Menjelaskan kontroversi membabitkan dirinya itu, Azam berkata, beliau melihat perkara tersebut sengaja dipolitikkan. Pada pertemuan dengan wakil media yang turut dihadiri wartawan Mingguan Malaysia, MASZUREEN HADZMAN, beliau menjelaskan, dia melihat setiap aduan dan kes secara serius, dan tidak ada masa untuk melayan tohmahan di media sosial.
Malah katanya, pihak Suruhanjaya Sekuriti (SC) juga telah mengeluarkan kenyataan bahawa tiada kesalahan terhadap dirinya. Semua sudah diisytiharkan dan dibuat menurut undang-undang dan dengan kepatuhan pada prosedur.
Soal pemilikan saham itu sebenarnya bukan satu isu. Jadi, beliau tidak faham kenapa orang ramai mahu membangkitkannya sehingga ada perhimpunan seolah-olah mereka tidak berpuas hati dengan dirinya atau agensi kerajaan.

MINGGUAN: Baru-baru ini berlangsung perhimpunan menuntut seorang penjawat awam letak jawatan, tidak pernah lagi himpunan seperti ini berlaku, pandangan Tan Sri kepada mereka yang desak untuk lepaskan jawatan?
Saya rasa, ini kali pertama sejarah saya bekerja, seorang pengurusan tertinggi agensi awam mendapat liputan meluas daripada media sehingga ada perhimpunan dan macam-macam lagi.
Bagi saya, perkara ini dilihat sengaja dipolitikan dengan begitu teruk sekali. Awal lagi, orang sudah membuat tang­gapan iaitu saya telah melakukan satu kesalahan yang begitu besar walhal isu pemilikan saham yang dikaitkan saya bukan isu yang kecil akan tetapi tiada isu pun yang perlu dibangkitkan.
Ada segelintir sengaja membuat isu ini seperti besar dan buat saya seolah-olah pegawai kerajaan yang teruk terlibat dalam rasuah. Saya dah jelaskan semuanya tentang pemilikan saham itu, masih ada orang tidak puas hati lagi. Kebiasaannya, ahli politik yang akan kena seperti ini. Bila berlaku kepada saya ini, saya anggap ini sebagai cabaran, apa lagi yang saya boleh buat. saya perlu berlapang dada, terlalu banyak pengajaran yang dipelajari di sini.

Kenapa mengambil masa terlalu lama untuk menjelaskan isu pemilikan saham ini?
Saya bukan nak tunjuk saya ini sombong tetapi sebagai pengurusan tertinggi di dalam agensi kerajaan dan antara yang memegang jawatan penting, sudah tentu saya tidak dapat menjawab setiap dakwaan pada setiap masa. Bayangkan, setiap hari ada sahaja dakwaan-dakwaan dikeluarkan dalam media sosial. Jadi, adakah anda mahu saya menjawab setiap dakwaan itu setiap hari? Seolah-olah seperti saya tiada kerja lain untuk buat.
Sebagai Ketua Pesuruhjaya, sudah pasti banyak tugasan penting di atas meja saya untuk saya lihat dan ini tidak terhad kepada kes-kes rasuah sahaja. Saya ingin kongsikan serba sedikit mengenai tugasan saya di mana adakalanya saya menerima maklumat yang dikategorikan sebagai pelik. Sebagai contohnya ada seorang wanita meminta SPRM siasat kenapa mahkamah tidak mengisytiharkan dia sebagai janda. Saya menghargai maklumat ini dan hantar pegawai siasat kerana maksudnya kemungkinan ada unsur salahguna kuasa.
Saya tetap akan melayan perkara itu secara profesional dan tidak menganggap perkara itu sebagai ‘maklumat pelik’ kerana di SPRM, tiada polisi maklumat itu salah atau tidak. Kami tetap akan menilai maklumat berkenaan. Jadi, sebagai seorang ketua, saya akan menilai setiap maklumat pada setiap hari. Jadi, bayangkan bagaimana sibuknya saya setiap hari termasuk pada hari minggu. Kalau kamu mahu saya menjawab semua dakwaan dalam media sosial setiap hari dan bila pelbagai dakwaan timbul, ia seolah-olah mahu saya memberi fokus terhadap isu ini dan melupakan tugasan yang sudah sedia ada.

KITA ADA PROTOKOL
Ahli Parlimen Sungai Buloh, Sivarasa Rasiah memfailkan usul tergempar di Dewan Rakyat untuk membincangkan dakwaan pemilikan saham dikaitkan dengan Tan Sri tetapi usul berkenaan ditolak, komen?
Di sini, saya percaya ada protokol yang perlu diikuti. Bagi saya, jika usul itu ditolak, tiada keperluan lagi untuk saya menjawab. Walau apa pun, saya sendiri secara sukarela menjelaskan isu di sini kepada Pengerusi Lembaga Penasihat Pencegahan Rasuah (LPPR) pada 24 November, 2021.
Untuk makluman, LPPR mempunyai seramai tujuh ahli panel dan jawatan tertinggi ialah Tan Sri Abu Zahar Ujang selaku Pengerusi. Jadi, saya sendiri telah serahkan semua dokumen yang ada untuk beliau melihat dan menilai. Selepas melihat, ternyata beliau berpuas hati dan berpendapat tiada kesalahan atau salah laku yang wujud.
Untuk pengetahuan semua, ketika itu juga tiada sebarang aduan dibuat kepada mana-mana pihak berkuasa terhadap saya. Selepas itu, isu pemilikan saham ini dibangkitkan semula susulan perletakkan jawatan ahli Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah, Prof. Dr. Edmund Terence Eric Boniface Gomez (Prof. Terence Gomez). Prof. Terence Gomez di bawah Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah yang dipengerusikan oleh Tan Sri Borhan Dolah. Terma rujukan Panel Perundingan dan Pencegahan Rasuah antara lainnya adalah untuk menasihati mengenai aktiviti langkah-langkah pencegahan kepada SPRM.
Saya lihat Tan Sri Abu Zahar dan Tan Sri Borhan Dolah telah pun menjelaskan isu ini kepada media. Jadi, saya ambil pendekatan untuk berdiam diri sahaja. Tambahan pula, saya pun tiada kuasa untuk mencampuri urusan mereka mahupun jawatankuasa-jawatankuasa atau panel-panel lain yang ditubuhkan bertujuan untuk menyemak dan mengimbang SPRM.
Selepas itu, saya diminta untuk memberi penjelasan kepada orang ramai pada sidang media LPPR. Saya diminta oleh Tan Sri Abu Zahar untuk turut memberikan kenyataan kepada media berkenaan perkara ini. Sudah pasti, ia disiarkan oleh semua media. Kemudian Suruhanjaya Sekuriti (SC) pula mengeluarkan kenyataan untuk menghubungi saya. Tapi saya tidak mengambil hati kerana saya juga faham bahawa mereka selaku badan penguat kuasa undang-undang juga berhak untuk memulakan siasatan yang difikirkan perlu dan sesuai atas budi bicara mereka sendiri.
Tidak henti di situ, ada pula sekumpulan individu yang membuat laporan terhadap saya di Balai Dang Wangi. Sekali lagi, saya jelaskan isu di sini kepada media ketika lawatan saya ke kolam tadahan banjir awal Januari lalu yang mana saya menyatakan kesediaan untuk disiasat oleh mana-mana pihak tidak kira Polis Diraja Malaysia (PDRM) mahupun SC.
Jika kamu lihat isu ini dari mula, dari penjelasan kepada LPPR mahupun SC, saya telah melalui semua proses-proses perundangan berkenaan dan saya percaya siasatan-siasatan yang dibuat oleh mana-mana badan penguat kuasa telah pun membersihkan nama saya kerana tiada kesalahan undang-undang yang dibuat oleh saya.
Untuk pengetahuan semua, saya juga menyerahkan kes saya ini kepada Jawatankuasa Khas Mengenai Parlimen (JKMR) yang dipengerusikan oleh Tan Sri Dr. Rais Yatim dan juga Jawatankuasa Aduan SPRM (JKA). Saya tidak rasa orang lain akan buat perkara ini. Memandangkan ramai mahu perkara ini disiasat, saya sendiri terbuka untuk mana-mana pihak menyiasat.

BERI KENYATAAN BERBEZA
Kenyataan dikeluarkan oleh SC dilihat berbeza dengan kenyatan yang dibuat dalam sidang media Tan Sri
Sebenarnya, tiada apa-apa perbe­zaan pun. Perkara ini sangat teknikal dan semasa sidang media, saya memi­lih menggunakan perkataan-perkataan mudah difahami ramai tanpa perlu saya menjelaskan hal-hal teknikal berhubung dengan akaun dagangan saham. Kenyataan dikeluarkan SC telah menjelaskan semuanya. Mereka mengeluarkan dua kenyataan, tiada kesalahan terhadap saya. Jadi, bila mereka dah terangkan semuanya, isu ini telah diperjelaskan. Perkataan yang SC guna juga adalah inkuiri dan bukan siasatan. Jadi, perkataan inkuiri itu bagi agensi penguat kuasa adalah inkuiri awal dan bukan kertas siasatan dibuka. Mereka juga tidak kesan kesalahan terhadap saya. Jika kita lihat kepada undang-undang yang dikuatkuasakan SC, ia menyatakan akaun sekuriti yang dibuka mestilah di bawah nama pemilik benefisial atau atas penama yang diberikan kuasa. Semua transaksi perlu dibuat oleh pemilik akaun. Dalam hal ini, akaun sekuriti dibuka di bawah nama saya dan transaksi dibuat oleh saya bagi pihak adik saya. Ini semua sudah diisytiharkan dan dibuat menurut undang-undang dan dengan kepatuhan pada prosedur.

SAMAN LALITHA
Ramai persoalkan kenapa Tan Sri saman ‘whistleblower’ iaitu Lalitha?
Saman itu perlu untuk saya pertahankan diri saya. Ia hak yang diberikan kepada setiap warganegara. Jadi, saya tiada pilihan melainkan saman bagi membersihkan nama saya. Kita sekarang mempunyai peluang untuk mempertikaikan perkara ini di mahkamah. Pada 2019, ada pertubuhan bukan kerajaan (NGO) tampil ke SPRM untuk memahami Akta Pemberi Maklumat dan mereka faham setelah diberi penerangan, bahawa Wistleblower adalah bermakna pemberi maklumat kepada Agensi Penguatkuasa (LEA) yang memberi maklumat secara sulit dan perlu dilindungi termasuklah identiti mereka. Dia bukanlah whistlblower jika sudah mendedahkan identiti.
Anda sebagai wartawan bila mendedahkan sesuatu perkara mestilah ada tanggungjawab ke atas laporan yang dikeluarkan dan bukannya anggap diri anda sebagai pemberi maklumat untuk setiap laporan berita yang dibuat. Perlu juga saya ingatkan adalah tidak adil untuk wartawan atau penulis membuatkan penerbitan bagi tujuan seseorang itu dibicarakan melalui media (trial by media) ataupun membuat tomahan, dan selepas itu berselindung di bawah istilah whistleblower. Dalam Akta itu jelas, mana-mana individu yang datang kepada pihak berkuasa untuk buat laporan mengenai rasuah, kita akan lindungi dan akan jaga identiti anda.

BUKAN MENGHINA
Mengenai Mesyuarat Khas Jawatankuasa Pilihan (PSSC) yang sepatutnya diadakan pada 19 Januari lalu bagi membincangkan isu pemilikan saham dikaitkan dengan Tan Sri ditangguhkan. Komen Tan Sri?
Sudah pasti, mana-mana pegawai kanan kerajaan didapati terlibat dengan salahlaku perlu berhadapan dengan tindakan undang-undang. Apa yang ingin saya tunjukkan, surat yang saya terima adalah surat jemputan sahaja. Jadi, jangan kelirukan orang ramai bahawa saya disapina dan harus hadir untuk menjelaskan semua. Jika saya tidak hadir, seolah-olah saya tidak hormat dan menghina Parlimen. Mana boleh begitu, kalau ini adalah sapina, sudah pasti saya akan hadir dan sebagai pegawai penguat kuasa, sudah pasti saya akan hormat kepada undang-undang yang diperuntukkan.

Adakah kesediaan Tan Sri untuk hadir terhadap jemputan itu?
Pertamanya, kenapa saya tidak hadir, semua ini perlu mengikut lunas undang-undang. Apa yang ingin ditegaskan mereka perlu mengikut Aturan 83(4) Majlis Mesyuarat Dewan Rakyat iaitu harus ada suatu kes yang dirujukkan selepas mendapat kelulusan Dewan Rakyat. Jawatankuasa Pilihan Khas Parlimen itu memerlukan satu kelulusan melalui sidang parlimen atau referral seperti mana yang disyaratkan di bawah aturan itu. Sekiranya ada referral Dewan Rakyat, sudah pasti saya hadir. Jadi, saya berpegang kepada undang-undang itu. Saya bukan tolak hadir tetapi sekiranya ia mematuhi undang-undang, sudah pasti saya akan hadir.
Keduanya, pada waktu itu, isu itu masih dalam siasatan SC, dan ketiganya, saman saya terhadap Lalitha telah pun difailkan di mahkamah. Sebarang perbincangan berhubung perkara ini akan berkisar sekitar perkara-perkara yang telah dibangkitkan di dalam saman fitnah tersebut. Ini, setelah menerima nasihat peguam saya, adalah subjudis. Justeru saya menulis surat kepada Setiausaha Dewan mengenai perkara ini. Disebabkan ini, Pengerusi PSC menangguhkan perbincangan untuk mendapatkan pandangan perundangan berhubung perkara yang saya telah bangkitkan ini.

Enam ahli panel LPPR mengeluarkan kenyataan berbeza daripada Tan Sri Abu Zahar. Komen?
Saya tidak boleh komen mengenai perkara itu. Satu perkara yang boleh dijelaskan, apa yang saya faham melalui kenyataan mereka ada duduk berbincang dengan Pengerusi, LPPR (tidak dapat dipastikan betul atau tidak) untuk membawa perkara isu berkaitan kepada jawatankuasa aduan lain untuk dibincangkan.
Ditegaskan sekali lagi, saya tidak mempunyai masalah jika itu mereka mahu. Saya sendiri serahkan isu saya untuk dibincangkan oleh enam agensi lain seperti PDRM, SC, LPPR, Jawatankuasa Aduan, Jawatankuasa Khas Mengenai Rasuah (JKMR) dan Ketua Setiausaha Negara (KSN). Biar agensi terlibat lakukan siasatan mereka, bagi saya, isu pemilikan saham yang dibangkitkan kepada saya, sebenarnya tiada isu. Tapi, kalau itu yang orang ramai mahu bangkitkan sehingga ada perhimpunan apa semua. saya tidak faham kenapa perlu semua itu seolah-olah mereka tidak berpuas hati dengan saya atau agensi kerajaan?
Perkara sama juga berlaku dalam siasatan SPRM, kita siasat seseorang tetapi akhirnya orang itu didapati tiada kes. Bila tidak berpuas hati, kamu nak buat apa? Buat perhimpunan? Jadi, orang ramai perlu letakkan kepercayaan kepada agensi terlibat. Inkuiri dijalankan SC menunjukkan tiada kesalahan dilakukan saya. Jika tidak berpuas hati dengan keputusan itu, apa saya boleh buat?

BEREHAT SAJALAH
Ramai desak Tan Sri berehat.
Saya tidak mahu tuding jari kepada sesiapa tetapi tiada polisi yang dikeluarkan kerajaan.
Berdasarkan pandangan saya, sudah pasti saya akan memilih untuk berehat sekiranya isu yang dibangkitkan ini disiasat oleh suruhanjaya ini sendiri. Sebagai contoh saya terlibat dalam jenayah, ambil duit dan siasatan dijalankan dan memang sepatutnya saya tidak berada di sini. Saya perlu ambil cuti.
Tetapi berkait isu ini, siasatan dibuka oleh agensi lain jadi sudah pasti saya tidak akan masuk campur dalam setiap siasatan yang dibuat. Mereka hendak siasat, siasat lah. Takkan saya hendak pergi kacau mereka pula.
Jika mereka mahu, boleh ubah polisi sedia ada ini. Jadi selepas ini, jika SPRM menyiasat sesiapa, individu berkenaan perlu berehat sementara siasatan berjalan. Jika anda mahu polisi itu, maklumkan kepada kami. Jangan salahkan agensi seperti kami.

Bagaimana mahu tangkis persepsi masyarakat bahawa rasuah itu ada di SPRM sendiri?a

Itu cakap-cakap orang. Apa fakta mereka ada, sebab itu saya kata ini sikap individu yang suka menuduh semberono tanpa bukti.
Tujuan mereka adalah ingin mengatakan SPRM ini terlibat dalam rasuah. Walhal mereka ini tidak melihat kejayaan-kejayaan kita. Mereka sengaja menghakis kepercayaan rakyat.
Sekiranya mereka berjaya, jadi orang tidak percaya lagi kepada SPRM. Tapi saya lihat, kalau orang tidak percaya SPRM mereka tidak akan datang sini. Ini bermaksud orang masih percaya. Mereka ini pandai bercakap tetapi tidak datang bagi penyelesaian. – Mingguan Malaysia

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×