APABILA Setiausaha Agung DAP, Lim Guan Eng umumkan Sheikh Umar Bagharib Ali bertanding di kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) Paloh, Johor, adakah itu test ground kepada DAP untuk letakkan wakil Melayu sebagai calon menteri besar?
Di Johor, selain Sheikh Umar, ada dua lagi penggerak Melayu DAP iaitu setiausaha publisiti wanita, Marina Ibrahim dan setiausaha politik kepada Lim Kit Siang, Syahredzan Johan.
Khabarnya mereka berdua akan masuk senarai calon DAP dalam Pilihan Raya Negeri (PRN) kali keempat sejak 2018 ini.
DAP barangkali sudah belajar banyak dari pengalaman pasca Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).
Tuntutan sama rata, sama rasa – mesti sama peratusannya – daripada parti itu sebaik sahaja menguasai kerajaan bermula 9 Mei 2018 ‘menikam diri sendiri’. Buat pertama kali sejak 1969, DAP tiba-tiba berada dalam kerajaan. Terperanjat mungkin. Malah, memiliki enam menteri dan enam timbalan menteri. Termasuklah portfolio Kewangan yang tradisinya disandang Perdana Menteri.
Namun ‘kejutan’ itu melekakan DAP. Dari Mei 2018 hingga Februari 2020 banyak cakap-cakap kurang enak berkisar sensitiviti kaum. Kisah-kisah mahu meratifikasi Konvensyen Antarabangsa Mengenai Penghapusan Segala Bentuk Diskriminasi Kaum (ICERD), memperakui Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC) dan bantahan terhadap pindaan Rang Undang-Undang Mahkamah Syariah (Bidang Kuasa Jenayah) (Pindaan) 2016 atau RUU 355 yang dicemuh telah menggamit perhatian dan perasaan orang Melayu.
Di bandar-bandar besar, pinggir bandar dan ceruk-ceruk kampung dalam tempoh itu semasa penulis sendiri menghadiri kenduri-kendara – tak kira majlis kecil besar, majlis kahwin, akikah, sambutan hari jadi – para tetamu bercerita di bawah khemah kecil isu satu ini sahaja – “nasib Melayu tidak terjamin hari ini”.
Kata mereka, orang Melayu sudah hilang status quo dalam menentukan untung rugi, jatuh bangun dan simpang siur nasib bangsanya sendiri – meski masih membentuk bangsa majoriti dalam Malaysia.
HAK ISTIMEWA MELAYU
Kefahaman mengenai kedudukan orang Melayu sebagai bangsa teras dalam kemajmukan Malaysia semakin pudar secara perlahan-lahan. Prinsip first amongs equal – sebagai prinsip asas pembinaan Malaysia semakin dicabar oleh pihak yang mahu menggantikannya dengan prinsip- prinsip yang lain.
Pembawakan ‘Malaysian Malaysia’ yang diperjuangkan DAP telah mencengkam identiti dan jati diri ke-Melayuan mereka.
Apabila wujud organisasi dan individu yang memperjuangkan hak dan ideologi songsang seperti LGBT, liberalisme serta cauvinisme, mereka pula dibenarkan atas nama kebebasan bersuara dan demokrasi.
Dan apabila wujud pihak-pihak yang mempersoal hak keistimewaan Melayu dan mempersenda agama Islam serta Raja-Raja Melayu, dikatakan pula sebagai reformis peneraju Malaysia Baharu.
Itulah yang terjadi. Sejarah 22 bulan kerajaan PH bersama DAP yang akhirnya terpadam, tetapi parut lukanya masih ada.
Justeru kali ini dalam PRN Johor, DAP barangkali mahu menebus ‘kesilapan lalu’ di pasca PRU14. Bahkan mahu menaikkan kembali imej parti yang tercalar semasa PRN Melaka (20 November) yang menang cuma empat dari lapan kerusi. Di PRN Sarawak, 18 Disember tahun lepas lagi teruk kesannya. DAP kalah 22 daripada 24 kerusi ditandingi.
Walaupun di Melaka tempoh hari, DAP meletakkan calon Melayu, Muhamad Danish Zainudin di DUN Pengkalan Batu tetapi kalah, namun isu ‘calon Melayu DAP’ itu tidak terlalu ketara. Di Johor lain ceritanya, Sheikh Umar lulusan Usuluddin dari Universiti Malaya dan pernah berkhidmat sebagai pegawai tadbir dan diplomatik (PTD). Pendek kata, ada umph nya, justeru UMNO jangan sesekali pandang enteng.
Dan benarlah DAP akan bertanding 16 kerusi di Johor kali ini, tetapi barang diingat bila parti itu bertanding, kebiasaannya ia menang semua. Jangan lihat PRN tetapi kalau diikutkan fakta PRU14, DAP menang semua kerusi.
Misalnya di Perak pada Mei 2018, DAP bertanding tujuh kerusi Parlimen dan 18 kerusi DUN. Menang kesemua kerusi Parlimen dan DUN tersebut sehinggakan ADUN Tebing Tinggi, Dr. Abdul Aziz Bari pernah dicanang bakal menteri besar.
HIDUP MATI
Untuk keseluruhan kerusi DUN sahaja dalam PRU14, DAP meraih 101 daripada 505 kerusi.
Untuk PRN Johor, DAP kelihatannya sudah bersedia percaturannya untuk menampilkan lebih ramai calon Melayu. Ia soal hidup mati DAP dalam politik tanah air, apatah lagi dengan penyertaan Undi18 berserta pengundi didaftar automatik yang anggarannya di Johor sahaja antara 200,000 hingga 300,000 orang.
Apa signifikannya DAP calonkan Sheikh Umar yang pertama diumumkan dalam PRN Johor ini, lebih cepat dari parti lain? Mengapa tidak dibiarkan sahaja Amanah dan PKR uruskan senarai calon-calon Melayu, kenapa pula DAP ‘menyibuk’ sama dengan calon Melayunya?
Padahal sejak dulu lagi calon Melayu tiada tempat dalam senarai calon pilihan raya DAP, kalau ada pun sekelumit. Juga dalam siri pemilihan ahli jawatankuasa tertinggi pusat (CEC) DAP pun calon Melayu tidak tertonjol. Didominasi calon-calon mereka sahaja.
Meskipun PH tampak tidak ada persefahaman dalam menuju PRN Johor dengan PKR menggunakan logo sendiri manakala DAP dan Amanah pula memakai lambang PH, Barisan Nasional (BN) sebenarnya berdepan saingan cukup sengit untuk meraih majoriti dua pertiga. Maka untuk meraihnya, jentera perlu bekerja berlipat kali ganda.
Dan akhirnya, tahniah diucapkan kepada Ketua Penerangan Bersatu, Wan Saiful Wan Jan yang sudah pun mengumumkan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai ‘poster boy’ parti itu dalam PRU15.
Pastinya ini dialu-alukan, tetapi malang sekali kerana ‘poster boy’ tidak pula bertanding pertahankan kerusi Gambir. Kalau batang tubuh sendiripun tidak berani bertanding, mengapa pula rakyat Johor harus undi partinya?
Selepas PRU14, orang Melayu selalu sebut DAP PH. Agaknya itu sebab PKR guna lambang sendiri dalam PRN Johor nanti, tak mahu terpalit dengan DAP sampai sekutu sendiri pun sudah perasan.
Dan formula lama DAP letak calon Melayu konsep ‘ali baba’ juga ke? Sekadar bertanya – idea Guan Eng kah selepas menjadi menteri kewangan 22 bulan? – UTUSAN
DATUK Dr. Ahmad Faris Abdul Halim ialah penganalisis isu-isu semasa.










