Buku adalah santapan minda - Utusan Malaysia

Buku adalah santapan minda

NOVEL-NOVEL lama yang bermutu mampu menarik minat pembaca generasi baharu seperti Salina dan Seluang Menodak Baung.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

AMALAN membaca memang terbukti suatu budaya yang membawa pelbagai kebaikan. Selain membantu menambah ilmu, meningkatkan kosa kata dan mengisi masa lapang, amalan membaca akhbar, majalah dan buku mengembangkan imaginasi dan menjadikan kita insan yang lebih empatik.

Baru-baru ini, saya berbual dengan beberapa rakan tentang buku tempatan yang mereka minati serta memberi kesan mendalam kepada jiwa. Sebahagian buku yang dinyatakan memang sudah saya baca dan ada pula yang menarik minat untuk turut membacanya pada masa depan.

Hendry Rao Francis dari Setapak, Kuala Lumpur memilih The Twice Born (1998) tulisan Uma Mahendran sebagai buku yang memberi kesan mendalam. Menurut beliau, novel swaterbit setebal 515 halaman ini memiliki teknik cerita berbingkai yang menyingkap sejarah lampau Tamadun Indus di India dari sudut berbeza. Apa yang menarik, plot fantasi dan kisah bawah sedar dalam novel ini turut menyentuh isu dan konflik pertembungan budaya di Malaysia.

“Pengarang berjaya memasukkan juga aspek politik, perubatan dan sosioekonomi yang diadun kemas dalam bentuk fiksyen. Sesungguhnya, inilah novel tebal pertama yang saya baca dengan penuh tumpuan. Sehingga kini, saya masih berminat untuk mengulang baca,” kata guru itu.

Seorang lagi guru, Anuradha Chelliah dari Banting, Selangor, sebuah kumpulan cerpen bahasa Tamil menjadi pilihan. Buku Antha Kanngal Virpanaikkillei (2021) membawa maksud Sepasang Mata Itu Bukan Untuk Dijual. Buku setebal 176 halaman ini menghimpunkan cerpen tulisan Taya G (Manimaran Gunasakiran), seorang penulis Tamil tempatan yang berasal dari Sungai Petani, Kedah.

“Saya meminati buku ini sebab bahasa yang digunakan mudah difahami. Ceritanya ringkas, padat dan mempunyai penghujung yang tidak disangka. Saya memang terpegun kerana walaupun permulaan cerita agak biasa, tetapi berakhir dengan penamat tidak terduga. Saya sebagai pembaca perlu berfikir secara aktif, kritis dan rasional untuk menikmati cerpen dalam buku ini,” akuinya.

Selain karya-karya baharu, novel lama yang bermutu juga tetap bersifat malar dan mampu menarik minat pembaca generasi baharu. Misalnya, novel Seluang Menodak Baung oleh Sasterawan Negara, Shahnon Ahmad yang pertama kali terbit pada 1978.

Edisi terbitan semula setebal 364 mukasurat dengan ejaan baharu pada 1998 menarik minat Bruwin Anak Jumput dari Kapit, Sarawak. Menurut pemuda ini, kisah yang diangkat dalam novel tersebut sangat relevan dengan kehidupan dirinya sendiri sebagai individu keturunan Dayak-Iban yang tinggal di pedalaman Sarawak.

Novel itu mengangkat kisah penduduk Terenas, sebuah desa terpencil di pinggir hutan yang bangkit memperjuangkan hak selepas sekian lama tertipu oleh kuasawan dan wakil rakyat yang dipercayai bulat-bulat.

“Walaupun latar belakang masyarakat dan latar geografi memang berbeza antara novel dan hidup saya, latar peristiwa tetap amat menyentuh hati. Saya setuju bahawa kesedaran dan kesatuan komuniti setempat dalam berurusan dengan pihak pentadbir amat penting, lebih-lebih lagi pada masa sekarang. Justeru, novel ini amat sesuai untuk membantu meningkatkan kesedaran masyarakat,” kata Bruwin.

SALINA
Sasterawan Negara, A. Samad Said menulis manuskrip berjudul Gerhana bagi Peraduan Menulis Novel pada 1958. Manuskrip beliau hanya menang sagu hati dan terbit dengan judul Salina (1961).

Namun, karya itu terus menjadi sebutan dan rujukan ramai sehingga kini. Malah, masih diulang cetak beberapa kali sehingga kini. Terjemahan bahasa Inggeris juga terdapat dalam tiga versi.

Maka, tidak hairanlah apabila Norazli Ramlis dari Teluk Intan, Perak memilih karya agung itu sebagai bahan bacaan yang amat memberi kesan kepada dirinya. Dia yang merupakan bekas dreser (pembantu hospital) di Ladang Nova Scotia (kini Ladang Seri Intan) memang pembaca tegar karya pelbagai genre.

“Saya suka latar belakang kehidupan yang diangkat dalam novel Salina.

Gambaran suasana era selepas perang di Singapura, kehidupan kampung tradisional, suasana masyarakat majmuk, isu-isu sosial dan soal perjuangan demi kelangsungan hidup memang menarik dan menyentuh jiwa pembaca sejak novel ini mula-mula terbit dahulu,” katanya.

Norazli turut menyukai pengaruh lagu-lagu filem Hindustan dalam komuniti Melayu sepertimana dipaparkan oleh A. Samad Said dalam novel Salina. Ditambah kisah watak-watak yang bercita-cita untuk hidup lebih baik dan memburu cinta murni dalam kehidupan.

Dalam perbincangan kami, Noraini Abd. Rahman dari Alor Setar, Kedah memilih buku The Art of Letting God tulisan Mizi Wahid (Muhammad Tarmizi Abdul Wahid) dari Singapura. Buku ini yang menggabungkan motivasi, psikologi, refleksi diri dan dakwah memang mendapat sambutan hangat dan sudah banyak kali diulang cetak.

“Saya sangat menyukai buku ini kerana gaya penulisan Mizi Wahid sangat santai tetapi mesej sampai terus ke lubuk hati, jiwa dan minda pembaca. Membaca buku ini memberi saya ketenangan dan terapi jiwa. Selain itu, buku ini mengingatkan saya bahawa sebesar mana pun usaha kita sebagai manusia, akhirnya kita perlu berserah kepada Allah kerana semua perkara berlaku dengan izin-Nya,” penolong pustakawan itu menghuraikan.

Memang ada pelbagai buku tempatan dalam pelbagai bahasa yang bukan setakat membantu mengisi masa lapang, malah mampu pula mengubah pemikiran pembaca. Slogan Membaca Jambatan Ilmu dan Membaca Memperkasa Minda memang benar pada setiap zaman. Sesungguhnya bahan bacaan bermutu adalah santapan bagi minda yang dahagakan ilmu.

PENULIS ialah pengasas Kumpulan Sasterawan Kavyan.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×