Bolehkah kita hidup di Marikh? - Utusan Malaysia

Bolehkah kita hidup di Marikh?

PARA pengkaji percaya planet keempat dari matahari, Marikh mempunyai potensi untuk dihuni manusia. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

TULAR baru-baru ini kenyataan oleh manusia terkaya di dunia, Elon Musk yang mendakwa semua spesies di muka bumi akan pupus dan manusia perlu berhijrah ke planet lain untuk menjalani kehidupan di sana.

Ketua Pegawai Eksekutif Tesla itu melahirkan nada optimis untuk mendaratkan manusia di planet Marikh menerusi projek SpaceX selewat-lewatnya 10 tahun akan datang.

Namun, timbul persoalan, adakah manusia sebagai khalifah yang diamanahkan untuk memakmurkan bumi dapat hidup di planet lain atau di luar bumi dan menjalankan peranan dan fungsinya di sana? Istilah hidup ini bermaksud menjalani kehidupan seperti tinggal dalam waktu yang lama, makan-minum, beraktiviti, hidup berkeluarga dan beranak-pinak.

Persoalan ini bukanlah suatu yang sengaja atau baharu ditimbulkan melihatkan kepada misi penerokaan planet Marikh yang telah dimulakan oleh para pengkaji sejak 1960-an dan sering kali mendapat perhatian dunia. Sejak awal misi ke Marikh dilancarkan, para pengkaji percaya planet keempat dari matahari itu mempunyai potensi untuk dihuni manusia dan kajian secara serius perlu dilakukan sebagai persediaan sekiranya bumi sudah tidak lagi relevan untuk dihuni suatu hari nanti.

Atas dasar itu, persoalan adakah manusia boleh hidup di planet lain telah mendapat perhatian para pemikir termasuklah ulama yang cuba melontarkan pendapatnya berdasarkan keterangan serta tafsiran terhadap ayat-ayat al-Quran. Sebahagian mereka mengemukakan pendapat bahawa manusia tidak akan dapat hidup dengan stabil selain di bumi seperti di planet Marikh, Venus dan lain-lain. Mereka menyandarkan kepada beberapa ayat al-Quran sebagai dalil.

Pertama, ayat al-Quran yang menegaskan bumi adalah tempat manusia hidup dengan baik sampai hari kiamat. Sebagaimana firman Allah: “Dan bagi kamu ada tempat kediaman di bumi, dan kesenangan hidup sampai waktu yang ditentukan.” (Surah al-Baqarah: 36).

Apabila ditinjau keterangan dalam kitab Tafsir Ibnu Kathir, maksud ayat tersebut ialah bumi merupakan tempat tinggal dan dibatasi sehingga waktu yang ditentukan. Ibnu ‘Abbas r.a berkata, lafaz mustaqarrun bermaksud tempat tinggal di muka bumi dan di bawahnya (kubur).

Kedua, ayat al-Quran yang menegaskan di bumi manusia akan hidup, mati dan seterusnya dari bumi manusia akan dibangkitkan. Sebagaimana firman Allah: “Di bumi itu kamu hidup dan di bumi itu kamu mati, dan dari bumi itu (pula) kamu akan dibangkitkan.” (Surah al-A’raf: 25).

Konteks yang hampir serupa juga diungkapkan ayat lain: “Dari bumi (tanah) itulah Kami menjadikan kamu dan kepadanya Kami akan mengembalikan kamu dan daripadanya Kami akan mengeluarkan kamu pada kali yang lain.” (Surah Taha: 55).

Melalui ayat-ayat yang dikemukakan, Allah mengkhabarkan Dia menjadikan bumi sebagai tempat tinggal bagi anak cucu keturunan Adam a.s. Di bumi mereka hidup dan di bumilah mereka mati dan dikuburkan. Dan dari bumi itulah mereka dibangkitkan pada hari kiamat di mana Allah mengumpulkan orang-orang terdahulu hingga orang-orang yang terakhir dan memberikan balasan sesuai dengan amal perbuatan mereka.

KEKUATAN
Syeikh Muhammad bin Soleh al-‘Uthaimin dalam kitabnya berjudul as-Silsilah adz-Dzahabiyah min Tafsir menjelaskan, “tidak mungkin hidup selain di bumi bagi keturunan Adam” (surah al-Baqarah, ayat 36 dan al-A’raf ayat 25).

Berdasarkan kedua-dua ayat tersebut, kita mengetahui usaha orang kafir untuk hidup selain di bumi baik di sebahagian planet atau gugusan bintang adalah sia-sia kerana tiada tempat stabil untuk kehidupan kecuali di bumi.

Syeikh Soleh al-Munajjid dalam blognya pula mengungkapkan pendapatnya dengan berkata, “kehidupan itu di bumi dan tidak ada pada planet lainnya. Manusia tidak mungkin hidup selain di planet bumi iaitu hidup stabil, beranak-pinak dan hidup bergantian setiap generasi. Hal ini tidak mungkin. Memungkinkan bagi manusia menjejakkan kaki ke planet lainnya tetapi untuk hidup secara stabil, hal ini tidak mungkin.”

Walaupun menurut pendapat sebahagian ulama adalah suatu misi yang mustahil untuk umat manusia mewujudkan peradaban hidup di planet lain berdasarkan sandaran mereka terhadap ayat-ayat al-Quran. Namun, di ayat yang lain, Allah memberikan kebebasan kepada umat manusia untuk menjelajahi dan menerokai penjuru langit dan ruang angkasa sesuai dengan kemampuan dan ilmu pengetahuan yang dimiliki.

Sebagaimana firman-Nya: “Hai jama’ah jin dan manusia, jika kamu sanggup menembusi (melintasi) penjuru langit dan bumi, maka lintasilah, kamu tidak dapat menembusnya kecuali dengan kekuatan.” (Surah ar-Rahman: 33).

Ayat di atas boleh dijadikan sebagai petunjuk untuk umat manusia menerokai ruang angkasa lepas. Konotasi ‘kekuatan’ yang dimaksudkan dalam ayat tersebut ialah sesuatu yang boleh umat manusia usahakan untuk mengembangkannya, sama ada melalui ciptaan teknologi sains roket atau apa sahaja yang boleh dikembangkan mengikut kemampuan. Namun, sudah pasti semua itu juga dengan izin dari-Nya. Wallahuaklam.

PENULIS ialah Pengasas Pusat Pengajian Abu Faqih Centre.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×