Setelah tiga tahun berusaha menjalankan pelbagai teknik penyelidikan, pasukan penyelidik Institut Penyelidikan Perikanan (FRI) berjaya membiak secara konsisten beberapa spesies ikan inggu. Ia dikenali juga sebagai ikan nemo (clownfish) di Akuarium Tunku Abdul Rahman Pulau Pinang, Batu Maung di sini.
Penolong Pegawai Penyelidik FRI, Dzulfikkar Baitulma’mur berkata, antara spesies ikan inggu atau lebih dikenali nemo yang berjaya dibiak ialah Amphiprion oscellaris, Amphiprion perideraion, Amphiprion biaculeatus dan pasangan kacukan di antara (Amphiprion ephippium x Amphiprion melanopus).
Dzulfikkar yang mengetuai penyelidikan ikan nemo itu berkata, penyelidikan ikan itu bermula pada 2018. Ini selepas pihaknya mendapati ikan inggu yang ditempatkan sebagai ikan pameran di Akuarium Tunku Abdul Rahman mula menunjukkan perubahan untuk membiak.
“Kita mencuba pelbagai teknik secara cuba dan jaya untuk menjalankan pembiakan ikan nemo kerana pasukan kami tidak pernah menjalankan penyelidikan mengenainya sebelum ini.
“Selepas lebih lima kali percubaan, kami berjaya menemui teknik yang betul dan mula membiak ikan nemo ini dengan teknik induk dipindahkan bersama dengan telur,” katanya ketika ditemui di Akuarium Tunku Abdul Rahman Pulau Pinang, baru-baru ini.
Menurutnya, kejayaan pembiakan yang konsisten beberapa spesies ikan nemo itu diharapkan dapat mewujudkan satu sumber baharu pendapatan kepada pengusaha-pengusaha ikan hiasan air masin.
Katanya, ikan nemo mengambil masa sekurang-kurangnya lima bulan untuk dibiak menjadi ikan induk yang bersedia untuk dijual sebagai ikan hiasan.
“Ikan ini mempunyai peminatnya yang tersendiri malah harganya juga mencecah ratusan ringgit dan mampu menjana pendapatan kepada mereka yang berminat untuk membiakkan ikan hiasan ini,” katanya.
CABARAN PEMBIAKAN
Mengulas mengenai aspek cabaran, katanya, keadaan cuaca merupakan antara cabaran utama yang dihadapi oleh pasukan berkenaan ketika membiak ikan tersebut di dalam tangki kerana induk ikan inggu amat sensitif kepada sebarang perubahan bunyi.
“Induk ikan ini amat sensitif terhadap bunyi, jadi kami menghadapi masalah ketika musim hujan kerana induk terlalu sensitif kepada bunyi hujan, guruh dan kilat.
“Induk yang berasa terancam ketika berlaku bunyi kuat pada waktu hujan akan cenderung memakan telurnya sendiri kerana sifatnya yang terlalu melindungi telur,” katanya.
Selain itu, katanya, di peringkat awal proses percubaan pembiakan, anak-anak ikan yang baharu menetas juga sering hilang kerana termasuk di dalam filter (penapis air).
“Ketika itu pasukan kami masih baharu di peringkat permulaan mencuba secara trial and error dalam pembiakan ikan ini.
“Selepas beberapa ketika, baharu pasukan kami dapat mengenalpasti mengapa anak-anak ikan yang baharu menetas ‘hilang’ setiap kali baharu menetas.
“Hanya selepas itu kami menukar filter dengan jaring yang lebih halus agar anak ikan tidak termasuk di dalam sistem filter ini,” katanya.
Tambahnya, pembiakan di dalam tangki juga berbeza dari kawasan laut dari segi keadaan batu karang, rumpai air, makanan ikan dan sebagainya.
“Kami perlu mencipta suasana seperti di dalam laut di dalam tangki bagi menyesuaikan keadaan semulajadi ikan untuk menghasilkan telur dan memastikan induk ikan berasa selesa,” katanya.
TAWAR LATIHAN
Tambahnya, pasukan penyelidik FRI juga bersedia untuk menawarkan latihan kepada mereka yang berminat untuk mendalami teknik pembiakan ikan nemo.
“Sasaran kami ialah untuk memberikan peluang pendapatan baharu menerusi pembiakan ikan nemo sama ada secara komersial atau di kawasan rumah sendiri kerana pembiakan ikan nemo ini mempunyai masa depan yang cerah dalam industri ikan hiasan di negara ini,” katanya.
Dalam pada itu katanya, kejayaan tersebut juga mampu menghalang pengambilan ikan nemo yang tidak terkawal daripada persekitaran liar yang boleh menjejaskan populasi ikan nemo.
“Teknik pembiakan sama yang ditambah baik dapat digunakan kepada spesies dan kacukan ikan nemo yang lain pada masa depan,” katanya.
Kaedah pembiakan ikan nemo
Dzulfikkar berkata, ikan inggu ini merupakan spesis hermafrodit iaitu spesis yang mempunyai organ reproduksi jantan dan betina dalam satu tubuh.
“Semasa kecil, ikan nemo ini merupakan ikan jantan yang tidak dominan dan selepas berusia setahun, akan muncul seekor ikan nemo di dalam kumpulannya menjadi dominan.
“Ikan yang bertukar menjadi dominan ini akan bertukar menjadi ikan betina yang kemudiannya boleh menjadi induk untuk menghasilkan telur,” katanya.
Tambahnya, antara kaedah pembiakan yang digunapakai untuk pembiakan ikan inggu di dalam tangki ialah menggunakan proses pengasingan ikan yang matang untuk mendapatkan induk betika.
“Apabila kita telah memperoleh induk, ia akan dapat bertelur dan induk berkenaan akan dipindahkan bersama-sama dengan telur di dalam tangki,” katanya.
Tambahnya, ikan induk akan bertelur di dalam tangki induk dan selepas tujuh hingga sembilan hari anak-akan ikan akan mula menetas.
“Anak-anak ikan akan dipindahkan ke tangki pembesaran awal dan berada di sana sekitar 14 hingga 20 hari.
“Kemudian ia akan dipindahkan ke tangki pembesaran akhir dan secara keseluruhan pusingan pembiakan serta pembesaran ikan ini akan mengambil masa sekitar lima bulan dan bersedia untuk dijual,” katanya.










