AS ada kelebihan dalam politik global

AS ada kelebihan dalam politik global

as
KETIBAAN Antony Blinken (tengah) ke Fiji disambut Pemangku Perdana Menteri negara itu, Aiyaz Sayed-Khaiyum (kanan) pada 12 Februari lalu. – AFP
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KRISIS di Ukraine dan potensi konflik di Indo-Pasifik terutama Taiwan dan Laut China Selatan bukan merupakan faktor penyebab langsung kepada persaingan di antara kuasa Barat khususnya Amerika Syarikat (AS) dengan kuasa penentang, China dan Rusia.

Sebaliknya menjadi hasil dan kesan yang ketara daripada pertembungan dua kepentingan, iaitu ideologi dan sistem serta nilai berbeza yang menunggu masa untuk dijadikan sasaran.

Polemik perang di Ukraine dijadikan medan pertaruhan dan pelbagai hujahan dilemparkan sebagai petanda awal kemerosotan AS dalam pentas pengaruh dunia.

Trend yang diburukkan sejak zaman pentadbiran Presiden Donald Trump dan kini terus berhempas-pulas dalam menyaingi kebangkitan Rusia dan cabaran sengit berterusan China.

Ruang terbuka dan laluan mudah dimiliki Presiden Rusia, Vladimir Putin disifatkan sebagai lambang kelemahan Barat serta AS dalam mencipta pelan dan strategi berkesan dalam menyekat perluasan Rusia dan China.

Pengunduran tergesa-gesa dari Afghanistan yang sarat dengan kelemahan dalaman serta kegagalan untuk mendapatkan sokongan komprehensif sekutu di Asia dan Eropah dalam memberikan tentangan dan sekatan kepada China dan Rusia terus memperdalam krisis keyakinan dan pengaruh Barat dan AS.

Usaha Presiden Perancis, Emmanuel Macron dalam percubaan untuk menampal ketirisan tampuk kepimpinan di Eropah dalam menyelesaikan krisis di Ukraine dengan mengadakan rundingan intensif dengan Putin dilihat sebagai satu tamparan hebat kepada kedudukan dan pengaruh AS.

Polisi timbal balik dan tindak balas AS terhadap tindakan perluasan agresif di Indo-Pasifik yang dilihat sebagai terlalu lambat, terdesak dan tidak bersasarkan kepentingan jangka panjang negara lain menjadi bahan perdebatan golongan anti-AS dan antikapitalis serta penyokong kuasa alternatif untuk menonjolkan Rusia dan China sebagai suara kepada negara membangun yang lain.

Sekatan dan cengkaman yang dikenakan AS menyaksikan Rusia dan China terus mengorak langkah memperdalam ikatan sesama mereka, dengan pertemuan strategik Putin dan Presiden China, Xi Jinping di sebalik tirai Sukan Olimpik Musim Sejuk Beijing, minggu lalu.

Kremlin dan Beijing tidak akan bertolak ansur dalam percubaan AS untuk meneruskan agenda menghimpit hak dan peluang kedua-dua negara itu untuk mengembalikan kedudukan dan status legasi silam sebagai kuasa besar.

Di sebalik perdebatan mengenai kejatuhan AS sebagai kuasa dominan global yang bakal disaingi China serta cabaran Rusia, Washington tidak terpalit dengan permainan minda dan strategi mengikat yang disusun Beijing.

AS sedar cabaran sengit daripada China dan Rusia boleh menghambat rencananya dalam mempertahankan kepentingan di rantau strategik serta melindungi akses kepada sumber dan hasil utama berkepentingan pada masa depan.

Namun, kedudukan AS sebagai kuasa terbesar tunggal global tidak akan terhakis terutamanya dalam spektrum ketenteraan dan penguasaan teknologi kritikal.

Sejarah membuktikan hampir semua pertembungan kritikal kuasa, pengaruh dan ideologi berbeza di antara autokrasi dan demokrasi menyaksikan kelebihan kepada kemenangan demokrasi, kebebasan dan perlindungan prinsip universal kemanusiaan.

TERDESAK

AS akan dilihat sebagai terdesak atau terburu-buru dalam kegusarannya untuk mengekang momentum yang ada pada Beijing dan Moscow sekarang.

Namun, hakikatnya perencana strategi dan pakar AS sedia maklum pertembungan dan persaingan ini menjurus kepada pertaruhan jangka panjang dan akan memihak kepada AS.

Konflik dua paksi ini kekal berada dalam radar kemenangan AS dan hanya berpotensi untuk gagal sekiranya berlaku pergolakan dan keretakan dalaman secara besar-besaran dalam sistem pentadbirannya.

Peluang untuk berlakunya senario ini amat tipis dan Jinping serta Putin sedar mereka tidak mempunyai kelebihan masa dalam sudut ini dan terpaksa mengatur strategi tekanan secara pantas, berpusat dan intensif.

Usaha pemerkasaan ikatan Rusia dan China hanya menjadi pangkalan terdesak untuk membentuk sinergi dan sumber lebih berdaya saing bagi menghalang campur tangan dan tekanan AS dalam menghakis momentum dan kelebihan yang ada sekarang di Ukraine dan Indo-Pasifik.

Harus diingat, sejarah pertalian antara kedua-dua negara ini tidak membantu dalam meningkatkan keyakinan dan terus mencipta percaturan berhati-hati kedua-dua pihak dalam mengatur langkah jangka panjang keselamatan dan kedaulatan masa depan.

Dalam memecah kepompong pengaruh China di rantau Indo-Pasifik yang bersandarkan kapasiti modal tinggi serta jaminan keselamatan dan rantaian ekonomi, AS tidak ketinggalan dalam perangkaan strategi tersendiri yang tersusun bagi menghalang hasrat China untuk membentuk akses pengaruh dan power projection ke Lautan Pasifik dengan kehadiran meningkat di negara-negara Kepulauan Pasifik.

Lawatan Setiausaha AS, Antony Blinken ke perairan tersebut sejak minggu lepas untuk memecah rantaian pengaruh ini serta mencorak kehadiran strategik AS sejurus selepas lawatan ke Ausralia untuk memperkasa jalinan pakatan Quad memberikan mesej jelas kepada Beijing bahawa AS akan tetap menjadikan Indo-Pasifik sebagai fokus utama dan China sebagai radar kepentingan pertama di sebalik krisis di Ukraine.

Ini memberikan amaran jelas dalam kebolehan dan keinginan AS untuk mempertahankan kapasiti dan kelebihannya untuk memenangi dua konflik berskala besar dunia pada satu-satu masa.

Tanpa mengira hasil krisis di Ukraine mahupun di Taiwan, kedua-duanya tidak cukup untuk menjadi simbol kepada kejatuhan kuasa dan pengaruh AS dan tidak akan memberikan kesan ketara total kepada prospek masa depan kuasa konvensional AS.

Unjuran sukatan impak kuasa sesebuah negara tidak akan dirumuskan dalam indikator jumlah keluasan tanah yang ditakluk atau hasil kewangan yang diraih daripada operasi perang siber mahupun jumlah satelit yang dilancarkan ke angkasa.

Ia berlunaskan keutuhan menyeluruh semua landasan sistem dan pegangan nilai dalam jaminan mengangkat aliran progresif kemanusiaan sebagai lambang teguh kekuatan sebenar ketahanan institusi dalaman sesebuah negara. – UTUSAN

PENULIS ialah Penolong Pendaftar di Universiti Malaya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×