SETIAP individu mempunyai lengkungan dan bentuk tapak kaki berbeza. Kurang lengkungan di bawah tapak kaki boleh memberi kesan kepada kesihatan.
Bentuk tapak kaki yang normal mempunyai lengkuk di bawahnya bila berdiri. Pada kebiasaannya, lengkuk di bahagian sisi dalam kaki akan lebih melengkung.
Manakala bagi yang mempunyai tapak kaki rata atau flat foot, tiada lengkungan atau lengkuk yang rendah kelihatan. Kaki akan terlebih berpijak pada sisi dan boleh terarah ke luar.
Individu dengan tapak kaki rata pada sebelah atau kedua-dua kaki sebenarnya berdepan masalah kesihatan seperti sakit kaki dan buku lali, lutut, pinggul atau sakit belakang.
Antara faktor meningkatkan risiko tapak kaki rata termasuk obesiti, diabetes, penuaan dan kehamilan.
Bagi kanak-kanak pula, jika masih tidak mempunyai lengkungan pada tapak kaki sehingga berusia sembilan tahun, ia boleh menyebabkan kesakitan malah kecacatan kaki.
Menurut pakar ortotik, Datuk Dr. Edmund Lee, lengkung kaki memberikan anjalan dalam setiap langkah dan membantu mengagihkan berat badan pada kaki dan tangan.
“Tapak kaki rata mempunyai lengkung sangat rendah atau tiada lengkung langsung. Ini bermakna satu atau kedua-dua tapak kaki akan berpijak rata di atas permukaan.
“Gejala paling umum pada tapak kaki yang rata ialah kesakitan. Ini mungkin berlaku disebabkan ketegangan otot dan ligamen penghubung. Tapak kaki rata juga boleh menyebabkan berat badan tidak dapat diagihkan secara seimbang,” katanya.
Keadaan itu boleh menyebabkan kasut menjadi haus lebih cepat daripada biasa atau tidak sekata, terutamanya pada satu-satu bahagian. Seterusnya boleh membawa kepada kecederaan.
Antara perubahan semula jadi berlaku pada kaki apabila penuaan termasuk penipisan kulit, haus dan koyak pada sendi, kekuatan otot berkurang, kehilangan daya tahan, bengkak, bekalan saraf atau darah ke kaki terjejas serta berlaku perubahan pada kuku.
RAWATAN KAKI SIHAT
Ujar Dr. Lee, masalah kaki boleh dirawat sekiranya melakukan pemeriksaan atau analisis apabila berasa sakit kerana kaki adalah tunggak kekuatan dan struktur seluruh badan.
Katanya, bila kaki sakit badan akan turut mendapat implikasi kesihatan yang serius.
“Kebanyakan masalah kaki boleh dirawat. Namun tidak ramai yang tahu atau sedar bahawa masalah kaki boleh diatasi jika pengesanan awal dibuat menerusi pemeriksaan kaki.
“Langkah menjalani pemeriksaan atau analisis tahunan kaki boleh mengurangkan masalah kaki sebanyak 80 peratus. Bagaimanapun, terdapat kes apabila membuat penukaran kasut yang sesuai memberi keajaiban kepada kaki dan tidak perlu menderita begitu lama,” katanya.
Beliau menambah, individu yang mengesan masalah kaki biasa atau ringan juga perlu pertimbangkan dengan berjumpa pakar kaki untuk membantu mengekalkan kesihatan kaki.
“Jadikan pemeriksaan kaki sebagai rutin. Beri perhatian jika terdapat pecah atau rekahan pada kulit dan masalah lain yang dikesan pada kaki,” katanya.
KASUT TEPAT KAKI SIHAT
SETIAP kaki mempunyai 26 tulang, 33 sendi dan lebih daripada 120 otot, ligamen, tendon dan saraf. Ini semua berfungsi bersama untuk menyokong berat badan, bertindak sebagai penyerap hentakan, memastikan tubuh seimbang dan mendorong setiap langkah ke hadapan.
Dr. Lee yang juga Pengasas bersama dan Ketua Pegawai Eksekutif JennOrtho berkata, salah satu punca utama masalah kaki ialah kasut yang tidak sesuai.
Katanya, tiga daripada empat individu berusia 65 tahun ke atas memakai kasut terlalu kecil. Sedangkan apabila meningkat usia, penting membuat pemilihan kasut sesuai dan selesa.
“Kasut sempit atau ketat, tinggi dan kasut dengan tapak licin atau yang tidak memberikan perlindungan dan sokongan boleh menyebabkan kecederaan malah kesakitan yang serius. Pakai kasut sesuai, yang boleh menyokong dan melindungi kaki kerana pelbagai aktiviti dilakukan, boleh memberi impak berbeza pada kaki.
“Kasut tidak sesuai boleh menyekat peredaran darah atau menyebabkan kecederaan seterusnya memberi tekanan pada kulit,” katanya.
Pemilihan kasut yang menyokong dan memegang kaki dengan kuat pada lapik kasut bahagian dalam mampu mengurangkan risiko masalah kaki.
“Pakailah kasut yang menyokong lengkungan kaki. Pelapik tapak kasut bahagian dalam atau insole berkusyen sangat berguna untuk yang mempunyai masalah kaki terutama flat feet. Ia berfungsi sebagai penyerap tekanan ketika berjalan.
“Jika kaki mempunyai kecenderungan membengkak, perlu pastikan kasut cukup besar untuk menampung saiz kaki. Selain itu, penting untuk memilih kasut yang diperbuat daripada kulit dan kapas yang menyerap peluh. Sentiasa memakai kasut dengan stoking dan elakkan berjalan tanpa alas kaki walaupun di dalam rumah,” katanya.
WANITA KERAP SAKIT TAPAK KAKI SEBAB KASUT
KURANG berjalan dan pergerakan terhad sewaktu Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) susulan pandemik Covid-19 menyebabkan ramai yang mengalami masalah sakit tapak kaki. Ini kerana tiada pergerakan aktif dilakukan semasa berkurung di rumah.
Statistik menunjukkan kira-kira 75 peratus daripada rakyat Malaysia akan pernah mengalami masalah kaki sepanjang hidup. Seorang daripada lima orang akan mengalami masalah kesihatan seperti kaki sakit, kaku atau sengal.
Pusat Kebangsaan untuk Maklumat Bioteknologi (NCBI) pada 2013, mendedahkan sakit tapak kaki merupakan masalah umum di Malaysia, terutamanya dalam kalangan wanita.
Daripada 400 wanita bekerja, kira-kira 68.4 peratus mengalami sakit kaki berpunca daripada kasut.
Begitupun kata Dr. Lee, walaupun generasi muda kini lebih kerap mengalami masalah kaki, warga emas turut berkemungkinan paling tinggi mengalami sakit tapak kaki.
“Sakit kaki dalam kalangan orang muda lazimnya timbul daripada sakit otot dan tekanan pada tulang.
“Manakala kira-kira 30 peratus daripada warga emas yang menghidap sakit kaki mengalami belulang (kulit kering keras) manakala 15 peratus mempunyai kematu (penebalan kulit) pada ibu jari,” katanya.
Jika mengalami penyakit kronik, kesakitan sering kali disebabkan oleh kematu, belulang dan kecacatan jari kaki.
Bagaimanapun, kira-kira 75 peratus menderita kerana bunion iaitu pertumbuhan tulang atau bengkakan pada sendi pertama ibu jari kaki yang tersasar ke satu sisi.










