Survival dunia perfileman negara - Utusan Malaysia

Survival dunia perfileman negara

Awan Dania merupakan antara siri filem awal tulisan Sofia J Rhyland pada 2008. Sofia juga kini bergiat aktif untuk membangunkan beberapa buah projek filem antarabangsa.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Baru-baru ini, Perbadanan Kemajuan Filem Nasional (FINAS) dengan kerjasama Wisma Putra bercadang untuk membawa filem-filem tempatan bersifat kemasyarakatan ke luar negara menerusi unit kebudayaan yang terdapat di Kedutaan-kedutaan Malaysia seawal tahun depan.

Usaha murni seperti ini sewajarnya disokong oleh semua pihak agar filem-filem tanah air kita dapat bergerak selangkah ke hadapan membawa nama negara di peringkat antarabangsa.

Pasti ramai penggemar filem tempatan tertanya-tanya, mengapa begitu sukar filem atau drama negara ini menembusi pasaran antarabangsa? Jangankan peringkat antarabangsa, nak tembus negara jiran pun bukan main susah lagi.

Dalam memahami isu ini dengan lebih jelas, maka sosok yang lebih layak untuk mengulas sudah tentu Sofia J Rhyland, seorang pengarah dan penulis terkenal tanah air yang telah berjaya menghasilkan puluhan filem, drama, dokumentari dan iklan yang berkualiti.

Bercakap kepada Utusan Malaysia, kata Sofia, antara faktor utama filem-filem kita tidak mampu pergi lebih jauh apatah lagi masuk ke pasaran antarabangsa adalah disebabkan ketiadaan atau kurangnya unsur universal (menyeluruh) di samping jalan cerita yang lemah.

Katanya filem tempatan harus bersifat universal dengan garapan jalan cerita yang boleh diterima dan difahami semua lapisan masyarakat.

“Filem Indonesia dan Thailand ada unsur-unsur universal seperti dinyatakan sekali gus berjaya mencipta nama di pasaran antarabangsa,” katanya.

Kenyataan Sofia pasti dipersetujui kebanyakan pembaca memandangkan secara realitinya filem atau drama yang sentiasa bermain di kaca TV kita tidak begitu menonjolkan ciri-ciri Malaysia sebaliknya lebih banyak membawa elemen barat dengan gaya hidup mewah.

Tinjauan saya turut mendapati ramai warga asing merasakan filem kita mirip filem Korea atau Hollywood yang sama sekali tidak mencerminkan realiti sebenar negara. Lantaran itu, ramai warga asing lebih menggemari filem arahan dan lakonan P. Ramlee.

Kekurangan barisan pelakon bukan Melayu dalam filem-filem negara turut dilihat sebagai salah satu cabang yang perlu diambil perhatian secara serius.

Berbeza dengan Hollywood, dunia perfileman Malaysia seolah-olah terpecah kepada dunia perfileman Melayu, Cina dan India dengan gaya, visi dan objektif tersendiri.

Inilah apa yang merungsingkan pemenang Lakon Televisyen Terbaik bagi filem Aku Nazmi, Anugerah Skrin 2018 (ASK 2018) yang menyifatkan ‘pembeli’ tidak dapat menghayati ciri-ciri budaya Malaysia.

“Budaya negara ini ada bermacam ragam, menjadikan Malaysia sangat unik. Pengkarya, perlu mencari satu titik kesamaan dalam budaya rakyat Malaysia. Sememangnya itulah antara faktor yang patut diketengahkan dalam membikin sesebuah karya.

“Kerajaan dah banyak bantu. Malah saya rasa penggiat seni dan pembikin filem kita sebenarnya sangat bertuah kerana pelbagai jenis insentif disediakan oleh pihak kerajaan dalam memastikan kita tidak ketinggalan bersaing di persada Antarabangsa,” ujarnya.

Antara karya pilihan Sofia ialah Garden of the evening mist, Paskal, Bukit Kepong dan filem P. Ramlee terutamanya Pendekar Bujang Lapok. Filem epik berkualiti seperti Puteri Gunung Ledang turut dilihat antara filem yang mempunyai unsur jiwa Malaysia dan berpotensi melangkah ke peringkat lebih tinggi.

Dalam perkembangan lain, Turki, negara dengan status dua benua dilihat semakin gah mempromosi budaya dan negara mereka menerusi pelbagai filem dan drama bersiri seperti Diliris: Ertugrul (Kebangkitan Ertugrul) yang mengisahkan tentang Ertugrul, bapa kepada Osman I, pengasas Empayar Turki Uthmaniyah.

Filem arahan Metin Gunay boleh dikatakan setaraf Hollywood itu mendapat sambutan luar biasa bukan sahaja di negara kita bahkan di seluruh dunia terutamanya di Pakistan.

Karya bersandarkan kisah benar itu telah memberi impak yang begitu besar terhadap sektor pelancongan dan pendidikan negara itu.

Filem bukan sahaja menghiburkan penonton tetapi ia juga medan mempromosi dan mengangkat martabat sesebuah bangsa dan negara. Inilah apa yang disebut dalam hubungan antarabangsa sebagai soft power (kuasa lunak) yang mampu memperkasakan negara.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN