Menteri kewangan kita yang baru tu, dahulu masuk penjara sebab bermukah dengan isteri tuannya! Teruk benar perangainya, tuannya memberi susu dibalasnya tuba. Memang patut pun dia merengkok mereput dalam penjara. Bebas dari penjara pun kerana – Kabel – Raja. Jadi kita kena hati-hati dengannya, jangan sampai anak isteri kita pula menjadi mangsa rakus nafsunya.”
Mungkin ini dialog orang Mesir jika Nabi Yusuf a.s terus bebas dari penjara selepas Baginda mentafsir mimpi Raja Mesir yang rumit (surah Yusuf: 46-49). Setelah Yusuf berjasa besar merungkai kekusutan mimpi sang Raja, baginda ditawar kebebasan.
Pada waktu itu, baginda menolak dan meminta siasatan dilakukan sang Raja, atau dalam bahasa moden hari ini, baginda mahu sebuah ‘Suruhanjaya Diraja’ ditubuhkan untuk menyiasat kes pemenjaraan baginda. Permintaan itu diperkenankan sang Raja.
Lihat firman Allah yang bermaksud: Dan (apabila mendengar tafsiran mimpi oleh Yusuf itu) Raja Mesir berkata:” Bawalah dia kepadaku (Aku mahu jumpa Yusuf sendiri)! “Maka tatkata utusan raja datang kepada Yusuf (menjemputnya menghadap raja), Yusuf berkata kepadanya: “Kembalilah kepada tuanmu (rajamu) kemudian tanyakan padanya: Apa halnya wanita yang melukakan tangan mereka? Sesungguhnya Tuhanku Maha Mengetahui tipu daya mereka”.
Setelah wanita itu dipanggil), raja bertanya kepada mereka: “Apahal kamu, semasa kamu memujuk Yusuf mengenai dirinya?” Mereka menjawab: Jauh-Nya Allah daripada segala cacat cela, kami tidak mengetahui sesuatu kejahatan terhadap Yusuf”. Isteri Al-Aziz pun berkata: “Sekarang ternyatalah kebenaran (yang selama ini tersembunyi), akulah yang memujuk Yusuf berkehendakkan dirinya (tetapi dia telah menolak); dan sesungguhnya adalah dia daripada orang yang benar (Yusuf: 50-51).
Dalam ayat ini Allah menceritakan Nabi Yusuf a.s dengan tegas menolak pelawaan pembebasan daripada penjara oleh Raja Mesir. Setelah mendengar tafsiran Nabi Yusuf a.s yang luar biasa terhadap mimpinya, sang Raja mahu bertemu dan mendengar sendiri daripada empunya badan. Namun begitu Yusuf a.s ‘menolak pelawaan itu dan mahu namanya dibersihkan terlebih dahulu’.
Berikutan itu, sang Raja menubuhkan Suruhanjaya Diraja membuka kembali kes banduan bernama Yusuf yang disumbat ke penjara Mesir beberapa tahun dahulu. Setelah fail dibuka dan para wanita yang terlibat dalam konspirasi memenjarakan Yusuf mengakui kedok mereka, barulah baginda sanggup keluar dari penjara.
Bahkan, Yusuf juga tidak meminta ‘surat akuan sokongan’ daripada pembancuh air Raja Mesir yang pernah menjadi teman sepenjaranya untuk mengangkat kredibiliti diri kerana ia kelihatan sangat canggung. Mana mungkin bekas banduan membela banduan. Tidak dapat tidak, sebuah badan bebas seliaan kuasa raja perlu bertindak sebagai pembersih mutlak maruah Yusuf.
Soalannya, mengapa Nabi Yusuf a.s perlu meletakkan syarat sebegitu? Tidak lain, demi menjaga maruahnya yang dicalar fitnah. Baginda manusia terpuji yang menjaga maruah diri. Jika bebas atas ampunan sang Raja sekalipun, orang ramai akan tetap sangsi juga ragu tentang kredibiliti serta integritinya.
Bahkan jika Baginda memegang tampuk penting dalam kerajaan Mesir nanti pun, orang ramai atau ‘netizen’ Mesir akan lancang mengutuk Baginda. Integriti seorang ‘pegawai tinggi kerajaan’ atau ‘menteri kanan kewangan’ yang tercalar boleh menjadi barah perosak keyakinan rakyat.
Kesannya, usaha membela nasib Mesir yang bakal ditimpa bencana kemarau panjang akan terbantut. Rakyat tunduk tetapi tidak semestinya duduk.
Bukan calang-calang! Nabi SAW memuji kesabaran Nabi Yusuf AS menjaga maruahnya, Baginda SAW merendah diri dengan sabdanya yang bermaksud: Jika aku (sendiri) dipenjara sepanjang tempoh Yusuf dipenjarakan, (lalu ada tawaran bebas), sudah pasti aku terima tawaran itu (Sahih al-Bukhari, 3121, 4326 & Sahih Muslim, 216, 4369).
Ternyata sikap Yusuf yang berpegang dengan slogan ‘Maruahku lebih utama daripada bebasku’ direkodkan Allah dalam al-Quran. Supaya ia menjadi panduan kita semua sampai kiamat. Bahkan penjagaan maruah menjadi antara satu maqasid atau objektif penurunan Islam. Buktinya sesiapa yang lancang mencalar maruah seseorang boleh dihukum sebat 80 kali.
Ini sebagaimana firman Allah yang bermaksud: Dan orang yang melemparkan tuduhan (zina) kepada perempuan yang terpelihara kehormatannya, kemudian mereka tidak membawakan empat orang saksi, maka sebatlah mereka 80 kali sebat; dan janganlah kamu menerima persaksian mereka itu selama-lamanya; kerana mereka adalah orang yang fasik. (al-Nur: 4).
Pernah berlaku peristiwa di mana sahabat Nabi SAW bernama ‘Uqbah bin al-Harith berkahwin dengan anak perempuan Abi Ihab bin ‘Aziz. Selepas berkahwin, seorang wanita mendakwa pernah menyusukan ‘Uqbah dan isterinya.
Setelah disiasat dengan keluarga kedua belah pihak, mereka tidak dapat mengesahkan dakwaan wanita itu. ‘Uqbah merujuk Rasulullah SAW, lalu Baginda bersabda yang bermaksud: Bagaimana (kamu masih tergamak menyimpan isterimu itu) selepas ada dakwaan tersebut?” Berikutan itu, ‘Ubqah menceraikan isterinya dan berkahwin dengan wanita lain. (Sahih al-Bukhari, 86).
Apa hikmah teguran Nabi SAW itu? Baginda mahu agar ‘Uqbah lebih berhati-hati walaupun dakwaan ibu susuannya itu masih kabur. Sikap warak atau teliti berhati-hati sangat penting dalam menjalani kehidupan seharian kerana kita tidak tahu apa ujian yang bakal muncul pada masa hadapan. Jika ia timbul kita akan dilanda tuduhan dan tohmahan yang boleh mencalar teruk kredibiliti serta integriti.
Alangkah baiknya jika sikap warak, teliti berhati-hati dan menjaga maruah diri ini dapat dihayati semua Muslim terutama bagi para pemimpin atau pegawai tinggi kerajaan yang memegang pelbagai portofolio penting dalam negara.
Jaga maruah diri. Insya-Allah ia boleh jadi sebab maruah dan nama kita kekal harum tinggi menjulang walaupun selepas kita tidak lagi memegang jawatan atau selepas kita pulang kepada Allah.
—————-
Abdullah Bukhari Abdul Rahim al-Hafiz ialah Timbalan Pengarah Hal Ehwal Pelajar Pusat Bahasa, UIAM.










