KUALA LUMPUR: Penyanyi dan komposer terkenal, Namawee mengakui amat terkejut apabila dia terpilih sebagai penerima anugerah Pencipta Dengan Pendapatan Tertinggi pada Anugerah Badan Perlindungan Hak Cipta Muzik Berhad (MACP) tahun lalu.
Kata pemilik nama sebenar Wee Meng Chee ini, dia masih tidak menyangka dengan pencapaian tersebut memandangkan ramai penyanyi dan komposer yang lebih kedepan dan popular berbanding dirinya.
“Saya terkejut, sangat-sangat terkejut. Kita ada ramai penyanyi lebih hebat macam Datuk Seri Siti Nurhaliza Tarudin dan Datuk M. Nasir.
“Bagi saya mereka bertaraf legenda,” katanya.
Namewee berkata demikian ketika ditemui media di Otherwise Cafe, Petaling Jaya hari ini.
Dalam majlis penganugerahan yang berlangsung sekitar Disember tahun lalu itu, Namewee menewaskan dua pencabar, penyanyi dan komposer, Datuk M. Nasir serta komposer muda berbakat besar, Ezra Kong bagi kategori berkenaan.
Diminta mengulas tentang persepsi umum yang menganggapnya selebriti bertaraf jutawan, Namewee menafikan perkara itu.
Katanya, selain menjana keuntungan menerusi kegiatan seni, dia juga terpaksa membelanjakan dan melaburkan sejumlah wang yang besar untuk keperluan-keperluan tertentu.
“Saya tidak kaya. Cuma, jana banyak keuntungan. Itu tidak bermaksud saya kaya.
“Wang yang saya keluarkan juga besar nilainya. Biaya caj guaman untuk kes-kes mahkamah melibatkan saya.
“Selain itu, saya juga laburkan wang yang banyak untuk produk seni, seperti video muzik yang berkualiti dan sebagainya. Jadi, kalau mahu kata saya kaya, itu tidak benar,” jelasnya.
Tambah anak kelahiran Muar, Johor ini, dia juga melaburkan wang yang banyak demi meneruskan kerja-kerja amal yang diusahakannya sejak sekian lama.
“Ada rumah orang tua, anak-anak yatim dan pusat perlindungan haiwan yang menempatkan anjing dan kucing terbiar.
“Nilai wang yang saya gunakan untuk itu cukup besar mencecah sehingga RM3 juta,” ulasnya.
Dalam pada itu, apabila disoal tentang karya seni, Namewee memberitahu karya seninya adalah untuk menghiburkan masyarakat.
Katanya, dalam hiburan, dia menerapkan mesej-mesej penting yang boleh dimanfaatkan peminatnya.
“Kebanyakan lagu saya bersifat komedi. Semata-mata untuk hiburkan orang. Selain itu, ia juga menjadi saluran untuk saya meluahkan perasaan dan pandangan.
“Dalam video muzik misalnya, saya selitkan mesej kepada penonton. Kalau mereka tidak terima, tidak mengapa. Yang penting mereka terhibur. Itu sudah mencukupi,” ujarnya.
Namawee sebelum ini pernah mencetuskan beberapa kontroversi yang secara tidak langsung menaikkan namanya dalam industri muzik tempatan.
Antara yang paling banyak diperkatakan adalah video rapnya yang mempersendakan lagu Negaraku, sekitar tahun 2007.










