Saya percaya itu kerja Tuhan – Mimi Lana - Utusan Malaysia

Saya percaya itu kerja Tuhan – Mimi Lana

Mimi Lana cerewet bertempat.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

Mengenali figura si tinggi lampai ini, dia sama sekali tidak pernah lekang untuk melontarkan senyuman manisnya saat bertemu.

Mimi Lana, pelakon ang­gun dan berbakat besar ini nampaknya sudah berani untuk bertutur mengenai cintanya.

Bagaimanapun, pelakon filem Pusaka ini hanya mengi­kut perancangan yang sudah tertulis oleh takdir buat dirinya.

Mimi yang pernah menjalinkan cinta dengan pelakon Syafiq Kyle selama lima tahun dan putus pada Mei 2020 dilihat ada berkongsi gambar bersama pelakon itu pada September tahun lalu di Instagram, sekali gus menguatkan hubungan mereka kembali terjalin.

Bagaimanapun, dia masih terus menutup mulut dan senang untuk tidak membuka kisah percintaan dia bersama jejaka itu, pada waktu ini.

“Soal perhubungan, saya masih tidak berani nak berca­kap mengenai perkara ini sebab kita hanya mampu merancang.

“Seperti saya, sudah semestinya sudah ada perancangan tetapi tidak berani lagi mahu bercakap mengenai perkara ini.

“Insya-Allah, kalau betul dia sampai semestinya kita akan memberitahu semua orang,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jika diberi alasan karier mengapa pelakon ini masih tidak mendirikan rumah tangga, tegas Mimi kini dia lebih mementingkan keseimbangan dalam kehidupan.

“Berkata mengenai nak mengejar karier dahulu bagi saya ia datang seiring. Dalam kehidupan perlu seimbang dengan setiap perkara.

“Malah dalam perjalanan itu kita perlu membezakan mana satu karier dan kehidupan. Saya jenis orang yang flow.

“Jadi, kita akan ikut sahaja apa yang berlaku. Bila ia hendak berlaku, semestinya kita memberitahu semua. Buat apa kita nak lakukan perkara itu tetapi tidak mewar-warkan kepada orang,” ujarnya.

Namun, pelakon ini tidak menolak takdir dan sentiasa bersedia andai seruan jodoh datang awal buat dirinya.

Kerana, dia percaya dengan perancangan yang sudah ditentukan tuhan dengan apa yang terbaik buat dia dan bakal.

“Jika ia berlaku dalam masa terdekat, saya bersedia sahaja. saya percaya dengan perancangan tuhan. Jika sudah sampai masanya, kita tidak boleh menidakkan lagi.

“Saya percaya itu kerja tuhan, bukannya kerja saya. Kerana kalau saya letak satu target tetapi tidak sampai, ia tidak akan sampai juga.

“Dalam hidup ini pun saya masih lagi belajar mengenai kehidupan. Apa yang saya belajar sekarang adalah cara untuk seimbangkan kehidupan saya,” tuturnya lagi.

Cerewet? Bagus juga
Pelakon ini terkenal dengan watak air mata. Setiap lakonan yang diberikan pasti dilunaskan dengan sempurna.

Tidak hairanlah, dari hari ke hari pelakon ini selalu menjadi perhatian pengarah tempatan dan mendapat tempat di hati penonton dengan lakonan yang ditampilnya di layar skrin.

Bagaimanapun, bintang ini mendedahkan dia agak sukar untuk membawa watak komedi untuk drama komedi pertamanya iaitu naskhah berjudul Villa Kristal.

Katanya, semua karakter yang diberinya akan dilunaskan dengan baik namun untuk watak komedi agak sukar kerana bukan mudah untuk membuat para penonton terhibur.

Bukan seorang yang mengalah, dengan dibantu pasukan dan pengarahan yang baik sekali gus dia dapat menjayakan watak dalam drama tersebut.

“Sebelum ini saya sudah biasa membawa watak air mata, tetapi kali ini agak sukar kerana perlu memainkan watak komedi.

“Bagi saya, banyak-banyak karakter yang pernah saya bawa, watak komedi agak sukar sekali kerana nak beri orang gelak dan membuat kelakar bukan perkara yang mudah.

“Tetapi, Alhamdulillah untuk saya pengarahan dan team itu penting. Apabila ada team yang bagus, ia secara tidak langsung akan bergerak dengan lancar,” katanya.

Sedia dengan cabaran selepas ini, pelakon drama Masih Ada Rindu ini berhasrat untuk mencuba pelbagai genre filem yang tidak pernah dicuba lagi untuk keluar daripada stereotaip.

“Selepas ini, saya hendak mencuba genre lain pula. Kalau boleh saya nak cuba semua jenis genre yang ada. jadi, pada masa akan datang saya akan mencuba watak berbeza daripada stereotaip.

“Saya masih belum berpeluang untuk membawa watak aksi, biografi serta muzikal. Aksi pula memerlukan fizikal yang kuat dan perlu membuat latihan setiap hari,” ujarnya panjang.

Mimi Lana seme­mangnya pelakon wanita yang mempunyai pelbagai bakat, berlakon dan peragaan adalah perkara ‘petik jari’ buat dirinya.

Ketika ditanya mengenai adakah pelakon bersusuk model ini cerewet dalam pemilihan watak, dia menyifatkan ia adalah perkara yang bagus buat seseorang pelakon.

Hal ini demikian kerana, dia yang lebih mengutamakan kualiti dalam lakonan itu agar dirinya mempunyai nilai sendiri dalam industri lakonan.

“Saya percaya semua pelakon di Malaysia ini ada dilema dan takut orang sekeliling stereotaip. Tetapi bagi elakkan perkara itu berlaku, saya perlu memilih betul -betul sesebuah jalan cerita.

“Cerewet? Tidak lah. Bagi saya, ia terpulang kepada orang lain. Kita nak mengikut kata orang pun tidak boleh.

“Kalau cerewet pun, ia bagus untuk kita juga. Kita hendak beri penonton menonton apa yang kita lakonkan dengan bagus. Kalau hendak menjadi seorang yang bagus, perlu cerewet lah,” ucapnya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN