Polos, corak berani dan Very Peri trend tahun 2022 - Utusan Malaysia

Polos, corak berani dan Very Peri trend tahun 2022

Baju lebih polos, warna yang terang tetapi harmoni dan penggunaan corak-corak yang berani serta 'ready-to-wear' menjadi pilihan pada 2022.
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

KOMBINASI gaya dari 1980-an dan 1990-an dijangka akan muncul semula dalam trend fesyen 2022.

Menurut Pensyarah Kanan, Jabatan Seni Reka Fesyen, Fakulti Seni Lukis dan Seni Reka, Universiti Teknologi Mara (UiTM) Shah Alam, Selangor, Dr. Rose Dahlina Rusli, penggayaan yang lebih sopan akan diperlihatkan sepanjang 2022 yang mana ciri-ciri polos dan over-size terus menjadi pilihan sama ada remaja mahupun yang berumur.

“Baju lebih polos, warna yang terang tetapi harmoni serta penggunaan corak-corak yang berani menjadi pilihan pada 2022. Potongan baju yang selesa akan menjadi keutamaan seperti gaya tunic dan potongan jaket yang minimalis.

“Penggayaan di bahagian lengan juga akan menjadi keutamaan seperti penggunaan potongan bell sleeve, puff sleeves dan ruffle sleeve,” katanya kepada Utusan Malaysia.

Jelas beliau, ramalan fesyen pada 2022 akan memperlihatkan lebih banyak perincian pada rekaan sama ada dalam permukaan fabrik mahupun perincian jahitan sesuatu rekaan.

“Pemilihan fabrik pada 2022 akan lebih bersifat tactile seperti embroidered cotton, jacquard dan quilting.

DR. ROSE DAHLINA RUSLI

“Sulaman mesin diramalkan menjadi tatarias bagi rekaan fesyen. Cut-out fabrik juga akan banyak digunakan dalam trend fesyen 2022.

“Corak tekstil berinspirasikan flora dan alam semula jadi juga diramal menjadi trend. Secara amnya penggunaan tata rias fabrik pada musim akan datang kelihatan lebih meriah,” katanya.

Tambah Rose Dahlina, perubahan norma baharu dalam kehidupan juga akan mempengaruhi ciri-ciri rekaan dalam penghasilan gaya fesyen.

“Masyarakat akan lebih mengutamakan keselesaan, keselamatan dan juga sensitiviti dalam pemilihan pakaian.

“Tahun 2022 akan memperlihatkan gaya yang lebih ke arah positif dan keceriaan. Dengan penggunaan warna-warna yang lebih harmoni dan ceria, secara psikologi dapat mencorakkan minda yang lebih positif dalam mengharungi cabaran-cabaran yang mendatang khususnya di era pasca pandemik atau endemik,” katanya.

VERY PERI, UNGU KEBIRUAN SERLAH GAYA 2022

Ujar Rose Dahlina, mengikut pengamal trend warna dan fesyen, Pantone dan Worth Global Style Network (WGSN), warna ungu kebiruan dan magenta (ungu kemerah­-merahan) akan menjadi pilihan pada 2022, iaitu palette tona warna yang dinamakan Very Peri.

“Warna-warna yang lebih menggabungkan keharmonian dan kerohanian akan menjadi keutamaan. Warna ungu kebiruan akan menjadi pilihan pada 2022 yang memberi mood kecerian.

“Warna-warna yang menjadi sokongan kepada warna tersebut adalah seperti kuning, hijau dan biru langit. Kombinasi warna-warna yang lebih ceria akan lebih diminati terutamanya dalam rekaan ready-to-wear,” katanya.

Warna ungu kebiruan, palette tona warna yang dinamakan Very Peri menjadi pilihan 2022 seperti diramalkan oleh Pantone.

FESYEN 1980-AN, 1990-AN JADI INSPIRASI

Perubahan tahun dan zaman memperlihatkan kepelbagaian gaya yang diperkenalkan oleh industri fesyen.

Daripada penggayaan korset di awal 1900-an hinggalah penggayaan legging atau gaya sport luxe di permulaan 2000.

Rose Dahlina berkata, perubahan dan perkembangan dunia fesyen adalah sesuatu yang pasti dan subjektif, bergantung kepada sosio budaya sesebuah negara atau masyarakat.

“Perkembangan dan penggabungan gaya dari seluruh dunia dapat dilihat sebagai kitaran gaya yang selalunya beradaptasikan dari aspek kebudayaan, kehidupan sosial dan juga peredaran teknologi yang sering berubah.

“Trend fesyen di Malaysia khususnya tidaklah bergantung sepenuhnya kepada dunia fesyen seperti di Barat dan Eropah,” katanya.

Sungguhpun begitu, katanya, ciri-ciri utama yang dibangkitkan akan tetap diikuti dengan mengadaptasi ciri-ciri tersebut agar sesuai dengan trend fesyen di Malaysia.

Warna sokongan kepada warna ungu kebiruan adalah seperti kuning, hijau dan biru langit.

Dalam pada itu, Rose Dahlina menolak sangkaan pereka fesyen ketandusan idea kerana mengembalikan gaya 1980-an dan 1990-an.

“Dunia fesyen boleh dikatakan tidak pernah ketandusan idea walaupun kelihatan beberapa ciri-ciri dari tahun-tahun sebelumnya dinaikkan kembali.

“Revolusi atau kitaran trend dalam dunia fesyen adalah sesuatu yang biasa yang mana kitaran trend akan timbul semula setiap 10 hingga 20 tahun.

“Adaptasi ciri-ciri yang lepas selalunya menjadi sumber inspirasi kepada pereka dalam menghasilkan rekaan baharu yang lebih terkini dan sesuai dalam peredaran masa,” katanya.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×