Menurut laman Forbes, sembilan daripada 10 manusia terkaya di Malaysia kini adalah dalam kalangan etnik Cina yang diketuai oleh Robert Kuok dengan nilai kekayaan lebih AS$ 12 bilion (RM50 bilion). Perkembangan ini bukanlah sesuatu yang aneh memandangkan pelbagai angka dan statistik dengan jelas menunjukkan penguasaan etnik Cina terhadap ekonomi negara sejak dari dulu lagi.
Sekalipun jumlah anggaran etnik Cina di Malaysia pada 2021 adalah sekitar 6.7 juta, iaitu 22.5 peratus daripada 32.75 juta keseluruhan warga Malaysia, namun mereka dilihat masih mampu menentukan hala tuju perkembangan ekonomi dan pembangunan negara.
Lihat sahaja ibu negara kita yang begitu gah dan sibuk dengan kerancakan aktiviti ekonomi. Kebanyakan premis perniagaan seperti cafe, pusat beli-belah, hotel dan sebagainya dimiliki oleh bangsa Cina.
Seorang ahli perniagaan, Jack Long, 28, berkata, persepsi Cina suka berniaga itu datang daripada budaya yang merasakan peninggalan atau legasi perniagaan keluarga, perlu diteruskan supaya ada sesuatu yang ditinggalkan untuk mereka.
Katanya, mentaliti itu wujud disebabkan orang Cina dianggap sebagai pendatang sewaktu awal ketibaan di Malaysia.
“Sebab itulah mereka perlu membuat pilihan sama ada bekerja untuk seseorang dan menerima gaji sedikit atau menjalankan perniagaan dan mencipta peluang untuk mengubah kehidupan mereka menjadi lebih baik.
“Kami juga ada sikap suka bekerja keras. Kami percaya sekiranya lebih banyak masa dan usaha yang dilakukan dalam apa sahaja perkara, akan lebih banyak ganjaran yang akan diperoleh daripadanya,” katanya kepada Utusan Malaysia.
Begitupun kata Long, kebanyakan orang Cina sebenarnya bekerja secara bijak dan sentiasa berusaha mempersiapkan diri secara mental dan fizikal dalam mengharungi cabaran dan rintangan dalam mengekalkan perniagaan.
MENINGGALKAN JEJAK DI DUNIA
Jejaka berasal dari Selangor ini meneruskan perniagaan sukan renang yang dibangunkan oleh ahli keluarganya sejak 1996 lalu. Sejak enam tahun lalu, beliau berperanan sebagai Pengarah Jenama.
Long memberitahu, orang Cina juga suka mencipta sesuatu dan meninggalkan tanda atau jejak di dunia, sama ada dalam bentuk perniagaan kedai, restoran atau jenama.
Meskipun orang Cina memainkan peranan utama dalam mengemudi ekonomi tanah air, namun Long masih merendah diri. Sebaliknya dia yakin kejayaan ekonomi negara datang daripada gabungan semua kaum.
Mengulas mengenai lokasi berniaga orang Cina yang banyak di kota, kata Long pemilihan lokasi itu dipengaruhi oleh tempat mereka dibesarkan.
“Contohnya ramai orang Cina dari Klang menceburi bidang logistik kerana lokasi dekat dengan Pelabuhan Klang.
“Apatah lagi membesar dalam persekitaran itu, sekali gus didedahkan dengan industri tersebut.
“Saya kira pilihan untuk memulakan apa-apa perniagaan datang dari pilihan individu dan persekitaran mereka membesar,” katanya yang turut menafikan semua orang Cina kaya, sebaliknya masih ada segelintir yang bergelut dalam kehidupan seharian.
Saya fikir inilah saatnya agar kita mengurangkan ego dan mula mempelajari cara orang Cina berniaga.
Hentikan segala permusuhan atau tuduhan tidak berasas terhadap mana-mana bangsa yang tidak membawa apa-apa kebaikan buat negara.











