Nak cari single, dapat laki orang - Utusan Malaysia

Nak cari single, dapat laki orang

PENULIS pernah bereksperimen dengan mendaftar masuk ke sebuah laman mencari jodoh. – GAMBAR HIASAN/FAUZI BAHARUDIN
Share on facebook
Share on twitter
Share on whatsapp
Share on email
Share on telegram

SAYA pernah bereksperimen dengan mendaftar masuk ke sebuah laman mencari jodoh yang kononnya paling popular di negara ini. Kategori utama yang saya tetapkan dalam pencarian jodoh ini adalah lelaki single (bujang). Tidak kisahlah duda atau bujang terlajak, asalkan tiada isteri.

Sekejap sahaja bakal jodoh dipadankan. Namun, apa yang mengejutkan, daripada 10 lelaki, lima berstatus suami. Kenapa yang sudah beristeri masih berkeinginan mencari jodoh di laman pencari jodoh? Ada yang kata, sekadar berseronok, mana tahu dapat yang suka sama suka macam mereka juga. Umpama pepatah Melayu, untung sabut timbul.

Itu yang berterus-terang, yang lurus bendul. Namun yang menipu status, entah berapa ramai? Benar kata orang, nak curang tidak perlu keluar dari rumah pun, di hujung jari sahaja.

Itu curang siber atau digital yang seakan terbiasa ketika ini lewat internet dan kemunculan pelbagai aplikasi media sosial dalam telefon pintar. Sementelahan ketika pandemik Covid-19 dan pelbagai fasa Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) sejak dua tahun lalu.

Saya bersembang dengan Exco Wanita dan Keluarga Kedah, Datuk Halimaton Shaadiah Saad tentang isu ini.
“Bila berkurung lama-lama di rumah, semua sifat buruk masing-masing menyerlah. Terbongkarlah semua,” katanya.

MESEJ
Apa erti sebenarnya kecurangan ini? Banyak pakar yang bersetuju bahawa pengertian kecurangan itu tertakluk kepada pendirian atau falsafah dipersetujui pasangan masing-masing.

Curang siber bermula dengan saling bertukar mesej atau gambar. Itu barangkali paling banyak berlaku apatah lagi ketika zaman pandemik ini.

Pakar mencadangkan, kunci dalam setiap hubungan adalah berkomunikasi secara jujur dan terbuka antara pasangan. Namun, tidak pantas jika kunci kepada kecurangan bermula daripada teknologi dinamakan telefon pintar.

Tiada yang manis lewat perselingkuhan baik di pihak lelaki mahupun wanita. Kesakitan itu yang membawa kepada kerosakan emosi.

Jika masing-masing memilih untuk kekal bersama, ia memerlukan persetujuan dan persefahaman antara dua hati. Banyak perlu dilakukan untuk memulihkan semula perkahwinan terutama mengembalikan kepercayaan pada hati yang dicurangi.

Dalam konteks membendung kecurangan siber ini, mulakan dengan tidak menyembunyikan telefon bimbit anda daripada pasangan masing-masing.

Tidak mahu terlepas? Ikuti kami di

 

BERITA BERKAITAN

×