Perceraian seringkali menyebabkan anak menjadi mangsa. Pertikaian melibatkan tuntutan seperti nafkah anak, iddah, mutaah, hadhanah dan harta sepencarian antara sering menimbulkan perbalahan dalam kalangan pasangan bercerai.
Namun Ketua Pendaftar Jabatan Kehakiman Syariah Selangor (Jakess), Salehan Yatim berkata, pertikaian itu boleh dirungkaikan menerusi perdamaian di luar mahkamah, termasuk Sulh.
Katanya, Sulh adalah konsep penyelesaian altenatif secara damai bagi pihak yang bertikai tanpa melalui proses perbicaraan ini membantu pasangan membuat keputusan lebih rasional.
“Biasanya kes melalui proses perbicaraan, mengambil masa yang lama dan memerlukan kos yang tinggi. Bahkan lebih merumitkan pihak-pihak untuk mencapai penyelesaian,” katanya.
Utusan Malaysia baru-baru ini melaporkan sebanyak 69,205 pasangan bercerai di luar mahkamah sepanjang 2018 hingga Oktober tahun lalu yang mana sebahagian besar suami didapati menyalahgunakan kuasa talak. Angka itu adalah sebahagian daripada 212,080 kes perceraian yang direkodkan Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) menerusi pendaftaran kes pembubaran perkahwinan di mahkamah syariah dalam tempoh berkenaan yang turut melibatkan permohonan talak, khulu’ atau tebus talak dan taklik.
Menyedari perceraian boleh mengundang natijah buruk kepada tumbesaran si kecil, Komuniti Sulh dan Rakan Badan Sokongan Keluarga (BSK) dengan memberikan Program Kursus Asas Sulh kepada 95 Imam-Imam Masjid seluruh Selangor diperkenalkan.
PERANAN PIHAK KETIGA
Menurut Salehan, sejak dahulu lagi, peranan pihak ketiga penting dalam menyelesaikan pertikaian dan ia bukanlah sesuatu yang baru dalam masyarakat.
Ujarnya, imam-imam dan ketua kampung sering menjadi rujukan sebelum wujudnya Institusi Kehakiman seperti hari ini.
Namun, peranan itu bukanlah tanggungjawab individu sahaja bahkan menjadi tanggungjawab bersama.
“Dengan pewujudan Komuniti Sulh dan Rakan BSK ini, ia dapat memberi pengetahuan asas dan kemahiran tertentu berkaitan teknik perbincangan terpimpin iaitu sulh dan mediasi dalam membantu menyelesaikan pertikaian pihak-pihak berkaitan.
“Penggunaan teknik sulh dan mediasi, terbukti membantu dalam menyelesaian kes-kes tuntutan hak-hak selepas perceraian di Mahkamah Syariah. Hampir separuh daripadanya berjaya diselesaikan melalui prosiding Sulh,” tegasnya.
Komuniti Sulh adalah ejen Mahkamah Syariah dalam menyelesaikan sebarang pertikaian rumah tangga menggunakan teknik sulh dan mediasi. Manakala BSK merupakan perantara kepada Mahkamah Syariah dalam membantu pelanggan bagi proses pasca pelaksanaan perintah atau penghakiman nafkah anak, isteri, iddah dan mutaah.
Tuntutan melaksanakan sulh, sebagaimana Firman Allah SWT di dalam surah an-Nisa Ayat 128 bermaksud:
Dan jika seorang perempuan bimbang akan timbul dari suaminya nusyuz (kebencian) atau tidak melayaninya, maka tiadalah salah bagi mereka (suami isteri) membuat perdamaian di antara mereka berdua (secara yang sebaik-baiknya), kerana perdamaian itu lebih baik (bagi mereka daripada bercerai-berai).
Manakala Surah al-Hujurat ayat 9 bermaksud:
Dan jika dua puak dari orang-orang yang beriman berperang maka damaikanlah di antara keduanya.
Ia juga ada disebut di dalam Hadis Nabi SAW yang bermaksud: Perdamaian (sulh) itu diharuskan (dalam urusan) di antara kaum Muslimin, kecuali sulh dalam hal mengharamkan sesuatu yang halal dan menghalalkan sesuatu yang haram.” (Hadis riwayat at-Tarmizi)
Imam bantu perkasa institusi keluarga, kewajiban nafkah
TANGGUNGJAWAB memberi nafkah kepada anak-anak ketika pasangan suami isteri masih bersama atau sudah bercerai, adalah di bawah tanggungjawab bersama ibu dan bapa.
Bagaimanapun, kita sering didedahkan dengan beban yang perlu ditanggung oleh ibu tunggal dalam menguruskan nafkah anak-anak selepas mereka diceraikan.
Maka, tidak hairanlah apabila Jabatan Kehakiman Syariah Malaysia (JKSM) pada November tahun lalu memaklumkan akan menyekat akaun bank suami atau bekas suami yang culas menjalankan tanggungjawab memberi nafkah kepada tanggungan mereka.
Menurut kenyataan Unit Komunikasi Korporat JKSM, tindakan tersebut dibuat selepas pindaan terhadap Jadual 11 Akta Perkhidmatan Kewangan 2013, Akta Perkhidmatan Kewangan Islam 2013 dan Akta Institusi Kewangan Pembangunan 2002 diluluskan serta digazetkan pada 10 Februari 2021.
Bagi Jakees, mereka mengakui ada menerima permohonan daripada isteri untuk menyekat akaun bank suami atau bekas suami yang gagal membayar nafkah.
Bagaimanapun Mohammad Adib berkata, pihaknya menerima kurang daripada 10 kes berkaitan isu tersebut sejak arahan dikuatkuasakan JKSM.
Katanya, tanggungjawab membesarkan anak-anak hakikatnya merupakan tanggungjawab bersama yang dikongsi antara ibu dan bapa, sama ada telah bercerai, masih bersama atau telah tinggal berasingan.
“Syariat pada asalnya sudah menyusunnya dengan cantik sekali dan adil dalam posisi masing-masing.
“Kebajikan emosi dan kemajuan interpersonal seorang anak diperhatikan oleh seorang ibu yang penyayang, manakala kebajikan lahiriah diletakkan di bahu seorang bapa yang berkorban mencari rezeki di luar rumah.
“Namun akibat perceraian yang tidak diurus dengan baik, menyebabkan seorang ibu dibebankan dengan dua tanggungjawab iaitu mengurus anak, pada masa sama perlu mencari nafkah bagi mencukupkan keperluan anak,” katanya.
Menurut Mohammad Adib, para fuqaha’ Islam bersepakat bahawa bapa adalah individu utama bertanggungjawab sepenuhnya terhadap keperluan nafkah anak.
Tanggungjawab ini jelas difahami daripada ayat 233, Surah al-Baqarah bermaksud :
Dan ibu-ibu hendaklah menyusui anak-anaknya selama dua tahun penuh, bagi yang ingin menyusui secara sempurna. Dan kewajipan bapa menanggung nafkah dan pakaian mereka dengan cara yang patut. Seseorang tidak dibebani lebih dari kesanggupannya. Janganlah seorang ibu menderita kerana anaknya dan jangan pula seorang bapa (menderita) kerana anaknya…”
Kehidupan anak adalah cerminan kehidupan bapa sepertimana yang disebut oleh Imam Al-Sarakhsi dalam kitabnya Al-Mabsut, seorang bapa berkewajipan menanggung anak-anak yang merupakan sebahagian dirinya, sama seperti ia menanggung dirinya sendiri.
Oleh itu, kata Mohammad Adib, dengan kewujudan Rakan BSK, seramai 95 para imam di seluruh Selangor yang selesai mengikuti Program Komuniti Sulh dan Rakan BSK diharap dapat menggerakkan usaha advokasi dan penerangan berkaitan kewajiban bapa dalam menanggung nafkah anak seterusnya dalam mematuhi perintah mahkamah yang berkaitan melalui kaunseling awal kekeluargaan dengan menjadikan masjid sebagai pusat khidmat nasihat dan kaunseling keluarga.
“Wanita-wanita yang berhadapan dengan golongan bapa bermasalah ini, yang telah mengabaikan tanggungjawab kebapaan dan ingkar kepada perintah mahkamah (deadbeat father), perlu diberi penerangan tentang kewujudan dan fungsi BSK dalam menguatkuasakan perintah nafkah, di samping sokongan komuniti yang berterusan.
“Semoga kesinambungan daripada program ini dapat mewujudkan masyarakat prihatian dan cakna dengan segala permasalahan yang berlaku, menanam sifat ta’awun, toleransi dan kasih sayang yang memberi manfaat dalam mewujudkan komuniti masyarakat yang tinggi nilai kekeluargaan dan persaudaraan,” ujarnya.
Covid-19 mengendurkan segala usaha pengimarahan masjid, namun kerjasama itu dilihat sebagai peluang dan ruang untuk terus memperkasakan institusi masjid yang berperanan dalam memberi khidmat nasihat kepada masyarakat yang memerlukan bantuan dan khidmat nasihat.
“Penglibatan para Imam yang terlatih ini dapat memperkasakan institusi keluarga dengan bimbingan penyelesaian terpimpin sebelum tindakan melalui proses perundangan diambil sebagai jalan terakhir penyelesaian.
“Semoga dengan sinergi ini juga dapat mengatasi masalah pengabaian nafkah anak dan kecuaian dalam melaksanakan perintah mahkamah,” katanya.










