Reputasi Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) tercalar susulan laporan salah laku dalam kalangan pegawai tinggi badan berkenaan sehingga menghakis kepercayaan dan keyakinan masyarakat.
Rasuah adalah antara jenayah berbahaya yang boleh menyebabkan kehancuran sesebuah masyarakat.
Ia meninggalkan impak negatif kepada pelbagai masalah sosial, kegiatan jenayah dan ketidakadilan berikutan ketidakpatuhan terhadap undang-undang sepenuhnya.
Rasuah bukan hanya menggalakkan jenayah seperti pelacuran, pemalsuan wang, cetak rompak, penyeludupan dan sebagainya, bahkan bakal mengundang kemurkaan Allah SWT, musibah, bala dan wabak.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
Dan janganlah kamu makan (atau mengambil) harta (orang-orang lain) di antara kamu dengan jalan yang salah dan janganlah kamu menghulurkan harta kamu (memberi rasuah) kepada hakim-hakim kerana hendak memakan (atau mengambil) sebahagian daripada harta manusia dengan (berbuat) dosa, padahal kamu mengetahui (salahnya). (Surah al-Baqarah:188).
Seterusnya Nabi SAW bersabda bermaksud:
Kutukan Allah SWT atas pemberi rasuah dan penerima rasuah. (Riwayat Ahmad: 6984 dan Ibnu Majah: 2313).
Rasuah berasal daripada bahasa Arab iaitu al-risywah.
Menurut SPRM, rasuah ialah penerimaan atau pemberian suapan sebagai upah atau dorongan untuk seseorang individu kerana melakukan atau tidak melakukan sesuatu perbuatan yang berkaitan dengan tugas rasmi. Suapan terdiri daripada wang, hadiah, bonus, undi, perkhidmatan, jawatan upah, diskaun.
Menurut undang-undang Malaysia terkandung dalam Seksyen 3 (a)(b) dan 4 (a)(b), Akta Pencegahan Rasuah 1961 (Pindaan 1971) mentafsirkan rasuah sebagai menerima atau memberi apa-apa suapan sebagai dorongan, upah atau galakkan kepada seseorang untuk melakukan sesuatu perbuatan atau untuk tidak melakukan sesuatu perbuatan yang ada hubungan dengan prinsipalnya.”
Manakala suapan pula, menurut Seksyen 2, Akta Pencegahan Rasuah 1997 ialah wang, derma, pinjaman, hadiah, cagaran beharga, harta atau kepentingan mengenai harta, iaitu apa-apa jenis harta sama ada alih atau tidak alih atau apa-apa manfaat seumpamanya.
Dr Yusuf al-Qaradhawi menjelaskan dalam kitab al-Halal wa al-Haram fi al-Islam bahawa: Menerima rasuah adalah termasuk kategori memakan harta orang lain dengan cara yang batil seperti wang yang diberikan kepada pihak penguasa atau pegawai supaya menjatuhkan hukuman yang menguntungkan dirinya atau hukum yang merugikan lawannya menurut kemahuannya atau supaya didahulukan urusannya atau ditunda kerana ada sesuatu kepentingan dan sebagainya.
Islam sangat tegas dan optimis dalam membanteras gejala rasuah daripada terus berleluasa menjadi barah dalam kalangan masyarakat bagi tujuan mewujudkan keamanan dan keharmonian.
Pertama: Memupuk dan membentuk nilai keimanan dan ketakwaan yang tinggi dalam diri. Setiap rakyat dan pemimpin perlu memantapkan keimanan dan ketakwaan terhadap Allah SWT bagi mengelakkan perlakuan rasuah.
Allah SWT maha melihat dan maha mengetahui setiap tindakan dan perlakuan manusia. Justeru, sifat mahmudah (terpuji) seperti integriti dan kejujuran perlu diterapkan dalam kehidupan kerana dinilai oleh Allah SWT.
Selain itu, sikap takut terhadap azab dan siksaan neraka perlu dihadirkan akibat dosa dan kesalahan rasuah yang dilakukan.
Firman Allah SWT yang bermaksud:
Dan tolong-menolonglah kamu dalam kebajikan dan ketaqwaan dan janganlah tolong-menolong dalam dosa dan permusuhan (melanggar hukum-hukum Allah). Dan bertaqwalah kepada Allah. Sesungguhnya Allah sangat berat siksanya. (Surah Al-Maidah: 2).
Kedua: Bimbingan dan kempen berterusan berkaitan keburukan dan bahaya rasuah. Para pemimpin dan masyarakat perlu sentiasa diingatkan berkaitan perkara ini sehingga menjadi agenda utama dan penting dalam tindakan.
Kerjasama para mufti, agamawan, atau pendakwah diperlukan dalam memberi bimbingan dan bergerak aktif dalam menyampaikan kebenaran amar makruf atau nahi mungkar.
Allah SWT berfirman yang bermaksud:
Kamu (umat Islam) adalah umat terbaik yang dilahirkan untuk manusia, (kerana kamu) menyuruh (berbuat) yang makruf dan mencegah daripada yang mungkar dan beriman kepada Allah. (Surah Ali Imran:110).
Ketiga: Melaksanakan tindakan tegas terhadap pesalah yang terlibat amalan rasuah. Pegawai dan penguatkuasa undang-undang perlu melaksanakan tindakan tegas tanpa memilih kasih sama ada yang dilakukan oleh rakyat biasa atau pemimpin negara.
Hukuman dikenakan bertujuan mendidik dan memberi pengajaran kepada seluruh pemimpin dan masyarakat supaya lebih serius serta waspada terhadap gejala rasuah.
Demikianlah, kesedaran dan perhatian terhadap bahaya rasuah perlu diterapkan dalam kalangan masyarakat, supaya terhindar impak dan kesan negatif yang boleh menghancurkan dan merosakkan negara.
Sinergi pelbagai pihak samada agensi kerajaan, badan bukan kerajaan (NGO) dan masyarakat dalam membanteras gejala rasuah perlu dijalin dengan baik secara berterusan.










